Berhalus ialah satu gambaran mengenai sikap seseorang apabila berhadapan dengan sesuatu. Dalam dialek kelantan, berhalus merujuk kepada orang yang berhati-hati baik dari segi membuat keputusan, mengambil tindakan dan juga bercakap.
Sikap berhalus ini akan membuat ‘pemakai’nya, akan menjaga tata susila dan tidak terburu-buru bertindak tanpa usul periksa dan hanya berpandukan pemikiran logik sendiri. Ini kerana sesuatu yang kita anggap benar dan betul, akan silap jika tersilap hitung dan pendek akal.
Chemek berikan satu contoh. Jika anda ingin menegur seseorang baik seseorang itu isteri ataupun suami kepada orang lain, apakah cara terbaik akan anda gunakan? Jika anda berada di tempat penegur, apakah anda akan berfikir sejenak perasaan orang yang berada di sebelah anda (mungkin suami/isteri) ataupun orang-orang di sekitar dan terus menegur orang yang dimaksudkan di hadapan khalayak termasuk pasangan orang yang kena tegur. Mungkin kita menyangka orang lain mungkin tidak tahu ataupun tidak mengerti dan yang mengerti teguran itu mungkin orang yang dituju sahaja. Tetapi betulkah begitu? Apakah si suami, ataupun si isteri orang yang ditegur itu anda juga pandang wajah dan matanya setelah teguran anda kemukakan kepada pasangannya? Bagaimana perasaannya? Bagaimana wajahnya ketika itu? Bagaimana pula dengan orang lain juga yang turut mendengar apa yang anda ucapkan tadi?
Sekiranya anda seorang isteri orang, anda ingin menegur seorang lelaki dan di sebelah anda sedang duduk isteri kepada lelaki yang anda tegur, apakah anda akan teruskan sikap terburu-buru itu membuat teguran di hadapan pasangannya itu dan di khalayak ramai? Ataupun anda akan tunggu dan berfikir terlebih dahulu sekalipun anda berasa anda berada di pihak yang benar? Tetapi bagaimana jika anda sendiripun tidak tahu dan anda menegur dan tersalah teguran?
Ataupun anda melihat kerenah seorang anak perempuan orang lain, dan di sebelah anda ada ibubapanya, dan ada lagi orang ramai yang lain samada rakan-rakan ibubapa ataupun rakan-rakan anak perempuan itu, pada ketika itu anda berasa amat perlu menyatakan teguran tersebut, tetapi betulkah itulah waktunya untuk anda melakukannya ataupun menyatakannya?
Ataupun dalam situasi anda menerima beberapa email yang menyakitkan hati daripada seorang rakan anda yang membuat tuduhan dan juga sindiran yang tidak sepatutnya dengan bahasa yang membuatkan anda dukacita dan mengundang air mata, apakah anda sanggup untuk menegur rakan anda itu di hadapan khalayak ramai? sanggupkah anda membalasnya kembali dengan bahasa yang serupa? Ataupun sanggupkah anda memforwardkan email-email tersebut baik kepada ibubapanya? suaminya? kakak ataupun abang kepada pengirim tersebut? Dengan tujuan anda ingin supaya mereka yang lain tahu akan perbuatan yang telah menyakiti hati anda itu?
Satu perkara yang banyak hilang tentang peradaban kita hari ini ialah adab berhalus. Berhalus bukannya bermaksud perlu berlemah-lembut ataupun berbahasa-bahasa tetapi berhalus di sini maksudnya ialah berfikir dengan teliti, bertindak dengan wajar walaupun dalam keadaan beremosi. Berhalus ialah sikap berperisai dengan sabar. Ia berjalan seiring dengan berfikir secara mendalam. Ia juga berteraskan pengalaman dan perasaan untuk menjaga hubungan dengan orang lain.
Pernah seorang wanita yang sedang meratap di perkuburan telah dinasihati oleh Rasulullah s.a.w supaya bersabar tetapi dijawabnya wanita tersebut tanpa mengetahui lelaki yang menasihatinya itu adalah Rasulullah, ‘anda tidak mengetahui keadaanku’ (anda tidak merasai situasi yang sedang aku alami). Setelah kejadian tersebut, wanita itu berasa menyesal, lebih-lebih lagi dia baru mengetahui yang menasihatinya itu adalah Rasulullah s.a.w. Lalu dia pergi bertemu baginda untuk memohon ampun di atas ketidaksabarannya. Lalu jawab Rasulullah, Sabar itu adalah sewaktu menghadapinya. Yakni sekarang sabar sudah tidak perlu lagi.
Oleh kerana kita bersabar, berfikir, dan tidak terus ataupun cepat membuat persepsi, maka natijahnya ialah sikap berhalus. Orang bukannya sukar untuk menerima teguran jika salah. Tetapi salah cara dalam bertindak itulah yang biasanya membuatkan orang lain sukar untuk menerima teguran.
Berhalus juga maksudnya mengawal emosi dari buruk sangka. Ini akan menjadi penapis kepada hati dan tindakan kita dalam membuat apa jua tindakan dan keputusan yang melulu. Ia juga akan dapat mengawal hati kita ini daripada membuat tindakan lanjut yang akan mengeruhkan keadaan dan memutuskan hubungan silaturahim.Dalam Buku Afat ‘ala al-Tariq, karya Dr al-Sayyid Muhammad Nuh, diperincikan perkara ini dengan menarik.
Pernah ada seorang penceramah yang memberikan ceramah mengenai keutamaan Lailatul Qadr dan merebut pahala Lailatul Qadr telah dikritik dan dikomen mengenai ceramah yang disampaikan. Penceramah yang menyampaikan ceramah tersebut telah dituduh menyindir pendengarnya sehingga membuatkan seorang yang mendengar ceramah tersebut menangis. Sedangkan dalam sesi ceramah yang dihadiri lebih 80 orang itu hampir keseluruhan para pendengar yang lain menangis mendengar ceramah yang disampaikan termasuk penceramah itu sendiri. Setelah selesai sesi ceramah itu, seorang pendengar menceritakan secara ringkas isi kandungan ceramah tersebut kepada rakannya yang tidak hadir. Oleh kerana melihat rakan yang bercerita itu menangis, rakan yang mendengar itu telah salah faham dengan menyangka penceramah itu telah menyindir pendengar yang hadir. Lalu dihamburkan tuduhan kepada penceramah tanpa mendapat penjelasan yang saksama. Sedangkan penuduh ataupun pengkritik tersebut tidak hadir dan tidak mendengarpun isi ceramah yang disampaikan. Penilaian dan tuduhan tersebut hanya dibuat asasnya dari maklumat hanya seorang pendengar bukannya ramai pendengar yang lain dan tidak tahu menahu hujung pangkal cerita yang sebenarnya. Ini adalah satu contoh kurangnya berhati-hati, cepat membuat persepsi dan tuduhan yang melulu.
Contoh lain yang ingin chemek kemukakan di sini, pernah seorang tukang cuci yang ingin menyumbangkan sedikit pendapatannya hasil peluh membersihkan lantai dan carpet di sebuah bangunan, telah dikatakan kepadanya sumbangan anda tak diperlukan kerana sudah ada penyumbang terbesar yang lain. Jika disumbangkan juga membazir dan elok disalurkan ke tempat lain yang lebih memerlukan. Contoh kedua ini adalah satu teguran yang asalnya boleh difahami dengan baik objektifnya. Namun caranya amat tidak kena apabila kurangnya berhalus sewaktu menolak bantuan ataupun sumbangan yang ingin diberikan. Ini kerana orang yang menolak itu telah menyebabkan orang yang ingin menyumbang berasa jauh hati, mungkin kerana kerjaya hanyalah seorang tukang cuci dan sumbangan yang dapat diberikan itu sedikit ataupun kecilnya. Apa yang lebih membuatkan orang yang ingin menyumbang itu bersedih apabila disebut dan dibanding-bandingkan adanya sumbangan lain yang terbesar. Lalu dikatakan kepada tukang cuci, beritahu isterimu, tak perlu bawa ataupun jangan sediakan apa yang kalian nak bawa.
Padahal orang yang berkata tidak sedari dan tidak tahu menahu pun hal sebenarnya. Bukan isteri tukang cuci yang mencari harta untuk disumbangkan, dan bukan isteri si tukang cuci yang ingin menyumbang tetapi si tukang cuci itu sendirilah yang menyampaikan hasratnya melalui isterinya, tetapi orang yang menolak itu menyangka si isteri tukang cuci yang beria-ia untuk menyediakannya. Si tukang cuci bukannya tidak memahami erti pembaziran kerana itu kerjanya hari-hari membersihkan pembaziran dan kekotoran barang-barang yang dibuang dan sampah-sarap baik makanan ataupun minuman yang dibazirkan. Lagilah dia tahu membazir itu amalan para syaitan jika dia mengingati dan menghafal ayat-ayat al-Quran berkaitan sahabat iblis. Hasilnya berlaku apa yang dipanggil sangkaan di sini. Menyangka kepada orang lain secara tidak betul. Tidak berhenti di situ ditambah pula sikap melulu dengan membuat perbandingan antara yang kecil dan yang terbesar.
Dengan rendah diri dan hiba hati, suami isteri ini menyediakan seperti yang disuruh dalam bentuk kecil-kecilan tanpa dilebih-lebihkan seperti yang telah ditegah. Bagaimana jika si Tukang cuci membawa juga apa yang dia inginkan? Tidakkah nanti akan wujudkan lebih pergeseran. Bagaimana kalau tukang cuci bertindak tidak berhalus dengan tidak hadir walaupun dia rasa amat kecewa? Bagaimana sekiranya si tukang cuci tidak berlapang dada dengan tegahan yang diterima? Malah lain-lain suruhan tambahan yang diminta agar si tukang cuci bawa bersama-sama ke majlis jamuan itu dipatuh satu persatu tanpa soal ataupun tidak dibuat endah. ’Tolong bawakan sejadah sama, tolong bawa pelapik, tolong bawa bekas air dan beberapa lagi arahan-arahan lain yang diterima’. Semua itu tukang cuci akur satu persatu. Harapnya hanya satu iaitu usaha-usaha itu tetap diterima, sekalipun hati mereka sekeluarga amat hiba dengan sikap seorang dua orang yang tidak berhalus berurusan dengan mereka sebelum ini. Hati mereka semakin hiba membaca ayat-ayat al-Quran mengenai pahala yang mencurah-curah kerana bersedekah.
Membuat sesuatu kerja sehingga berjaya bukan menuntut kerja itu selesai dengan jaya semata-mata. Sesuatu kerja yang berjaya diselesaikan dengan baik menuntut kita mengurusnya baik dari aspek fzikal, kewangan dan juga hubungan keinsanan dan ketuhanan. Dalam memastikan kejayaan dalam hubungan keinsanan ini, sikap berhalus memainkan peranan penting. Dalam bahasa moden, inilah dipanggil sebagai soft skill ataupun interpersonal skill. Dalam hubungan kerja kita dengan Allah, keredhaan Allah adalah perkara yang paling asas dan kita cari-cari. Jika nak memberi, menerima ataupun menolakpun, tunggu sekejap, tanya semula, apakah kerana Allah keputusan yang dibuat. Ikatan dengan Allah dan hari akhirat mesti bertaut dalam setiap tindakan hatta kita menulis, berkata, mengkritik, membetulkan salah orang, menegur kesalahan orang. Itulah yang kita inginkan dalam setiap proses membuat keputusan, menguruskan tugas dan menguruskan hati manusia. Usahlah kita bertindak tanpa berhalus dengan membandingkan-bandingkan apa yang ingin disumbangkan hatta cuma sedikit ataupun seteguk air kosong ataupun sepotong kuih dengan beratus-ratus botol air dan nasi yang beratus-ratus bungkus. Berhati-hatilah dengan menapis hati kita sebaik-baiknya ketika beremosi, elak dari pendek fikiran, ataupun hanya fikir ingin siap sahaja kerja tanpa dihitung kesan-kesan lain dan buatlah tindakan serta keputusan yang matang.
Sebaik-baiknya kita amat perlu fikirkanlah kembali apa yang berlaku dan telah kita lakukan. Itulah dipanggil sebagai muhasabah. Ketuklah hati sendiri dan perhatikan semula bahasa-bahasa yang kita pernah gunakan dalam komunikasi kita yang lalu. Buat semakan semula. Benarkah aku telah menulisnya begitu? Benarkah aku telah menuturkannya begitu? Benarkah tindakanku yang melulu itu? Benarkah teguran yang telah dibuat, benarkah tuduhan yang pernah dilemparkan, pernahkah tanya perkara yang sebenarnya, pernahkah mendengar penjelasan? Apakah kita sahaja yang berhak membuat penjelasan, demi penjelasan kepada hujah dan pendirian kita? apakah kita memberi peluang kepada orang lain untuk mengatakannya? Pernahkah kita ucapkan/tulis, cukuplah di sini, saya tak ingin dengar apa-apa lagi penjelasan dari kamu? Soalan yang paling penting untuk kita hadapkan kepada kita sebelum kita dihadapkan ke mahkamah Allah ialah, apakah setiap yang aku lakukan ini dilakukan semata-mata kerana Allah dan benar-benar mengharapkan keredhaan Allah?
Jika benar setiap tindakan selama ini dibuat dengan penuh ‘berhalus’ dan penuh ihsan, maka ucapkan alhamdulillah. Jika tidak, beristigfarlah dan bertaubatlah dengan memahami erti nasuha yang sentiasa disebut-sebut.
Sebagai akhirnya, seperti sabda Nabi kepada wanita yang malang itu, sabar itu adalah sewaktu kita mengalaminya, bukan sesudahnya. Maka ingatlah sebelum bertindak, berfikirlah dengan semasak-masaknya dan secara panjang lebar. Sikap berhalus itu, perlu diaplikasikan sewaktu kita menghadapi situasi tersebut, bukannya sesudah nasi menjadi bubur.














