Sumber: Roslan SMS Corner .
Kelantan sokong tuntutan PKPIM
Memang isu sebenarnya bukanlah baju kurung itu sendiri, iaitu baju putih berkain biru. Isunya adalah kain putih yang digunakan terlalu jarang sehingga menampakkan baju dalam yang digunakan para pelajar. Ini yang dibimbangkan bakal mengundang padah kepada pelajar yang berkenaan serta nilai sosial masyarakat.
Dalam akhbar THE STAR hari ini dua orang EXCO Kelantan memberikan pandangan berkenaan isu ini. EXCO Belia, Fatah Mahmud mengatakan bahawa yang pentingnya anak-anak kita mesti dididik agar menutup aurat. Sekiranya wujud kesedaran ini maka tidak berbangkit soal jenis pakaian yang mahu dikenakan. Para pelajar perempuan menurut Fatah mesti memahami bahawa mereka mematuhi perintah Allah apabila mereka mengenakan pakaian menutup aurat.
Manakala EXCO Hal Ehwal Wanita, Wan Ubaidah Wan Omar pula menyatakan baju kurung yang digunakan oleh pelajar perempuan hari ini tidak bermasalah, cumanya ia mestilah digunakan dengan menepati tuntutan syarak. Pakaian menutup aurat termasuklah baju kurung pelajar permpuan tadi mestilah diwajibkan. Inilah sebenarnya apa yang telah disuarakan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) baru-baru ini. Saya mengucap tahniah kepada kedua-dua EXCO Kelantan ini kerana berani berkata yang benar dari perspektif Islam, semoga ianya dihormati oleh semua pihak dan lebih penting lagi dipatuhi oleh pihak-pihak yang berkenaan.
————————————————————–
ROSLAN SMS: Kesal dengan kenyataan Ketua Wanita JIM
Gerakan Islam mestilah sentiasa memiliki kesatuan fikiran (wehdatul fikr) yang melahirkan kesatuan tindakan dan pendekatan terutama dalam menangani suasana penuh pancaroba yang boleh sahaja meletakkan Islam dalam keadaan berbahaya dewasa ini. Harus diakui dalam negara kita sahaja terlalu banyak badan yang masing-masing mahu menjuarai perjuangan ini, apabila banyak bagaikan lidi, diikat menjadi satu, maka kukuhlah ia. Walaubagaimanapun bila banyak, tetapi gagal bersatu malah masing-masing mahu berebut kejuaraan, menafikan sumbangan pihak lain, akhirnya yang menjadi mangsa adalah Islam itu sendiri.
Isu pakian seragam murid perempuan yang dibangkitkan oleh adik-adik kita di Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) tempuh hari adalah sesuatu yang “valid” yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak yang “concern” tentang keselamatan, kebajikan dan moral anak-anak kita. Saya perhatikan banyak pihak yang memberikan reaksi ke atas cadangan PKPIM itu, tidak menghalusi cadangan itu tetapi sekadar memberikan komen bersahaja, lalu tampaklah usaha PKPIM itu seolah “flimsy”, longgar dan remeh. Kalau yang begitu sekadar pemimpin parti atau NGO yang kabur atau tidak jelas Islamnya, tidak mengapa, tetapi apabila yang berjuang Islam juga begitu, kita kesal kerana kita sebenarnya membantu meremehkan isu ini.
Apakah pokok kepada tuntutan PKPIM itu? Adakah meminta ditukar baju putih itu semata-mata tuntutan mereka sebagaimana yang diulas oleh Ketua Wanita JIM yang tidak bersetuju baju putih pakaian seragam sekolah ditukar? Cuba perhatikan semula apa yang mereka tuntut:
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran agar merombak semula sistem pemakaian pelajar perempuan di sekolah rendah dan menengah. PKPIM mencadangkan agar Kementerian Pelajaran menukar baju putih sekolah kepada baju berwarna kerana ia tampak sesuai dan tidak jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan. Jika Kementerian Pelajaran ingin mengekalkan warna putih tersebut, PKPIM mencadangkan agar pelajar perempuan diwajibkan untuk memakai singlet dalam ataupun tudung labuh kerana ia tampak lebih kemas, selesa dan selamat
Perhatikan ada opsyen disitu, pertama agar kementerian tukar warna putih dengan warna lain atau keduanya kalau perlu kekal juga maka diwajibkan agar memakai singlet dalam atau tudung labuh.
Apa masalahnya untuk kita semua bersetuju dengan tuntutan mereka itu? Kenapa kita perlu terbit dengan idea yang jauh lari dari intipati tuntutan asal ini, adakah kerana mereka pelajar dan kita terpelajar maka cadangan mereka tidak masak, cadangan kita sahaja yang baik? Sepatutnya sesiapa atau badan mana yang mahu melontarkan pandangan, meneguhkan tuntutan ini dan terbit dengan hujah-hujah yang membantu.
Antara yang kuat menyerang PKPIM adalah Sister in Islam, yang tidak menerima cara berpakian sebagai punca kepada masalah seksual. Adakah kita juga meraikan dan berfikiran seperti mereka? Saya secara peribadi kesal dengan kenyataan Dr Harlina dari JIM yang dipampangkan hari ini dengan tajuk antara lain: Baju bukan punca gangguan seks (Malaysiakini) Seragam sekolah tidak perlu ditukar (MStar online). Apa maksudnya saya tidak tahu tetapi yang saya yakin ramai yang prejudis terhadap gerakan Islam akan melompat riang membacanya.
Bukan kita tidak boleh berbeza pendapat, tetapi “in times of critical crisis” sebegini, alangkah baiknya jika kita keluar dengan satu mesej yang jelas.
—————————————————
Untuk mendapatkan sidang media wanita JIM – boleh baca link - chemek bersetuju perlunya pendidikan akidah dan moral diberikan perhatian seperti agenda I sidang media tersebut. Pendidikan akidah dan moral ini sudahpun dilakukan oleh banyak pihak samada pihak pengajar sekolah, pendakwah dan juga media.
Tinggal lagi perlunya ada suatu peraturan ataupun guideline sebagai peringatan supaya seseorang itu tidak melampaui had-hadnya. Apabila diberikan garis panduan seumpama ini, bermakna satu garis panduan akhlak dijalankan untuk membezakan – akhlak yang baik dan moral yang buruk. Garis panduan ataupun peraturan ini amatlah perlu. Perlu juga diperhalusi cadangan opsyen yang diberikan ini bukannya mencadangkan hukuman ataupun denda. Tetapi nasihat kepada pembaikian dan peningkatan moral melalui cara berpakaian. Bahkan ia adalah suatu dakwah yang praktikal. Umpama mengajar anak kecil bersembahyang, pengajarannya ialah melalui praktikal ibadah. Anak diajar mengaji dan membacanya walaupun belum memahaminya supaya latihan kebiasaan menjadikan ibadah tersebut sebati dan tersemat pada dirinya dan bagi anak yang berusia 10 tahun, jika meninggalkan ibadah dengan sengaja maka didenda.
Seperti juga adanya peraturan lalu-lintas, pemakaian tali pinggang dan topi keledar dan juga had-had laju dikuatkuasakan. Jika difikirkan apa perlunya peraturan dan had-had tersebut memandangkan pengguna jalan raya telah melalui tahap-tahap pendidikan sehingga mereka mendapat lesen untuk memandu. Tetapi sifat manusia ini yang sering gelojoh, lalai dan tidak menghiraukan keselamatan diri dan orang lain menyebabkan perlunya kepada guideline, peraturan dan juga denda.
Cadangan PKPIM tersebut, pada pandangan chemek, telah mengambilkira pendidikan dan ajaran akidah dan moral yang dicadangkan oleh wanita JIM, tinggal lagi sikap manusia yang beragama ini yang sering kali dicuba dan lalai menyebabkan kita sering kelalaian dan terlupa bahawa dalam al-Quran sendiri menyebut guideline tersebut. Andainya ia bukan suatu perkara yang prioriti sudah tentu ia tidak disebut dalam al-Quran. Sebagai golongan muda yang lebih terdedah dengan suasana dan individu pelajar yang seusia/sebaya – kiranya PKPIM lebih nampak realiti sebenarnya apa yang sedang berlaku dalam kelompok pelajar Islam baik lelaki dan perempuan.



