Tidak terlewat ingin diucapkan selamat bermuktamar kepada semua muktamirin. Mengimbas sejarah Pas, sudah lebih 50 tahun Pas menjalankan kerja-kerja dakwah Islami di Malaysia. Angka separuh abad ini membuatkan chemek terkedu sejenak. Terkedu kerana 50 tahun ini suatu tempoh yang memang lama. Mereka yang terlibat dengan gerakan dakwah ini baik penggerak dan penyokong, sudah ramai yang meninggal dunia. Penggantinya datang dan pergi.
Teringat chemek kepada almarhum nenda (1926 – 1993) yang dikasihi yang pernah menukilkan pada chemek suatu ketika dahulu, ”Tok Ma, tok rajin pakoh Dacing, sejak tahun 1955 (pilihanraya pertama di Malaysia), Tok Ma, pakoh Bule”.
Ada 2 sebab yang mempengaruhi pemikiran Tok Ma chemek ini. Yang pertama ialah pendedahan pengajian Islam di surau-surau dan masjid-masjid. Nenda chemek terdedah dengan pengajian alim ulama kelantan termasuklah Tuk Khurasan di Kg Sireh, Tuan Guru Hj Ahmad di Bunut Payong, Tuan Guru Haji Lah Lubuk Tapah di Pasir Mas, dan ramai alim Ulama’ di pondok kenali dan pondok pasir Tumbuh. Nenda chemek juga mempunyai jadual pengajian khusus pada hari Jumaat. Beliau akan ke Surau Haji Ahmad, batu 2 ataupun masjid Muhammadi untuk mendengar kuliah Jumaat dari Ustaz Muhammad Mustafa. Selesai kuliah ini, nenda chemek ini akan susur dari Jalan Temenggong ke Market Lama. Ataupun dari jalan batu 2, k.krai , akan ambil teksi (beca) ’Pok Pin’ untuk ke Market Lama. Di Belakang Market Lama ini ada kedai Jaafar Rawas dan di atasnya ada ‘Pejabat Pas’. Di pejabat ini – yang dulunya memang buruk, tapi sekarang sudah renovated - Tuan Guru Menteri Besar Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyampaikan kuliah tafsir beliau. Berbekalkan kertas surat khabar ataupun tikar kecil, Tok Ma akan mencari ruang duduk samada di atas tangga ataupun di tepi lorong.
Sebab kedua mengapa Tok Ma pangkah Bule, ialah kerana budaya membaca. Nenda chemek ini ada waktu membaca yang tetap setiap hari. Setiap hari ada 3 sesi membaca yang anak serta semua cucu tidak boleh kacau. Sesi pertama ialah selepas Subuh yakni sesi membaca al-Quran sehinggalah tiba waktu Ishrak. (ada dua tiga orang cucunya yang ‘menurun’ Tok Ma dalam mengaji Quran ini, – bukan chemek)
Sesi kedua ialah selepas Solat Zuhur, iaitu sesi bacaan akhbar dan isu semasa. Nenda chemek akan baca akhbar dari muka pertama hingga akhir. Oleh itu semua isu semasa dalam negara dan luar negara adalah dalam pengetahuan beliau. Berita-berita sukan juga mendapat perhatiannya. Tok Ma tahu berapa jumlah emas yang dimenangi oleh Nurul Huda Abdullah, perenang negara, juga siapa nama jaguh sukan yang lain.(ada seorang cucu dia ‘menurun’ baca surat khabar sepenuhnya ini tapi bukan chemek juga).
Manakala sesi ketiga ialah selepas sembahyang maghrib menunggu waktu isyak. Waktu ini ialah untuk bacaan al-Quran. Selepas Insyak biasa nenda akan menonton rancangan kegemaran samada Drama Minggu Ini ataupun siri komedi. Sehinggalah selesai berita dunia Jam 10. (yang ni ramai cucu-cucunya ‘menurun’ termasuk chemek)
Maka, chemek buat kesimpulan di sini antara faktor yang menyebabkan nenek chemek yang tidak pernah mendapat pendidikan tinggi dan beliau juga tidak melalui pengajian formal di sekolah memilih Pas untuk disokong sebagai sebuah kerajaan adalah disebabkan oleh pengajian agama yang beliau ikuti beserta pendedahan terhadap isu-isu semasa melalui bacaan dan media. kami cucu-cucunya pernah conggak (hitung) waktu Tok Ma membaca dalam seminggu. Lebih kurangnya 4 jam sehari x 7 hari = 28 -30 jam seminggu untuk membaca, manakala untuk pengajian agama 3 kuliah agama seminggu.
Dalam pilihanraya 1990 Tok Ma mengundi Pas untuk kali terakhir. Tetapi sejak itu Pas mentadbir negeri Kelantan. Alhamdulillah semoga pahala memilih kerajaan Pas ini menambahkan timbangannya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1993. Hari itu beliau selesaikan bermuka puasa sunat hari terakhir puasa 6 syawal. Setelah berjalan beberapa langkah selepas mengambil wudu’ . Tok Ma rebah di depan mata chemek, kemudian terus dimasukkan ke Hospital Kota Bharu dalam keadaan tidak sedar. Pada subuh hari terakhir, bertemankan satu-satunya zuriat, yakni Umi chemek, Tok Ma membuka matanya dan mengucapkan syahadah sebagai ayat terakhirnya di dunia. (Sebenarnya sewaktu meninggal dunia, seorang lagi pesakit yang berkongsi bilik dengan Tok Ma iaitu anakanda bongsu Tuan Guru Nik Aziz yang ditemani oleh ibunya, rasanya beliau baru berumur 8-9 tahun ketika itu)
Al-fatihah untuk Tok Ma dan Muslimin Muslimat yang telah mendahului kita.
Apa pandangan Tuan Guru mengenai Muktamar?
