Wanita Kelantan Setelah Tahun 1990

Entries from December 2008

Hudud: Adakah Golongan Bukan Islam dikenakan Hudud?

December 25, 2008 · Leave a Comment

Dalam debat yang berlangsung beberapa hari yang lepas di Balai Islam Lundang, Kota Bharu, salah seorang pendebat telah mencabar lawan debatnya untuk mengeluarkan kenyataan terbuka bahawa Pas akan meneruskan perancangan mengenai perlaksanaan hudud atau kanun jenayah syariah jika mereka mereka mendapatkan sokongan rakyat dalam pilihanraya. Mudahnya, dijawab oleh lawan tersebut bahawa Pas akan meneruskan apa yang telah menjadi prinsip perjuangan jemaahnya sejak sekian lama. ataupun dengan kefahaman mudah bagi para pendengar, ya Pas akan meneruskan rancangan perlaksanaan peraturan-peraturan tersebut.

Tentu pelik apabila yang menolak Hudud ataupun kanun jenayah yang bersumberkan al-Quran itu adalah dari golongan Islam. Amat-amat pelik dan amat menimbulkan tanda tanya.

Tidak pelik langsung jika yang menolak hudud ataupun undang-undang Islam itu di kalangan bukan beragama Islam malah mereka tidak berimanpun dengan Allah, dengan Nabi Muhammad s.a.w ataupun dengan al-Quran yang menjelaskan secara terang-terangan ayat-ayat yang mengandungi cabang-cabang hukum syariah tersebut.

Secara mudahnya chemek bawakan beberapa contoh di bawah yang mengandungi kewajipan-kewajipan yang bersumberkan dari al-Quran dan al-Hadith.

1. Solat lima waktu: Apakah golongan bukan beragama Islam diwajibkan mengerjakan solat lima waktu?

2. Kewajipan menutup aurat/bertudung bagi wanita Islam: Apakah golongan yang bukan beragama Islam diwajipkan menutup aurat dan bertudung?

3. Perlaksanaan perkahwinan menurut tatacara Islam: Apakah golongan bukan Islam yang ingin berkahwin diwajibkan mengikut cara perkahwinan Islam?

4. Kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadan: Apakah golongan bukan Islam juga wajib berpuasa?

Kesemua contoh-contoh di atas adalah antara kewajipan-kewajipan yang biasa dilaksanakan oleh umat Islam samada setiap hari, sekali dalam setahun, sekali seumur hidup dll.

Semua manusia yang berakal baik yang Islam ataupun belum lagi Islam mengetahui bahawa kewajipan-kewajipan tersebut hanyalah untuk orang-orang Islam sahaja.

Semua contoh-contoh kewajipan di atas adalah dari sumber agama Islam yakni al-Quran dan hadith.

Hudud ataupun lain-lain hukum kanun jenayah syariah juga berdasarkan sumber yang sama dari al-Quran dan al-hadith.

Jika kewajipan-kewajipan di atas (no.1-4)  hanyalah dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja maka begitulah juga dengan hukum-hukum jenayah Islam.

Maka begitulah juga dengan apa yang sengaja ditakut-takutkan – Hudud dan hukum kanun jenayah syariah – perlaksanaan tersebut hanyalah peruntukan untuk orang-orang Islam sahaja.

Bagi golongan bukan beragama Islam mereka tertakluk kepada peraturan-peraturan menurut pilihan mereka samada mereka ingin dikenakan hukuman berdasarkan peraturan undang-undang yang sedia ada ataupun mereka boleh menuntut supaya diluluskan peraturan jenayah yang selaras dengan ajaran kitab suci mereka.

Hukum hudud ataupun hukum kanun jenayah syariah hanyalah akan dikenakan ke atas ‘penjenayah’ (beragama Islam) yang disabitkan kesalahan berlandaskan bukti yang kukuh beserta saksi yang adil. Bagi yang bukan penjenayah maka sudah tentu mereka tidak akan dikenakan apa-apa. Hanya golongan penjenayah sahaja yang sepatutnya takut dan mengelak dari dijatuhi hukuman tersebut.

InshaAllah dalam kesempatan lain, perbincangan ini akan bersambung sedikit demi sedikit. Sebagai penutup perbincangan ini, chemek bawakan beberapa kes jenayah untuk dibincangkan. Elok kiranya kita sama-sama bincangkan apakah penyelesaian terbaik dalam acuan wahyu Al-Quran.

1. Perogol bersiri (yang agamanya ialah Islam) yang telah menculik kanak-kanak, merogol serta membunuh mereka.

2. Pencuri-pencuri (yang agamanya ialah Islam) yang telah melarikan harta orang-orang miskin di pusat ar-rahn, di kota bharu.

3. Kes langgar lari (mengakibatkan maut/cedera ke atas orang lain) akibat dari pemanduan di atas paras alkohol yang tinggi (mabuk) – pemandu yang mabuk tersebut beragama Islam.

4. Pembunuhan (menamatnya nyawa orang lain tanpa hak, dendam, dsb.) – penjenayah tersebut beragama Islam.

Categories: Uncategorized

Tahap-tahap Amal (Maratibul Amal) – Imam Hasan al-Banna

December 20, 2008 · 1 Comment

 buku-hasan-albanna

Tentu ramai yang gemar membaca tulisan al-Shahid Hasan al-Banna akan mengikuti satu pemikiran beliau mengenai ‘tahap-tahap al-Amal’. Dalam tulisan ringkas ini chemek ingin kemukakan suatu perbincangan mengenai peringkat turutan yang beliau kemukakan. Dicadangkan agar sahabat-sahabat turut merujuk buku Penjelasan Di Sekitar Risalah Ta’alim (terjemahan) 2006 untuk mendapatkan gambaran yang lebih terperinci turutan-turutan amal ini.

Menurut Hasan al-Banna, apabila seorang individu Muslim mula menyedari tanggungjawabnya terhadap dakwah dan menyerahkan dirinya terhadap kerja-kerja ini, maka sebagai kerangka yang akan menjadi tunjang dan peneguh kepadanya adalah melalui ba’iah. Bai’ah ialah ikrar dan janji terhadap Allah swt yang dilafazkan oleh seorang individu Muslim hasil daripada kefahaman, keyakinan, semangat juang, motivasi dan juga rasa keinsafan.

Ada 10 rukun bai’ah yang dibentangkan oleh al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna bermula dari 1 ) al-fahm 2 ) al-ikhlas 3 ) al-Amal 4 )al-Jihad 5 ) al-tadhiyah 6 )al-tha’ah 7 )al-thabat 8 ) al-Tajarud 9 ) al-ukhuwwah 10 ) al-thiqah

Sepuluh rukun ini menjadikan sesuatu ikrar dan janji untuk menunaikan tanggungjawab dakwah itu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Boleh jadi kita boleh simpulkan bahawa rukun-rukun ini adalah kunci-kunci yang menghidupkan enjin sebuah kenderaan dakwah. Kesemua kunci ini perlu dihidupkan barulah enjin kenderaan itu dapat berfungsi dengan sempurna yang hasilnya akan menggerakkan kenderaan dakwah itu. andaikata salah satu dari kunci-kunci enjin ini tidak dihidupkan ataupun berfungsi maka ia akan memberikan kesan kepada ‘hidup’ atau ‘tidak hidup’ enjin itu dan samada kenderaan itu bergerak, terus bergerak, ataupun mati dan berhenti di tengah jalan.

Selain itu perlu kita ketahui bahawa sesuatu kenderaan tidak akan bergerak tanpa petrol, diesel ataupun lain-lain sumber tenaga. Sumber-sumber ini menjadi ‘input’ yang menjadi bahan bakaran untuk enjin. Iman dan juga ilmu pengetahuan adalah antara sumber yang menjadi ‘input’ untuk para da’iy. Begitulah juga dengan kenderaan yang perlukan air untuk mengimbangi kepanasan enjin, begitu jugalah seorang da’iy memerlukan kepada siraman-siraman wahyu, panduan nabi, amalan ibadah untuk mengimbangi cabaran-cabaran dakwah.

Dalam menghuraikan rukun al-Amal yang menjadi salah satu rukun baiah, al-Syahid Hasan al-Banna mengingatkan:

1. Sebagai ahli gerakan Islam dan dakwah kita mesti menjadi aktivis. Maksudnya bukan menjadi ahli teori ataupun pendebat.

2. ‘amal’ adalah buah bagi ilmu yang ikhlas.

3. Sekadar memasang niat yang baik belum memadai untuk mencapai matlamat apabila tiada usaha yang bersungguh-sungguh.

4. Awas dari menjadi golongan yang hanya melaungkan slogan, dakwaan kosong dan berangan-angan.

Sebagai ahli gerakan Islam dan dakwah, kita memandang penting semua turutan-turutan amal yang digariskan oleh beliau dari tahap 1 sehinggalah tahap 7.

Tahap pertama ialah pembentukan dan pembaikian diri sehingga menjadi individu muslim yang bertubuh kuat, berakhlak, minda yang intelek, mampu berusaha, memiliki akidah yang sejahtera, melakukan ibadah yang sahih, sentiasa bermujahadah jiwa, menjaga masa, urusannya bersistematik dan mampu bermanfaat untuk orang lain.

Tahap kedua ialah pembentukan rumahtangga muslim. Yakni membimbing ahli keluarganya menghormati fikrahnya, menjaga adab dan akhlak Islam, bijak memilih pasangan, mengajar tentang hak kewajipannya, mendidik anak dengan asas-asas Islam. Pendek kata anggota rumahnya menjaga kewajipan dan mengikut cara hidup Islam.

Tahap ketiga ialah membentuk dan membimbing masyarakat. Peringkat ini bermaksud menyebarkan dakwah ke arah amar ma’ruf dan nahi munkar. Sebuah masyarakat yang ingin dibentuk di sini ialah masyarakat yang hidup dengan jiwa Rabbani ataupun ada rasa kepercayaan terhadap Tuhan. Masyarakat ini juga menyokong segala usaha-usaha kebaikan dan kebajikan,serta menolak kemunkaran seperti kekejian, kezaliman dsb. Ini bermakna seorang individu Muslim mula menjalankan dakwah ke atas orang lain.

Antara soalan yang biasa timbul mengenai tahap-tahap ini adalah:

1. Adakah perlu mengikut tahap-tahap ini secara berturut-turut? iaitu bermula dari tahap satu, setelah sempurna ataupun selesai tahap 1 maka berpindah ke tahap 2, dan setelah selesai tahap 2 barulah berpindah ke tahap-tahap seterusnya?

Pada pandangan chemek, secara idealnya jika ia dapat dilakukan sedemikian bolehlah dilakukan begitu. Akan tetapi Islam mengambil kira praktikal, prioriti, mengelak kemudaratan, menjaga kemaslahatan dan beberapa prinsip lain dalam memastikan dakwah berjalan dengan efisen. Dakwah juga mengambil panduan dari nas-nas al-Quran, sirah Rasulullah s.a.w dan juga ijtihad.

Apabila dinyatakan tahap-tahap ini bukanlah bermakna tahap-tahap ini perlu menunggu satu-satu tahap itu tercapai terlebih dahulu barulah berpindah ke tahap seterusnya. Contohnya seorang da’iy yang baru mula mendekati gerakan dakwah. Adakah dia perlu tunggu untuk berdakwah kepada orang lain (tahap 3) yakni peringkat masyarakat cthnya rakan-rakan sekuliah, rakan-rakan serumah, sepersatuan ataupun yang dikenalinya dalam perjalanan ke tempat pengajian kerana dia perlu menyelesaikan terlebih dahulu pembentukan dan pembaikian dirinya sehingga dia menjadi seorang yang bertubuh kuat, berakhlak, memiliki akidah yang sejahtera, melakukan ibadah yang sahih, menjadi seorg yang bermanfaat spt ciri-ciri dalam individu Muslim dalam tahap 1? Persoalan kedua yang chemek ingin kemukakan ialah, jika ingin tunggu dan akan berdakwah kepada orang lain termasuk di kalangan masyarakat (tahap 3), adakah da’iy tadi perlu sempurnakan tahap 2 terlebih dahulu iaitu dia perlu membina keluarga Muslim terlebih dahulu sebelum menyeru orang/masyarakat lain?

Mari rujuk semula tahap-tahap yang dikemukakan oleh Al-Syahid Hasan al-Banna (ms.248-255)

Tahap pertama ialah tahap dakwah kepada diri kita sendiri. Iaitu tahap kita memperbaiki diri kita sendiri sehingga menepati 10 ciri individu Muslim yang digariskan. Tahap ini bukan bermaksud kita berdakwah membentuk individu lain ataupun membentuk diri orang lain. Ini kerana dakwah membentuk diri orang lain ini termasuk dalam dakwah kepada pasangan/anggota keluarga dan dakwah kepada orang lain yang menjadi individu dalam masyarakat dan termasuk dalam tahap 2 dan tahap 3. Tahap pertama ini merupakan langkah asas iaitu seseorang itu berusaha menjadikan dan melengkapkan dirinya untuk menjadi seorang da’iy yang memiliki ciri-ciri terpuji seorang hamba Allah. Pada tahap ini seseorang itu perlu berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan kefahaman, pengajaran, pentarbiyahan, pengalaman dalam memenuhi 10 rukun bai’ah yang telah disebut di atas.

Tahap kedua ialah usaha kita dalam membimbing dan mentarbiyah ahli keluarga kita baik ibubapa, adik beradik, kaum kerabat, memilih pasangan bagi yang belum berkahwin, mendidik anak-anak dengan tarbiyah Islam dsb. Mari kita ambil panduan dari sirah nabawiyah. Apabila Rasulullah s.a.w menerima risalah dakwah baginda mula menyampaikan dakwah tersebut. Khadijah, isteri baginda menjadi orang yang pertama di dunia ini yang beriman dengan risalah baginda. Begitulah juga sepupu baginda Ali r.a, puteri-puteri baginda ke semuanya. Rasulullah s.a.w seterusnya berdakwah kepada bapa saudara-bapa saudaranya seperti Abu Talib, Abu Lahab, Jaafar, Hamzah dan Abbas. Ada di kalangan mereka ini yang beriman dan ada yang menolak malah membuat berbagai-bagai sekatan kepada baginda. Soalnya, adakah baginda tunggu tahap 2 ini sempurna ataupun semua keluarga baginda memeluk Islam dan menerima dakwah sebelum beralih ke tahap berikutnya yakni berdakwah kepada sahabat handai seperti Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin affan, Bilal bin Rabah, Ammar bin Yasir, al-Arqam bin Abi al-Arqam? Adakah baginda tunggu dan menahan dirinya beralih ke peringkat dakwah seterusnya dengan berdakwah ke taif, membuat perjanjian dengan delegasi dari suku Aus dan suku Khazraj dari Madinah?

Sekiranya tahap-tahap dakwah ini mesti dilakukan satu persatu, maka sudah tentu Rasulullah s.a.w tidak akan meninggalkan Makkah dan kaum Quraisy iaitu kaum keluarga baginda sendiri. Jika dakwah mesti ditangguh-tangguh tahapnya satu persatu, tidak akan ada baiah aqabah 1, baiah aqabah 2, tidak perlu Mus’ab bin Umair r.a dihantar ke Madinah kerana keluarganya di Mekah masih lagi musyrik. atau dengan kata mudah penghijrah dan pembentukan negara Islam tidak akan berlaku kerana Rasulullah s.a.w perlu memastikan satu persatu tahap tersebut berjaya dikendalikan. Antara contoh lain ialah dakwah Nabi Nuh a.s. Al-Quran menyebut dengan jelas bagaimana sedikitnya golongan yang beriman dan ramainya golongan yang tidak mengikut dakwah baginda termasuklah isteri baginda dan juga anak baginda. Bayangkan andaikata Nabi Nuh a.s ingin menunggu isteri dan anaknya menerima dakwah baginda terlebih dahulu dan tidak berdakwah kepada selain mereka. Apakah kesudahannya nanti?

Oleh itu tahap-tahap yang dikemukakan oleh al-Syahid Imam Hasan al-Banna bukan bermaksud perlu disempurnakan satu persatu bahkan dilaksanakan mengikut pertimbangan-pertimbangan yang berasaskan panduan dari nas-nas al-quran, panduan sirah nabawiyah dan keadaan semasa yang dilalui oleh para da’iy. Seterusnya tahap berikutnya:

Tahap Empat: Membebaskan tanahair dari kuasa politik, ekonomi, kehidupan ataupun rohani dari kuasa dan pengaruh asing yang tidak berlandaskan ciri-ciri Islam.

Tahap Lima: Membaiki kerajaan sehingga melaksanakan tanggungjawab dan memberikan khidmat untuk kebaikan rakyat. Bagi rakyat beragama Islam mereka tertakluk untuk melaksanakan kewajipan yang ditetapkan oleh agama dan peraturan Islam. Golongan yang beragama dan tidak beragama selain Islam, mereka diganding dan diminta bantuan untuk melaksanakan ataupun memegang kepimpinan yang penting dalam kerajaan sejajar dengan prinsip-prinsip umum yang disepakati dengan Islam (contohnya menjaga keadilan, keamanan, kebajikan, kesamarataan etc)   

Tahap enam: mengembalikan entiti dan negara umat Islam serta membebaskan tanah airnya serta mengembalikan kegemilangan, thaqafah, kebudayaan, ketamadunan dan menyatukan suara mereka ke arah mewujudkan kembali khilafah.

Tahap Tujuh: memimpin dunia dan mengajak kepada cara hidup Islam di segenap penjuru alam.

Empat tahap terakhir ini merupakah tahap-tahap penting dalam berdakwah dan dianggap sebagai tanggungjawab jemaah yang terpenting. Di tahap-tahap inilah ujian sebenar erti dakwah akan berlaku dan seseorang da’iy yang mengikat hidupnya dengan sebuah jemaah Islamiyah akan benar-benar teruji.

Jika dalam tahap-tahap tiga terawal tadi tugasnya lebih mudah dan tidak membebankan bahkan mampu dilakukan secara fardi (taklifan individu) maka pada tahap-tahap terakhir ini makna penglibatan dan penggabungan diri dalam sebuah jemaah akan benar-benar menunjukkan makna dan praktikal amal jama’iy yang sebenarnya.

Pada peringkat ini juga kematangan berdakwah akan terserlah hasil dari cabaran, pengalaman, penglibatan yang lebih kompleks.

Tahap-tahap ini juga akan menjadi batu asas dan petunjuk kepada para da’iy ciri-ciri sebuah jemaah Islamiyah yang beliau bergabung. Tahap-tahap ini akan menjadi carta ataupun penilaian tentang sejauhmanakah usaha dakwah dilakukan menepati saranan-saranan yang dikemukakan baik oleh Imam Hasan al-Banna ataupun rujukan-rujukan lain yang terdiri dari tokoh-tokoh agama, pemimpin-pemimpin gerakan dakwah dan gerakan Islam.

Menurut beliau lagi empat tahap yang terakhir yakni dari tahap 4 iaitu membebaskan tanah air sehingga tahap 7, setiap ahli jemaah perlu bersatu kerana ia adalah suatu tanggungjawab yang berat, besar, dan ia merupakan suatu cita-cita yang besar.

Beliau juga menegaskan beberapa perkara utama bahawa individu Muslim adalah unsur yang paling asas dalam kesemua tahap-tahap ini. Untuk membina dan membentuk individu ini ada beberapa cara seperti disebut dalam ms.255 spt aktiviti pengajian, usrah, gabungan usrah/kitabah, bersiar-siar, riadah, perkhemahan dan byk lg. Individu inilah yg akan bertanggungjawab untuk melaksanakan dakwah seterusnya untuk keluarganya, masyarakat, tanahair dan seterusnya.

Beliau juga menolak pandangan tindakan radikal seperti penggulingan tentera tanpa persediaan dan tidak bersistematik.

Kestabilan dakwah dapat dilakukan dengan mengambil berat tahap individu, tahap pembentukan keluarga, pembaikian dalam masyarakat dan seterusnya dengan membentuk pandangan umum yang Islamik, akur terhadap wahyu serta konsisten dengan cara hidup berlandaskan syariat dari Allah.

Kesimpulan:

Sebagai ahli gerakan Islam dan dakwah, kita tidak seharusnya mengabaikan kesemua tahap-tahap yang dikemukakan oleh Imam Hasan al-Banna.

Kita juga meyakini bahawa asas dakwah bermula dari individu yang memiliki kesemua ciri-ciri tersebut dan sentiasa memperbaiki diri dari masa ke semasa. Pada waktu yang sama akan berusaha melaksanakan dakwah dalam tahap-tahap seterusnya dengan bersungguh-sungguh dan tidak memilih-milih.

Sebagai penutup tulisan ini dikemukakan beberapa soalan untuk perbincangan:

1. Anda seorang yang mempunyai rasa tanggungjawab untuk berdakwah. Ketika ini anda berasakan perlunya menggabungkan diri dalam sebuah jemaah Islam. Berdasarkan saranan-saranan terhadap tahap-tahap dakwah yang dikemukakan oleh tokoh gerakan Islam Imam Hasan al-Banna, bagaimanakah pertimbangan-pertimbangan yang anda fikirkan untuk mencari sebuah jemaah Islamiah dan bergabung dengannya.

2. Anda seorang ahli jemaah Islamiyah yang amat aktif dalam kerja-kerja dakwah pada tahap 3 iaitu tahap berdakwah kepada orang lain. Bagaimanapun anda masih muda dan belum berkahwin. Tidakkah anda berasakan bahawa anda berdakwah tanpa turutan yang sepatutnya?

3. Seorang rakan anda ialah seorang da’iyah muslimah yang belum mendirikan rumahtangga. Pada peringkat beliau sekarang, beliau telah berkerjaya dan bergiat dalam kerja-kerja kebajikan dan dakwah. Satu pandangan telah dinyatakan kepadanya bahawa beliau perlu berdakwah secara bertahap-tahap mengikut turutan tahap 1, tahap 2 dan seterusnya. Pemikiran ini mencabar dan membuatkan beliau berada dalam dilema kerana beliau belum menyempurnakan tahap kedua iaitu pembentukan keluarga anda sendiri iaitu mencari pasangan hidup. Rakan ini anda dapati dirinya adalah model seorang muslimah contoh. Bagaimana harus anda nasihati beliau supaya dakwah tahap 3 dan seterusnya yang sedang dilakukannya tidak berhenti ataupun tergendala.

4. Rakan anda seorang yang baru sahaja terlibat dalam dakwah. Beliau masih berasakan dirinya di permulaan tahap 1. Terlalu banyak lagi kefahaman dakwah dan gerakan Islam yang belum dipelajari. Pada peringkat ini juga rakan anda dipinang oleh seseorang dan beliau sedang menimbang-nimbang pinangan tersebut. Pada pandangan anda adakah wajar dia mengambil keputusan untuk menerima pinangan dan berkahwin dalam masa terdekat di kala tahap 1 proses pembaikian dirinya baru sahaja bermula?

5. Sesetengah orang berasakan dakwah tahap 4 iaitu dakwah membebaskan negara dari pemikiran asing ataupun penjajahan asing bukan termasuk dalam usaha-usaha dakwah. Apa pandangan anda?

6. Sila rujuk dakwah tahap 5. Bagaimana pandangan anda terhadap jemaah Islamiyah yang memisahkan antara dakwah mereka dengan dakwah tahap 5?  

7. Berdasarkan tulisan dan perbincangan bersama-sama rakan anda, bolehkah anda senaraikan beberapa ciri-ciri jemaah Islamiah berdasarkan kefahaman anda terhadap peringkat ataupun tahap-tahap dakwah di atas.

SOALAN TAMBAHAN:

Sekiranya anda adalah penduduk Gaza, pada situasi anda dan masyarakat Islam Gaza, apakah tahap-tahap amal yang menjadi prioriti anda sekarang?

Rujukan:  Buku Penjelasan Di Sekitar Risalah Taalim. (Pengarang Muhammad Abdullah al-Khatib) – Terjemahan Mohd Nizam Mohd Ali – Selangor: Dewan Pustaka Fajar (2006) cetakan terbaru.

ms: 242 – 255

ms: 389 – 404

Categories: DAKWAH

Bagaimana Mendalami Sejarah Islam?

December 17, 2008 · Leave a Comment

history3vol

Individu Muslim lebih-lebih lagi yang bergelar sebagai seorang da’iy amat perlu mendalami sejarah Islam. Bahkan ilmu ini antara pra-syarat utama yang perlu diberikan perhatian sebagai persediaan mengharungi kerja-kerja dakwah sebelum dan sewaktu berada di medan dakwah sebenar.

Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian sebagai ingatan dalam mendalami sejarah Islam.

PERTAMA: Sumber yang didapati perlulah sumber yang sahih.

Sirah Rasulullah dapat diambil dari surah-surah tertentu dalam al-Quran. (a) Al-Quran ialah sumber yang paling sahih bagi sejarah Islam. Diikuti dengan sumber kedua iaitu (b) hadith-hadith Rasulullah s.a.w. cthnya dalam Sahih al-Bukhari terdapat kitab al-Jihad wa al-Siyar, Kitab al-Hudud, bahkan dalam kitab al-Ilm juga boleh didapati kisah-kisah sirah Rasulullah, samada menerangkan mengenai Asbab al-Nuzul ayat-ayat dan lain-lain lagi. Dalam hadith pula kita akan dapati tentang corak dakwah Rasulullah, sejarah hubungan inter-kaum, baiah dan penjanjian. Pendek kata kita boleh mengetahui sejarah era kenabian melalui melihat aspek-aspek penurunan al-Quran yang mencakupi semua aspek.

Selain sumber al-Quran dan hadith, bolehlah dirujuk beberapa rujukan sejarah Islam samada kitab-kitab tarikh yang berbagai-bagai. Bagaimanapun sebagai muslim, kita perlu menyedari akan kewujudan tulisan-tulisan yang bercampur dengan pemikiran dan pengaruh fahaman syiah. Terutamanya penulis-penulis yang berpikiran syiah. Sekalipun karya-karya tersebut popular dan sering menjadi rujukan penulisan sejarah.

KEDUA: Sebagai Muslim yang ingin mendalami sejarah, kita perlu memiliki akidah yang sahihah sebagai asas. Ini kerana sewaktu mendalami sejarah, kita akan bertembung dengan pelbagai aliran pemikiran contohnya, kita akan berdepan dengan aliran pemikiran syiah, khawarij, muktazilah dan lain-lain pemikiran seperti sekular, komunisme, pemikiran moden yang bercerai dari akidah Islamiyah. Antara contoh-contoh kesilapan dalam memahami fiqh dakwah berlandaskan sirah seperti memecah ataupun memisahkan dakwah ataupun penyeruan kepada Islam melalui saluran-saluran kehidupan harian. Cthnya seolah-olah menggambarkan bahawa dakwah Islam hanya disampaikan melalui ziarah dari rumah ke rumah atau dari satu majlis ke satu majlis sedangkan kita mengetahui bahawa Abu Bakar al-Siddiq terutamanya berhasil menyebarkan seruan Islam melalui networking perniagaan. Uthman bin Affan r.a, Abdul Rahman bin ‘Auf yang merupakan kibar sahabat r.a adalah dalam kumpulan koporat mekah yang kaya-raya.

Begitulah juga usaha siyasah Rasulullah s.a.w menemui para pemimpin Quraisy, dakwah baginda untuk menemui penduduk Taif dan pertemuan demi pertemuan (muqabalah) yang diadakan beberapa tahun terakhir baginda di Kota Mekah sewaktu musim haji. Pertemuan-petemuan siyasah tersebut hasilnya membuahkan natijah positif apabila dua tahun berturut-turut penduduk Yatrib datang dan mengadakan bai’ah ataupun dikenali sebagai perjanjian Aqabah I dan penjanjian Aqabah II.

Hubungan diplomat juga sudah bermula sejak baginda masih berada di Mekah. Contohnya pengutusan surat baginda kepada raja Rom dan Parsi. Selain itu baginda juga telah mewujudkan hubungan dengan raja al-Najasy iaitu seorang raja di Habsyah yang beragama kristian. Hubungan diplomatik ini bukan terhad untuk menjaga keselamatan nyawa umat Islam ketika itu sahaja bahkan ia juga merupakan satu contoh hubungan inter-agama di antara Islam dan Kristian. Baginda juga menjamin umat Islam ketika itu bahawa Habsyah adalah negara terbaik untuk dilaksanakan hijrah kerana keadilan raja negara tersebut. Jaminan tersebut disahkan oleh al-Najasy bahawa setiap individu (asylum seekers) yang menuntut keselamatan di negaranya dijamin keselamatan dan tidak akan dihantar pulang. Kerana keadilan al-Najasy yang kemudiannya memeluk Islam, Rasulullah s.a.w melakukan solat jenazah ke atasnya mengenangkan segala jasa-jasa yang beliau lakukan baik sewaktu beragama Kristian ataupun sesudah menjadi Muslim.

Ini adalah contoh-contoh dakwah dan fiqh sirah yang berlaku sebelum berlakunya hijrah baginda ke Madinah. Yakni sebelum negara Islam Madinah terbentuk.

imageofprophetinwestpb

KETIGA: Asas yang kedua ini amat penting kerana memahami sejarah bukan sekadar untuk mengetahui susurgalur sesuatu peristiwa yang berlaku dalam sejarah cthnya: jika kita mengkaji mengenai perang Badar, kita tidak seharusnya membuat kesimpulan segera bahawa kejayaan dalam pertempuran badar adalah kerana satu formula sahaja ataupun satu faktor. Bahkan terdapat banyak perkara yang terangkum menjadikan sejarah perang Badar, merupakan sejarah yang penting dalam Islam.

Kita ambil contoh perang Badar dalam Islam. Sebagai Muslim bagaimanakah harus kita mula mengkajinya?

Tentu kita akan bermula dengan bertanya ‘mengapa’ peristiwa ini berlaku? Kemudian kita akan bertanya ‘bilakah? dan bagaimana? Selalunya, kita gemar bercerita mengenai bagaimana sesuatu peristiwa itu terjadi. Seperti bagaimana peristiwa badar ini berlaku. Maka kita akan ceritakan mengenai tentera Islam seramai 313 orang berhadapan dengan tentera seramai 1000 orang. Kekuatan tentera Islam, ditambah dengan pertolongan Allah.

Jarang kita mendalami sejarah dengan bertanyakan ‘mengapa’ peristiwa Badar terjadi dan penting untuk sejarah perjuangan Islam. Sedangkan jika kita tekuni sebab-sebab yang menyebakan peristiwa ini berlaku sekurang-kurangnya kita akan mengetahui banyak perkara yang melengkapkan sebuah sejarah perang Badar

a) Orang-orang muhajirin baik yang kaya ataupun miskin meninggalkan tanahair mereka makkah, sehelai sepinggang. Jika ada harta banyak ataupun sedikit semuanya ditinggalkan. Jika yang tak berharta sekalipun mereka tinggalkan rumah yang menjadi kediaman mereka sejak lama. Harta-harta mereka ini telah diambil dan diagih oleh Quraisy yang berkuasa. Dengan kuasa politik mereka, golongan ini telah mengunakan harta orang-orang Islam yang ditinggal. Harta-harta baik haiwan ternakan, harta perdagangan, bangunan-bangunan telah diperniagakan baik di dalam kota Makkah ataupun dibawa ke luar Makkah.

Tentulah remuk dan marah hati kaum muhajirin apabila mendapatkan berita semasa dari kota Makkah menyatakan bahawa harta-harta mereka telah diperdagangkan tanpa hak dan sewenang-wenangnya oleh pembesar-pembesar Quraisy. Tentulah makin tidak redha mereka apabila dikhabarkan hasil-hasil titik-peluh mereka dimasukkan dalam tabung-tabung berhala dan digunakan untuk aktiviti maksiat di kota Makkah baik digunakan untuk berjudi, ditabur kepada penari-penari dan para penyanyi yang tidak berpakaian mengelilingi kaabah.

Apakah sebagai seorang yang berakidah mereka berserah sahaja? Menganggap itu sudah suratan takdir dan perlu diredhai? Tentulah tidak sesekali! Kerana itu, apabila mereka mendengar tentang kepulangan delegasi perniagaan yang dipimpin oleh Abu Sufyan yang membawa hasil keuntungan penduduk Makkah. Mereka mula membuat rancangan untuk menyekat kafilah tersebut. Dengan tujuan mengambil kembali harta-harta mereka yang telah dirampas dan diagih-agihkan. Apalah sangatnya dengan harta sebuah kafilah berbanding hak-hak mereka yang sebenarnya di kota Makkah.

Namun, Abu Sufyan berupaya menyelamatkan kafilah tersebut dan belum sempat khabar keselamatannya itu sampai ke tangan pemerintah Quraisy, mereka telah ambil persediaan dan keputusan untuk menyerang Madinah. Ini kerana sampai berita pertama kepada mereka kafilah Abu Sufyan disekat di pertengahan jalan.

Dari sebab faktor pertama, hanya untuk mendapatkan semula gantirugi dari sebuah delegasi perniagaan, faktor perang Badar telah bertukar menjadi sebuah pertempuran melibatkan Makkah dan Madinah. Ia juga bukan lagi menjadi faktor kecil tetapi menjadi sebuah pertempuran melibatkan antara daulah. Wajar bagi kita menyedari bahawa sebaik sahaja peristiwa hijrah berlaku, Yathrib bukan lagi Yathrib yang dahulu tetapi sebuah dawlah yang diinstitusikan dengan 3 asas.

Mana-mana usaha untuk menyerang dan merosakkan Madinah, bermakna mereka ingin menyerang dan merosakkan 3 asas yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Secara ringkasnya 3 asas tersebut ialah Masjid Nabawi merupakan pusat dan sistem yang menjadi kerangka sebuah negara Islam Madinah dan negara-negara umat Islam yang akan dibina. Asas kedua ialah kepimpinan Rasulullah dan perlembagaan Islam Madinah untuk semua kaum dan ketiganya ialah asas persaudaraan yang telah diasaskan oleh asas akidah dan hubungan kaum.

decisive

KEEMPAT: Untuk mendalami sejarah Islam ataupun sirah nabawiyah, ataupun sesuatu isu semasa berlandaskan fiqh terdapat tiga jenis ataupun kategori fiqh yang perlu berikan perhatian (salah satunya ialah memahami fiqh al-Sirah):

a) Fiqh al-Nas – yakni memahami nas-nas yang berkaitan

b) Fiqh al-Sirah – yakni mencari dan memahami peristiwa-peristiwa dari sirah yang hampir dengan kes-kes yang berlaku

c) Fiqh al-Waqi’ – yakni memahami realiti, suasana semasa, keadaan masyarakat yang boleh dikaitkan dengan apa yang sedang berlaku.

Cuba kita ambil beberapa isu semasa yang berkaitan dengan kerja-kerja dakwah dan kaitkan dengan tiga fiqh di atas dalam mencari keputusan ataupun jalan terbaik untuk melaksanakan dakwah. Berikut chemek senaraikan beberapa isu untuk dibincangkan:

1. Konsert  bersama penyanyi yang mendedahkan aurat baik lelaki dan perempuan

2. Kes pembuangan anak perempuan

3. Isu tanah runtuh

4. Melantik pemimpin yang mampu menguruskan masyarakat

5. Hubungan kaum

6. Kes perogolan dan pembunuhan kanak-kanak

Categories: DAKWAH

Keberkatan ILMU yang hilang

December 17, 2008 · 1 Comment

Tulisan ini chemek sediakan sebagai reminder untuk diri dan juga rakan-rakan yang mencintai majlis ilmu. Terutamanya mereka yang bergelar da’iy. Sudah tentu motivasi kita untuk mencari makanan untuk minda dan rohani kita bermula dari membaca dan juga belajar.

cahaya-pengetahuan1

Alhamdulillah, di Kelantan, majlis ilmu tidak pernah berhenti saban hari. Majlis-majlis ilmu ini amat penting kerana ia menjadikan pemikiran masyarakat semakin dinamik. Ia juga menjadi sarana utama proses menghidupkan dan menyucikan hati. Bak tulisan al-Marhum Said Hawwa, salah satu cara tazkiyatu nafs dilaksanakan dalam hidup ialah zikrullah dan juga menghadirkan diri ke majlis ilmu. Selain itu ada hampir 20 lagi sarana tazkiyatu nafs yang beliau persembahkan.

Dalam kesempatan ini, ingin chemek tulis kembali beberapa mutiara yang tidak begitu diendahkan dalam menuntut ilmu agama dan juga majlis-majlis ilmu. Akhirnya menyebabkan banyak celaru baik dari segi etika ilmu, fahaman dan juga amalan terhadap yang diterima. Yang lebih negatif ialah apabila ilmu yang didapati bukan yang dicari tetapi ia menjadi kepercayaan dan pendirian yang tidak digugat. Justeru chemek ingin bawakan pembaca semua kepada beberapa panduan dan amalan penuntut-penuntut ilmu (dan chemek yakin, penuntut ilmu yang bertugas sebagai seorang da’iy, maka lebih-lebih lagi perlu cermat dan mengambil perhatian terhadap panduan menuntut ilmu-ilmu Islami ini).

InshaAllah, ilmu yang didapati akan berkekalan dan dapat digunakan baik untuk manfaat diri dan juga reach out kepada anggota masyarakat di mana sahaja Allah letakkan kita ini untuk berperanan.

Kita sering diulang-ulang tentang keikhlasan dan juga penyerahan hati kita kepada Allah taala. Kadang-kala disebabkan banyak kali kita dengar nasihat supaya mengikhlaskan niat dan hati ini, membuatkan kita kurang memberikan perhatian yang sepatutnya.

1. Apakah maksudnya dengan niat yang suci? 

Maksudnya niat yang amat ikhlas. Untuk memahami makna ikhlas ini secara mudahnya, kita analogikan dengan bahan hasil tapisan yang tulen dan terasing dari bendasing. Ikhlas ialah pengakuan hati bahawa ilmu yang diambil itu akan digunakan sebaiknya kerana Allah ta’ala. Tanpa ada ‘bendasing’ lain yang mengganggu-gugat penerimaan ilmu tersebut.

Ini bermakna ilmu yang diambil dengan hati yang ikhlas akan digunakan secara maksima untuk mendapat keredhaan Allah dan mengajak orang lain untuk sama-sama memanfaatkan ilmu tersebut. Jika yang halal, maka diambil dan jika ilmu tentang haram dan makruh, maka ditinggalkan.

Antara ‘bendasing’ yang mengganggu keikhlasan ialah kepentingan diri sendiri, faktor luar, rasa terpaksa, ingin ambil hati, ingin jaga hati, disuruh oleh ibubapa ataupun orang yang disayangi dan dihormati, dibayar untuk mendapatkannya dan banyak lagi. Contoh-contoh bendasing yang mengganggu hasil tapisan ini amat umum. Maka bolehlah diperincikan lagi melalui perbincangan sesama rakan dan juga bertanya mereka yang lebih arif.

Mengapakan penting ‘keikhlasan’ ini?

Ilmu yang didapati melalui pancaran hati yang ikhlas akan menjadi ‘penggerak’. Ilmu itu bukan sahaja bermanfaat menyuluh hati dan membersihkan pemikiran tetapi juga ilmu itu akan menjadi ‘penggerak’ yang membuatkan seseorang berani untuk melaksanakan kedua-dua titah perintah Allah, amar maaruf dan nahi munkar. Jika hanya salah satu saja, hati kita berani menyatakannya, maka kita perlu membuat muhasabah segera di samping melihat apakah kekosongan yang masih ada sehingga menyebabkan ilmu yang didapati tidak mampu diamalkan sepenuhnya. Ambil kisah si muda dalam kisah Ashabul Ukhdud. Ilmu yang beliau perolehi membuatkan beliau mempunyai keberanian untuk menyatakan yang hak dan menolak yang munkar.

2. Suci jasad- setelah hati kita disucikan dari bendasing dan kepentingan sesuatu, maka kita juga perlulah memastikan jasad kita juga bersih. Bukan sahaja pakaian yang dipakai itu bersih dari najis dan kotaran tetapi anggota badan juga perlu bersih dengan berwudu’. Kesucian kita juga semakin lengkap apabila kita memastikan setiap yang kita gunakan untuk dapatkan ilmu tersebut semuanya dari punca yang bersih ataupun halal. Contohnya pakaian yang dipakai, pensel ataupun alat tulis, kertas, buku, tambang, kereta yang dijadikan pengangkutan digunakan untuk sampai ke tempat mendapatkan ilmu itu juga bebas dari punca yang haram. Salah satu contoh yang sering menjadi sebutan ialah solat sunat hajat yang dilakukan oleh Imam al-Bukhari sebelum memasukkan hadith-hadith yang ditemuinya dalam kitab Sahih al-Bukhari. Jika ada hampir 5 ribu hadith dalam kitab yang paling sahih itu, bukanlah bermakna beliau hanya berwuduk dan solat hampir 5 ribu kali. Bahkan lebih dari itu. Bagi pelajar yang mengetahui sejarah beliau dan title beliau sebagai mujtahid mutlaq serta al-Hafiz dalam bidang hadith, sekurang-kurangnya hadith yang ada dalam hatinya mencecah angka seratus ribu hadith. Bayangkanlah sebanyak itu solat hajat, istikharah yang dilakukan oleh beliau sebelum satu-satu hadith di dalam ingatannya dimasukkan dalam kitab tersebut. Ini baru satu kitab beliau. Tidak termasuk lagi puluhan karya dan catitan beliau yang lain. Ini tertib amalan imam bukhari dalam menjaga kesucian dirinya.

3. Keizinan dan keredhaan. Bagi seorang anak, maka keizinan dan keredhaan dari ibubapanya perlu didapati terlebih dahulu setiap kali memulakan perjalanan. Bagi seorang isteri perlulah mendapat keizinan dari suami terlebih dahulu. Contoh yang mashyur mengenai keizinan ini ialah kisah Imam Nawawi yang dipesan ibunya sebelum musafir mencari ilmu dan kisah Imam al-Shafi’iy yang ditahan oleh ibunya dari kembali ke rumah disebabkan sedikit perilaku beliau yang tidak kena pada pandangan ibunya. Dalam kes ini keizinan dan juga keredhaan ini termasuk sebelum memulakan pengajian dan sewaktu ingin pulang.  

4. Mendapatkan ilmu dari mursyid yang alim. Jika kita telusuri amalan para salaf al-salihin, mereka amat menjaga etika keempat ini. Ada beberapa panduan yang perlu diberikan perhatian yang serius oleh penuntut ilmu Islam. Lebih-lebih lagi seorang da’iy.

a) Berusaha dengan sesungguhnya untuk mendapatkan ilmu dari alim-ulama yang paling dekat dengan rumahnya. Yakni alim-ulama yang ada dalam kampungnya terlebih dahulu. Seseorang itu dianggap tidak beradab jika dia mencari guru lain di luar tempat tinggalnya walaupun untuk mendalami ilmu Islam sedangkan belum habis lengkap ilmu didapati dari orang alim yang berada hampir dengan tempat tinggalnya itu ataupun tempat dia bermukim. Contohnya, kita digalakkan menuntut ilmu dengan imam di kampung atau kota tempat kita tinggal.

b) Jika di dalam satu tempat itu ada beberapa orang alim, maka menjadi tanggungjawab penuntut ilmu itu untuk berdamping dengan guru yang paling berilmu, paling berpengalaman, paling berusia.

c) Setelah habis berguru dengan semua alim-ulama di tempat yang menjadi mukimnya itu, barulah dia dikatakan beradab untuk keluar mencari guru lain. Bagaimanapun dia perlu menuntut ilmu dengan guru yang paling hampir dengan kampung halamannya. Begitulah dia beransur-ansur ke tempat lain menjalankan ‘rihlah ilmiyyah’ ataupun menghadiri program ilmiyah ataupun tarbiyah.

Etika no.4 ini menjadi amalan para alim ulama’ lebih-lebih lagi alim ulama yang menjadi ‘ustaz’ kepada masyarakatnya. Antara contohnya Imam Malik bin Anas, yang berguru dengan seluruh alim ulama Madinah. Beliau tidak pernah keluar ke tempat lain kerana ramainya alim -ulama yang perlu dirujuk dan diambil ilmunya. Contoh lain ialah Imam al-Bukhari, Imam Muslim dan Imam Abu Dawud. Mereka adalah tokoh hadith awalan selepas Imam Malik dan Imam Ahmad Ibn Hanbal. Ketiga-tiga tokoh ulama’ ini memulakan sesi pengajian di kampung halaman. Hanya setelah selesai pengajian di satu-satu tempat, barulah mereka berpindah ke tempat lain. Terdapat satu buku menarik yang ditulis mengenai rihlah mereka ini dan inshaAllah jika ketemu semula dengan buku tersebut chemek akan masukkan dalam entry ini. Tambah-tambah lagi pengarang buku tersebut menyediakan peta lokasi perjalanan mereka dari kampung halaman sehingga lah mereka pulang kembali ke kampung mereka ataupun mereka wafat.

Jika difikirkan, mengapakah perlu ada prioriti seumpama ini? Apa pandangan sahabat-sahabat semua?

Apalah salahnya mendalami ilmu di tempat lain dan pada waktu yang sama ada alim ulama’ di tempat sendiri?

Penuntut ilmu Islam adalah insan yang perlu menjadikan ‘adab’ sebagai perkara asas dalam mendalami ilmu dan juga asas untuk mendapatkan keberkatan.

Melihat kepada rihlah ilmiyah yang dilalui oleh para alim ulama’, kita mendapati bahawa ilmu yang mereka terima bukan sahaja bermakna, malah juga matang dan bermanfaat untuk dirinya dan juga orang lain.

Mendapatkan ilmu di tempat masing-masing terlebih dahulu akan menjadi langkah awal seseorang itu menyedari dan memahami situasi yang berlaku dalam masyarakatnya sendiri sebelum dia disibukkan dengan medan dan suasana baru yang bukan mengikat kehidupannya.

Lebih-lebih lagi seorang da’iy, sudah tentu ilmu Islam dan ilmu dakwah yang dia dapati, hanya dapat diimplementasikan apabila dia memahami dan mengerti medan yang mengikat kehidupannya. Bayangkan jika seseorang itu terus mendapatkan ilmu untuk dilaksanakan di kampung halamannya daripada orang lain yang mungkin belum pernah menjejakkan kakinya di kampungnya.

Hanya setelah menguasai sepenuhnya ilmu di tempatnya, barulah dia beransur ke tempat lain dan menuntut ilmu dari ulama di tempat lain. Dalam proses ini, kita dapati ilmu akan dimatangkan dengan sendirinya. Apa yang dipelajari di kampung halamannya barangkali akan ditemui lagi di tempat baru tetapi dalam suasana yang berbeza. Bukan sahaja guru-gurunya mempunyai pendekatan berlainan bahkan mereka juga akan memberikan pendedahan ilmu yang pelbagai. Suasana, ulama’ serta masyarakat yang berbeza akan menjadikan seseorang itu lebih matang dan berpengalaman untuk bertindak.

Selain itu, ia akan menjadi panduan kepada seseorang untuk memilih corak ilmu terbaik untuk disampaikan kepada masyarakatnya. Dengan kematangan tadi dan juga beberapa proses dan peringkat yang telah dilalui, maka seseorang itu akan menjadi bijak dalam membuat pertimbangan dan mampu mencari jalan berdasarkan prioriti dan juga kehendak masyarakatnya.

Bayangkan jika seseorang itu mendapatkan ilmu Islam dari seseorang alim ulama dari tempat lain. Apabila pulang ilmu yang didapatinya itu walaupun hebat sekalipun belum tentu sesuai diaplikasikan. Kadang-kala dengan bersikap terburu-buru untuk mendapatkan ilmu seseorang itu, tanpa hirau kesan jangka panjangnya, akan mencari ilmu-ilmu Islami di tempat yang jauh. Benarlah, jauh perjalanan luas permandangan. Tetapi kerapkali juga, seorang penuntut ilmu menjadi lupa dan membuat perbandingan-perbandingan yang tidak sepatutnya. Maka dibanding-bandingkan di antara para alim ulama dengan kritikan tertentu sehingga menjatuhkan maruah mereka tanpa sedari. Jika kita mendalami secara tertib dan beradab, sudah tentu kita akan memperolehi kedamaian dan ketenangan. Sudah tentu juga, ilmu yang dicedok bukan digunakan untuk berlumba-lumba dan membandingkan kekuatan serta kelemahan.

5. Selain itu, sebagai penuntut ilmu kita perlu menghindari daripada membuat kritikan secara bias terhadap pandangan yang tidak digemari. Amatlah salah jika kita menulis ataupun mengemukakan pandangan dengan membuat kritikan negetif terhadap para alim ulama yang tidak disokongi dengan penyataan-penyataan seperti yang biasa kita baca dalam beberapa tulisan yang menggambarkan seperti ‘golongan ulama yang tertutup’, golongan tradisional yang tertutup’ ataupun golongan ulama moden yang radikal’ dsb. Penulisan ataupun gambaran pemikiran seumpama ini dalam pendidikan ilmu Islam amat tidak berakhlak. Ia bukan sahaja menggambarkan seseorang itulah yang memiliki pemikiran ‘yang tertutup’ sehingga tidak dapat menerima pandangan-pandangan lain bahkan menggambarkan keegoan seorang penuntut ilmu yang berasakan dirinya lebih hebat. Sifat ujub lagi ego seumpama ini tidak layak bertakhta pada diri seorang penuntut ilmu yang cermat menjaga hati dan pemikirannya.

6. Ilmu bukan untuk disimpan tetapi untuk dilaksanakan. Menurut satu pepatah arab yang mahsyur ilmu tanpa amalan (perlaksanaan) ibarat pohon yang tidak berbuah. Hasil ataupun ukuran pencapaian kepada ilmu yang diperolehi ialah bergantung kepada samada kita memahaminya, menghayati dan serentak mengamalkan/mempraktikkan ilmu tersebut. Banyak ilmu-ilmu yang dipelajari akan hilang ataupun dilupakan apabila ia tidak diamalkan.

Categories: DAKWAH