Kisah Teladan 2: Sebuah Perkahwinan.


Ini pula kisah kedua. Jika larat dan berminat boleh baca seterusnya.

Nora, 15 tahun mengetahui ayahnya berkahwin kali ke2 pada hari raya puasa. Kakak sulung (anak angkat ayah dan ibunya) pulang ke rumah setelah berhari raya di rumah jiran-jiran dengan teresak-esak terus masuk ke bilik. Nora yang terkejut dengan apa yang berlaku mengekori kakaknya, 17 tahun. ‘Makcik M cakap, ayah kita kahwin lagi’, jelas kakak mengesat air matanya. Serta-merta Nora berasa darahnya berderap. Kemarahan meluap-luap tetapi dia tiba-tiba terduduk. ‘Mungkin ni cuma cakap-cakap saja’, luah Nora yang mula remaja.

Petang itu, Nora mengagahkan dirinya. Setelah tetamu pulang. Nora datang rapat mendekati ayah. Belum sempat Ayah menegurnya, Nora terus bertanya, ‘Ayah, betulkah ayah telah kahwin lain?’

Wajah si ayah berubah. Ini kerana perkahwinan kedua itu seharusnya terus menjadi rahsia. Kerana perkahwinan ini bukan saja tidak mendapat persetujuan ibu Nora tetapi sebenarnya tidak pernah diutarakan kepada ibu Nora. Jika pecah, bagaimana harus dia hadapinya. Bahkan dia sendiri telah letakkan syarat awal-awal kepada isteri kedua, perkahwinan kedua ini tidak boleh diimpikan akan menerima layanan yang sama. Kerana juga isteri 1nya adalah segala-galanya dalam hidupnya sebelum ini. Dia tak mahu membuatkan isterinya sedih dan kesedihan ibu Nora nanti akan turut menyeksa batinnya. Dalam situasi isterinya sekarang, itulah berita terakhir yang dia seharusnya terima. Mereka baru kehilangan salah seorang zuriat mereka. Antara syarat lain yang ditetapkan sebelum melangsungkan perkahwinan itu juga isteri ke2 tidak boleh sesekali bertemu dan berurusan dengan isteri 1 sehingga akhir hayat. Kalau boleh biarlah payung emas diterima oleh isteri 1 di akhirat kelak, diperolehi secara bonus dari Allah. Lagipun isteri 1 mengidap penyakit sejak kelahiran terakhir adik Nora. Dia tak mahu isteri 1 memikirkan perkahwinan kedua itu kerana dia sakit. Bahkan perkahwinan kedua berlangsung sebelum mereka suami isteri tahu tentang penyakit itu. Takut nanti tambah derita jiwa isterinya setelah penderitaan fizikal yang dialaminya.

Tambah lagi, tiada cacat cela pada isteri 1. Dia adalah wanita yang paling baik yang pernah ditemui dalam hidupnya. Dia adalah wanita yang paling banyak berkorban untuknya. Dia juga wanita yang paling berakhlak yang pernah ditemui. Orangnya ada pengajian agama yang mantap. Al-Quran sentiasa dibibirnya. Masuk sahaja ke dapur, nyanyiannya hanyalah zikir, doa dan al-Quran. Jiwa murabbiyahnya tidak berhenti di sekolah tetapi di rumah semua anak-anaknya terasuh dan terdidik.Tak pernah keluar dari mulut isterinya yang pertama kata-kata yang menyakiti hatinya. Bahkan dia adalah orang terakhir yang akan tahu tentang keburukan orang. Apabila ada saja bual-bual gossip, isterinya orang pertama akan mengangkat punggung meninggalkan kelompok itu. Pendek kata, tiada aib dan tiada sebab pada diri isteri 1 yang boleh membuatkan dia mencari perempuan lain. Itulah isterinya yang pertama, ibu kepada Nora dan anak-anaknya yang lain.

‘Kalaulah mereka yang bawa cerita ayah ini berfikir, dan mereka ingin jaga keharmonian seluruh keluarga kita, mereka tak sepatutnya cakap semua ini’, jawab ayah. Ayah tak memberi jawapan lanjut. Dalam hati Nora, dia tahu, ayahnya memang sah telah kahwin dua. Nora tinggalkan ayah dengan perasaan berkecamuk. Jiwa remaja turun naik. Tetapi yang pasti dia geram dan berdendam. Berdendam dengan ayah sendiri. Dendamnya memuncak mengenangkan ibunya yang sakit dan dia pernah melihat ibunya menyerahkan barang kemas yang dipakai dan disimpan untuk digadai oleh ayahnya.

Masuk ke bilik, Nora masih melihat kakaknya masih murung. Kakaknya ini cuma kakak angkat sahaja, tetapi kesedihannya seumpama ayah kandung sendiri yang berkahwin. Tiba-tiba Nora berasa bimbang. Bagaimana kalau ibunya tahu? Apakah ibunya akan murung dan lebih sedih lagi? ‘Nora dah tanya ayah tadi, ayah cakap tak, semua tu cakap-cakap orang yang jahat’, kata Nora berbohong. ‘Betul Nora?’pinta kepastian kakak. ‘Betul, mana ada, cuba lihat, ayah tiap-tiap hari ada kat rumah, kalu tak de pun dia pergi KL, kerja dia dekat KL sana sibuk. Kita pun tahu sebab kita selalu ikut ayah. Mana dia ada masa untuk semua ni’, bohong Nora lagi. ‘kalau ada lagi orang cakap benda ni, cakap saja yang buat jahat dekat keluarga kita dan nak buatkan kita sedih’, kata Nora, kali ini dia macam jadi kakak. Kakak mengesat air mata. Itulah kali pertama dan terakhir mereka bercakap mengenainya.

Seperti yang diungkapkan oleh Nora, jiwa remajanya bertarung. Bertarung untuk menjadi anak yang soleh dan anak yang memberontak. Akhirnya Nora buat pilihan. Dia akan jadi anak yang soleh untuk ibunya, dan dia akan jadi seorang pemberontak untuk ayahnya. Di depan ayah, perangainya menjadi kasar dan bengis tetapi depan ibunya dia mengawal dirinya. Kadang-kala dia terfikir menyalahkan ibunya, kenapalah ibunya terlalu baik dan terlalu sangat percaya pada ayah. Kesan psikologi perkahwinan ini bukan hanya menimpa ataupun dirasai oleh suami isteri tetapi bagi anak yang tak dapat menerima takdir tersebut mereka akan menjadi pemberontak sekiranya tidak dikawal. Sebab itu pasangan suami isteri perlu sentiasa membaca surah al-Tahrim. Dalam surah ini ada kisah pakatan jahat para isteri Rasulullah s.a.w untuk menyakiti hati baginda. Bayangkan Allah swt membongkar kisah perkahwinan Rasulullah dan perjalanan hidup baginda dan isteri-isteri sehingga ia membuka pekung di dada. ‘Siapa yang memberitahu ini, wahai Rasulullah’, tanya salah seorang isteri baginda, maka dijawab oleh Rasulullah, Allah. Ini satu peringatan dari Allah tentang tanggungjawab mereka yang ingin mendirikan rumahtangga.

Beratnya urusan sebuah Baitul Muslim ini ditekankan lagi dalam ayat berikutnya. Apa yang difirmankan oleh Allah? Lihat dalam ayat yang enam setelah amati dua ayat sebelumnya. Dalam ayat ke-6, Allah berpesan kepada si suami dan isteri agar memelihara diri mereka sendiri dan memelihara keluarga mereka daripada terkena bahan bakar api neraka yang terdiri dari batu dan batang tubuh manusia yang derhaka. Allah juga peringatkan mengenai adanya malaikat yang bengis yang akan bertindak kasar dan bengis terhadap mereka, mereka ini kasar dan bengis tetapi mereka taat dengan apa yang Allah perintahkan dan mereka ini selalu melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah.

Chemek berasa perlunya ayat ini diperhalusi secara mendalam. Amat besar tanggungjawab yang dipikul oleh suami isteri (ibu/bapa) dalam sebuah keluarga. Mereka bukan sahaja perlu memelihara diri dan pasangan masing-masing daripada membuat dosa, maksiat dan keingkaran, mereka perlu juga menjaga pasangan masing-masing dengan saling membuat amalan yang soleh, yang menambah pahala dan ketaatan. Tanggungjawab ini bukan dipikul oleh hanya seorang tetapi dua individu suami isteri yang telah berjanji untuk membina sebuah keluarga. Pincang seorang, maksudnya akan pincang pasangannya.

Tanggungjawab menjaga ahli keluarga dalam ayat seterusnya bukan hanya terhad dalam maksud menjaga anak-anak semata-mata. Apabila kita membina keluarga, kita menghubungkan pertalian dua buah keluarga. Jika perkahwinan itu lebih dari satu pasangan, maka lebih besar lagilah tanggungjawab pemiliharaan anggota keluarga yang dipikul tambah lagi tanggungjawab untuk melahirkan zuriat, mentarbiyah dan membesarkan mereka. Kepincangan dalam memelihara pertalian, hubungan ataupun apa sahaja yang berkaitan dengan anggota keluarga yang bertambah ramai harus digeruni oleh suami isteri. Mereka bukan sahaja akan menerima azab dan balasan/fitnah sewaktu di dunia yang sementara tetapi ada balasan dan azab yang terlampau berat dan kekal di akhirat kelak.

Chemek percaya pembaca boleh fikirkan sendiri contoh-contoh azab dan balasan yang diterima oleh pasangan suami isteri yang mengambil ringan tanggungjawab ini. Berapa ramai anak derhaka terhadap ibubapanya? Berapa ramai menantu dan anak bermasalah dengan ibubapa dan adik-beradik pasangan masing-masing? Bagaimana agaknya keadaan apabila bapa mentua hilang kepercayaan terhadap pasangan anak perempuannya? Dan banyak lagi masalah lain jika tak diambilberat dan dijaga yang kadang-kala menyebabkan ia menjadi terlalu kompleks, saling menfitnah dan hilang kepercayaan.

Sejak hari raya itu, Nora tidak pernah senyum kepada ayahnya. Nora menjadi ujian, penyakit dan azab yang begitu berat kepada ayahnya sendiri. Ada apa sahaja di depannya akan dihempas dan dibaling. Jika ayahnya bertanya, jawabnya tidak ada yang sesuai ataupun jawapan itu dari seorang anak yang tiada hormat pada orang tua. Dia memilih untuk senyap jika ayahnya ingin bercakap ataupun bertanya apa sahaja. Raya tahun itu merupakan hari terakhir Nora mencium tangan ayahnya.

Perubahan Nora disedari boleh ayah dan ibunya. Ayahnya tahu mengapa Nora berubah seratus peratus sikap dan perangainya. Apa daya yang dia ada? Tangannya takkan hinggap untuk menghukum Nora. Ini kerana sebelum inipun caranya membetulkan kesalahan Nora tidak dengan hukuman fizikal apatah lagi setelah dia berkahwin lagi. Semarah-marah dia sebagai ayah hanya melalui lidah sahaja. Sekarang dia sendiri rasa kelu. Nora seumpama nampak ia satu peluang untuk lebih menyakiti ayahnya. Jika ayahnya marah padanya, terbuktilah ayah sudah tidak sayang lagi. Tetapi ibunya menyangka Nora menghadapi situasi baru alam remaja. Sebab dia biasa menghadapi kerenah pelajar-pelajarnya yang sedang meningkat remaja. Ibu Nora tidak terfikir perubahan sikap Nora itu berpunca dari rumah. Disangkanya ia dari pengaruh luar rumahdan rakan-rakan sebaya.

Sebagai ibu yang ada kefahaman Islam yang mendalam, dia mula mengambil satu langkah baru untuk merawat jiwa Nora yang sedang memberontak. Dia tahu Nora akan mengikut katanya. Setelah Nora tamat peperiksaan PMR, ibunya mengatur jadual harian sebagai kursus spiritual untuk Nora. Diajak Nora bangun malam bertahajud dan sekali sekala mereka mendirikan solat hajat bersama sebelum tidur. Perhatian kepada Nora dilebihkan. Dia percaya rawatan spiritual akan dapat menyelamatkan Nora walau apa jua penyakit yang dihadapinya. Itu yang dirasai oleh dirinya sendiri setelah dia ditimpa sakit, kemudian diuji dengan kematian anaknya bertimpa-timpa. Sewaktu menjaga bayinya, dia mendapat khabar baru tentang penyakit yang dihidapi. Setelah pulih seketika, anak lelaki bongsunya yang ada down syndrome iaitu abang kepada yang paling bongsu tiba-tiba demam panas dan meninggal dunia.

Pendek kata pelbagai cara kerohanian diusahakan oleh ibu Nora. ‘Malam ini boleh Nora solat tahajaud?’, Hari ini boleh Nora istigfar 100 kali?, Apakata hari ini kita selawat sama-sama 100 kali, hari ini ibu nak ajar Nora satu doa, Nora tahu apa makna ayat ini?  Esok, Nora teman ibu pergi shopping, tapi kita pergi dengar ceramah dulu sebelum tu’, ‘Ibu sangat suka hadith 40, kalau Nora dapat hafal hadith-hadith ini, bagus tu’. Ini antara silibus tarbiyah ibu Nora untuk anak gadisnya yang sedang meningkat usia 16 tahun.

Nora melalui pertarungan emosi yang serius. Bertarung di antara memilih jalan untuk insaf dan berdamai saja dengan ayahnya ataupun terus menyakiti hati ayahnya yang telah berkahwin lain. Jika dalam surah al-Tahrim yang chemek kemukakan tadi dikisahkan mengenai usaha isteri-isteri untuk menyakiti hati suami, kini perbuatan Nora juga seumpama itu, cumanya penyakitan itu dibuat oleh seorang anak. Selain dari Nora, ada lagi beberapa orang lain yang cuba menyakiti hati ayah dan ibu Nora. Ini termasuklah bapa-bapa saudara dan juga ibu-ibu saudara Nora sendiri, yang merupakan adik-beradik kandung ayah Nora. Peliknya mereka menyerang ayah Nora, tetapi ibu Nora masih lagi Allah jaga dari fitnah dan bentuk-bentuk penyakitan seperti yang ayah Nora terima. Ini bukan dari orang lain yang tiada hubungan kekeluargaan.

Di samping itu, Nora sendiri melihat beberapa kali peristiwa orang perempuan yang datang bertandang ke rumah yang membuka cerita-cerita poligami orang lain di depan ibunya. Nora dapat mengagak kawan-kawan ataupun sedara mara yang datang itu cuba memberitahu ibunya secara tidak langsung tetapi mereka tak sampai hati ataupun takut untuk berterus-terang. Mungkin mereka juga masih ada lagi perasaan hormat pada ayah Nora. Tetapi pada masa yang sama, mereka seperti mahu tahu apakah ibu Nora tahu dan sedar tentang wujudnya perkahwinan lain dalam hidup ayah Nora. Sikap orang seumpama ini menambah lagi rasa sakit hati dalam diri Nora.

Bayangkan lima tahun berlalu kemudiannya. Nora masih mengekalkan hubungan tidak hormat dan mesra terhadap ayahnya. Setelah berjaya dalam SPM, Nora melanjutkan pengajian ke Universiti di Kuala Lumpur. Jarak Kota Bharu dan KL mengurangkan krisis dan sedikit sebanyak ada kesan positif. Nora pula banyak libatkan diri dengan aktiviti di universiti dan ini mengalih perasaannya sedikit sebanyak. Tetapi ayah Nora masih tidak putus asa untuk menjernihkan hubungannya dengan anak kesayangannya. Dia mahu Nora kembali menjadi anaknya seperti sebelum Nora tahu tentang poligaminya. Setiap keperluan Nora akan dipenuhi dengan sempurna. Susah sekalipun dia hadapi baik urusan kerjanya di luar rumah, dia akan penuhi juga. Jika ibu Nora menefon Nora seminggu sekali bertanya khabar Nora di universiti, ayah akan telefon Nora selang sehari ataupun selang dua hari. Jika Nora hadapi peperiksaan, dia akan telefon setiap hari dan tanya macam mana dia hadapai peperiksaan setiap kursus yang diambilnya. Tidak cukup dengan itu, dia akan berkunjung melawat Nora dan sediakan tiket untuk Nora pulang. Pernah sekali, Nora pulang dari kuliah dan demam panas. Melihat keadaan Nora yang amat teruk, roomatenya menghubungi keluarga Nora. Tidak sampai tiga jam, ayah Nora menunggu Nora di luar asramanya untuk membawa Nora ke hospital dan kemudian pulang ke rumah. Pernah seorang rakan Nora menyatakan kekaguman dia terhadap perhatian ayah Nora kepada anak. Tetapi Nora tidak menerima pujian rakan karibnya itu sebagai suatu yang membanggakan.

Kesan tarbiyah ibu, masa dan suasana yang berubah  sedikit sebanyak telah membuat Nora berfikir kembali tentang apa yang berlaku. Sepanjang lima tahun yang telah berlalu, ayahnya tidak ada langsung perubahan yang negatif. Bahkan ibunya sendiri sentiasa diutamakan. Suatu hari Nora bertemu dengan salah seorang pensyarahnya yang juga merupakan sahabat baik ibubapanya sejak Nora masih kecil lagi. Pensyarah ini mengenali ayah dan ibu Nora bahkan seluruh adik-beradik Nora. Setelah berbincang mengenai projek kursus, pensyarah ini minta Nora tunggu sebab dia ingin tanya Nora tentang keluarga, lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir itu, ayah Nora tidak sihat.

Setelah bertemu dengan pensyarah hari itu, Nora menjadi serba-salah. Lebih-lebih lagi beberapa minggu lepas saja, dia diminta pulang oleh ibunya setiap hujung minggu kerana ayahnya tidak sihat. Minggu ini dia akan pulang lagi. Sudah tiga minggu berturut-turut Nora pulang pada petang jumaat dan tiba semula di kuala Lumpur pada hari Isnin dengan penerbangan terawal.

Bukan tidak ada rakan-rakan yang cuba menasihatinya. Tetapi sering sahaja Nora mengambil sikap, teguran dan nasihat rakan-rakan karibnya belum cukup berkesan untuk dia. Lagipun mereka tidak mengalami emosi dan pengalaman seumpamanya. Pada hujung minggu itu, buat kali pertama Nora menyapa dan meminta ayahnya untuk membawanya ke rumah isteri ke-2. Nasihat dari pensyarah yang seusia dengan ayah telah membuatkan Nora berasa perlu berbuat sesuatu. Lagipun dia tak mahu keluarga dan hubungan dengan ayahnya terus retak. Bagaimana jika sesuatu berlaku pada ayahnya? Kesihatan ayahnya belum pulih sepenuhnya. Tetapi kerana permintaan Nora itu yang memang sudah lama ditunggu-tunggu, akhirnya mereka berdua bertolak. Ayah Nora berkali-kali meminta kepastian, benarkah Nora benar-benar bersedia? Dengan cermat Nora memandu kereta dan akhirnya mereka tiba di sebuah kampung.

Akhirnya Nora tiba di rumah isteri ke2 ayahnya. Sebuah rumah kampung lagi usang yang nyata jauh kecil dari rumah banglo yang didiami oleh ibunya. Akhirnya dia bertemu dengan wanita yang membuatkan dia membenci ayahnya lebih dari lima tahun. Bukan sahaja bertemu dengan isteri kedua tetapi juga adik-adik Nora dalam peringkat usia sekolah rendah. Tinggal bersama dalam rumah itu kedua-dua orang tua yang bekerja kampung sebagai petani. Isteri ayahnya ada beberapa orang adik-beradik. Ada yang bekerja mengambil upah menjahit kerana menyara anak kerana bercerai dengan suami yang ketagihan ubat batuk. Ada dua orang lagi adik lelaki yang seusia dengan Nora dan mereka masih belajar. Seorang belajar dalam negeri dan seorang lagi belajar di timur tengah.

Sewaktu dalam perjalanan pulang, Nora bercerita ayahnya bertanya beberapa soalan kepadanya. ‘Nora telah lihat siapa isteri kedua ayah. Ayah kahwin lagi bukan seperti orang lain yang kahwin lagi. Ayah bukan kahwin untuk bangga-bangga ataupun untuk tunjuk di depan rakan-rakan ayah.’ Apakah ayah berkahwin dengan seorang perempuan yang muda? ‘Apakah ayah berkahwin dengan seorang permpuan yang cantik?’, ‘Apakah ayah berkahwin dengan seorang perempuan yang kaya?’ Apakah dia lebih berpelajaran dari ibu Nora?’. ‘Nora sudah lihat siapa keluarga dia’, Soalan-soalan itu Nora jawab di dalam hatinya.

Benar, perempuan yang ayahnya kahwin bukan wanita yang muda tetapi seorang perempuan yang sudah berumur. Usianya mungkin muda sedikit beberapa tahun dari ibu Nora. Jika nak dibandingkan dengan ibu Nora, ibunya memang lebih cantik. Penampilan lebih terjaga baik dari sudut pakaian dan penjagaan aurat. Ibunya ada pendapatan sendiri sedangkan wanita yang ayah kahwini sememangnya bergantung hidup sepenuhnya dengan saraan dari ayah. Malah ayah Nora juga turut membiaya kedua-dua adik isteri keduanya yang sedang belajar. Tiba-tiba Nora berasa betapa beratnya tanggungan dan besarnya tanggungjawab yang sedang dipikul oleh ayahnya. Hanya orang yang bersedia dan berfikir semasak-masaknya sahaja yang sanggup untuk melaluinya.

‘Ayah akan beritahu ibu Nora satu hari nanti. Tetapi bukan sekarang.’ Ketika Nora bertemu dengan isteri ke2 ayahnya, hampir kesemua adik-beradiknya telah tahu dan sudah bertemu dengan keluarga kedua. Nora menjadi orang kedua terakhir bertemu keluarga itu di kalangan adik-beradiknya. Semua tidak pernah menyebut dan berbincang tentang perkahwinan tersebut di dalam rumah kerana ingin menjaga perasaan ibu mereka dan juga kerana amat menghormati keinginan si ayah. Sehinggalah beberapa tahun berikutnya, kira-kira kurang dari sebulan dari hari terakhir hayat ayah mereka, barulah ibu mereka tahu dari mulut ayah mereka sendiri. Bagaimana perasaan ibu Nora, tidak dapat chemek khabarkan kerana tidak mengetahuinya dengan lanjut. Bagaimanapun menurut Nora, ibunya pernah kata, ayah Nora dan anak-anaknya yang lain memang terlalu menjaga kerana takut dia sedih ataupun bimbang hatta anak perempuan yang paling bongsu (iaitu orang terakhir yang dibawa bertemu keluarga kedua Ayah setelah Nora) pernah dia tanya ke mana si bongsu pergi (walaupun dia sudah tahu ketika itu anaknya dibawa oleh abang-abangnya untuk ziarah keluarga kedua), anak bongsunya itu pun berhelah tidak menceritakan ke mana dia telah pergi.

Terlalu panjang kisah ini. Cukup di sini sebagai teladan untuk semua. Keluarga ini terselamat dari fitnah seperti perbalahan antara suami isteri disebabkan oleh perkahwinan lain. Mereka juga terselamat kerana setiap mereka menjadi orang yang bertanggungjawab untuk mengurangkan masalah. Nora pada awalnya terpengaruh dengan pemikiran dari luar telah terhalang dan sedikit lambat untuk melihat apa sebenarnya yang  telah dilakukan dan dilalui oleh ayahnya melalui perkahwinan keduanya. Paling penting dalam kisah ini ialah bagaimana usaha dibuat oleh semua pihak untuk menjaga perasaan isteri1 dan menghormati beliau lebih-lebih lagi ia bermula dengan serius dan bersungguh-sungguh dari suaminya sendiri. Siapa yang paling baik di kalangan mereka dan mendapat ganjaran dari Allah baik di dunia dan di akhirat hanya Allah jua yang maha adil dalam menilai hamba-hamba-Nya. Kiranya perlu juga dinyatakan di sini peranan orang lain amat perlu untuk mengurangkan masalah dan tidak menjadi agen menyampaikan berita yang mungkin pahit, menyakitkan hati dan menyedihkan orang lain sekalipun berita itu suatu kebenaran kita rasakan. Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Salah satu kriteria sempurnanya Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang bukan keperluan/tidak penting bagi dirinya’

Tambahan: Latarbelakang keluarga Nora. Sederhana, adik beradik 10 orang termasuk 2 anak angkat yang dipelihara oleh ibubapanya. Ini tidak termasuk lagi adik-adik Nora berlainan ibu. Selain itu, ayah Nora membiaya keluarga abang iparnya (abang ibu Nora) kerana kesihatan fizikal abang ibu Nora yang sudah berumur dan tidak mampu bekerja. Ayah Nora juga membiaya dua buah keluarganya yang lain iaitu anak-anak dua abang yang sudah kematian bapa mereka. Kedua-dua kakak ipar ayah Nora tidak berkahwin lain setelah kematian suami mereka, setiap keluarga ini mempunyai anak lebih dari 5 orang. Ketiga-tiga buah keluarga ini dibantu sehingga anak-anak mereka boleh berdikari/dewasa.

tinggalkan komen/pertanyaan/perbincangan.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s