Ujian: Tiada yang sia-sia daripada Allah


Pulang dari solat hari raya Idul Adha, demam seminggu kembali. Sudah seminggu tidak mampu beraktiviti hatta untuk ke sekolah pun tidak mampu. Rupanya demam untuk berpisah. Lemahnya kita untuk menyedari itu rupanya ia petanda daripada Allah. Saat-saat terakhir bersama dengan anak yang dikandung selama lapan bulan. link

Hati ini terlalu ingin untuk solat berjemaah lagi-lagilah kali ini ia akan jadi satu kenangan hari raya yang terakhir.  Begitulah apabila kita terpaksa menerima hakikat ‘yang terakhir’. Apa sahaja yang diniatkan sedaya upaya ingin ditunaikan semata-mata kerana ia peluang terakhir. Ramadan terakhir, kunjungan terakhir, sedekah terakhir, jamuan terakhir, penyertaan terakhir atau apa sahaja yang akan dilalui sebagai yang terakhir. Alangkah sedihnya jika apa sahaja peluang terakhir terhalang. Tetapi tiada yang sia-sia dari Allah. Apabila ingat ini kembali, ia jadi ubat untuk kita sabar dan redha.

Bayangkan bagaimana kita berhadapan setiap saat dalam keadaan peluang yang terakhir? Peluang terakhir untuk belajar. Peluang terakhir untuk bekerja. Peluang terakhir untuk bertemu dengan orang tua. Peluang terakhir untuk memeluk dan mencium anak-anak. Peluang terakhir untuk bersedekah. Peluang terakhir untuk berpuasa. Peluang terakhir untuk bangun solat bermunajat dan memohon ampun kepada Allah taala.

Gambar ini chemek dapati dari email dalam bulan ramadan yang lepas. Sudah lupa dari mana sumbernya. Rasanya Gambar-gambar umat Islam dari seluruh dunia menyambut hadirnya Ramadan al-Mubarak.

Banyak sungguh yang Allah tunjuk pada kami sejak dari bulan Ramadan yang lalu sehinggalah baru-baru ini memeluk putri kami yang tersayang pada kali terakhir. Tetapi tiada yang sia-sia dari Allah. Apabila ingat ini kembali, ia jadi ubat untuk kita sabar dan redha.

Allah sentiasa memberi apabila kita meminta dengan sepenuh hati. Alhamdulillah tercapai juga niat di hati untuk solat dan mendengar khutbah hari raya. Namun selesai mengerjakan solat,  setelah berlanggar kembali dengan cuasa yang amat dingin pulang sahaja dari solat hari Raya, badan sudah tidak berdaya untuk bangun. Ada tiga empat sahabat dan jiran menjemput ke rumah ‘rumah terbuka’ selepas solat dan sebelah petang. Tetapi satu jemputan pun chemek tidak dapat dipenuhi. Tetapi tiada yang sia-sia dari Allah. Apabila ingat ini kembali, ia jadi ubat untuk kita sabar dan redha.

Esok paginya ada lagi. Sambutan hari raya komuniti. Janji dibuat pada diri untuk bangun sekurang-kurang memasak gulai dan pulut kuning. Akhirnya kalah juga dengan ujian kesihatan kali ini. Apa lagi tak pernah kami tidak hadir dalam program komuniti hatta sibuk dengan kerja dan study atau uzur sedikit-sedikit. Ini kali pertama dan tak sangka majlis hari raya yang terakhir juga di sini. Terlepas untuk bersua dengan mereka yang seperantauan berhari raya. Kata kawan-kawan yang hadir ada pelbagai lauk-pauk menu hari raya yang boleh membuat wanita mengandung macam chemek mengidam. Telan air liur sahajalah. Tetapi tiada yang sia-sia dari Allah. Apabila ingat ini kembali, ia jadi ubat untuk kita sabar, redha serta kenyang dengan nikmat-nikmat Allah yang lain dalam keadaan badan yang letih dan mulut yang pahit untuk menelan apa jua makanan dan minuman.

Suami chemek  gusar melihat chemek. Dia serba-salah untuk tinggalkan chemek di rumah yang ketika itu dengan anak-anak sedangkan dirinya pun demam.  Tetapi dia telah nyatakan kesanggupan untuk turut serta sebagai panel forum. Apabila kita memberi, kitalah yang paling banyak mendapat manfaatnya.  Jika tiada perkara yang besar menghalang, setiap janjinya pasti akan ditunaikan. Akhirnya suami chemek pergi ke majlis tersebut dan berkongsi mengenai tiga pengorbanan. Chemek tahu dia berat hati tetapi ia menjadi ujian untuknya. Sebelum dia bercakap tentang pengorbanan.Pengorbanan si ayah Nabi Ibrahim. Pengorbanan si ibu Hajar. Pengorbanan seorang anak bernama Nabi Ismail. Suami chemek perlu buktikan dia lulus ujian Allah. Bukankah Allah bertanya kita pembaca al-Quran, mengapa kalian tidak kotakan apa yang kalian katakan? Tanpa disangka rupanya ujian Allah hari itu berterusan. Jangkanya cuma tinggalkan chemek beberapa jam, tetapi ada rakan meminta bantuan sehingga hampir lewat malam baru suami chemek selesai dan pulang. Apabila kita menjaga Allah, Allah akan menjaga kita! Alhamdulillah esoknya chemek berasa semakin pulih.

Allah bertanya kita dalam al-Quran, siapakah yang lebih baik perkataannya yang mengajak orang kepada Allah? Alhamdulillah, suami chemek dapat menunaikan taklifannya. InshaAllah, tiada yang sia-sia dari Allah. Apabila ingat ini kembali, ia menjadi kegembiraan dalam hati kita.

Dalam Buku Dr ‘Aid al-Qarni yang diterjemah kepada ‘Jagalah Allah, Pasti Allah Menjagamu’ ada dinyatakan tingkat-tingkat ujian dari Allah taala. Antaranya ujian kesihatan, ujian harta-benda, ujian anak-anak yang disediakan oleh Allah s.w.t.

Ujian ini juga datang baik dari perbuatan manusia ataupun bencana alam. Ujian datang dari anak. Ujian datang dari keluarga. Ujian datang daripada rakan-rakan. Sebab itu kita mesti berdoa supaya kita tidak menjadi ‘sebab’ kepada ujian terhadap sesiapa jua yang boleh menyebabkan mereka kecundang tingkat iman, jatuh maruah akhlak dan apa sahaja.

Contoh ujian dari Al-Quran terlalu banyak untuk kita membacanya. Nabi Ayyub diuji dengan mehnah kesihatan. Nabi Adam diuji dengan perancangan syaitan ke atas baginda, isteri dan juga anak-anak. Nabi Zakaria diuji dengan anugerah kekayaan dan kekuasaan sehingga bahasa haiwan dapat difahami. Nabi Yusuf sejak dari kecil dibuang ke telaga. Telaga menjadi penjara yang dicipta oleh adik-beradik sendiri. Setelah meningkat usia, sekali lagi Yusuf dipenjara oleh penguasa hasil konspirasi wanita golongan atasan.

أم حسبتم أن تدخلوا الجنة ولما يأتكم مثل الذين خلوا من قبلكم مستهم البأسأ والضرأ وزلزلوا

حتى يقول الرسول والذين أمنوا معه متى نصرالله ألآ ان نصرالله قريب

“Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga sedangkan belum lagi datang kepadamu apa yang telah mengenai orang-orang yang terdahulu dari kamu; mereka dirasakan dengan kesakitan dan kepapaan dan digoncangkan (pegangan) mereka sehingga berkata oleh rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya `Bilakah lagi datang pertolongan Allah’ Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir”. Al Baqarah : 214

Benar! Siapalah kita yang kerdil ini untuk dibanding-bandingan dengan para Nabi dan awlia’ (wali-wali). Jauhnya perbandingan ini untuk diserasikan bagaikan jauhnya tujuh langit dan dalamnya tujuh lapisan bumi. Nak dibandingkan ujian yang kita alami dengan orang lain di luar sana, juga tidak sesekali boleh disamakan kerana mereka lebih hebat lagi menanggung penderitaan.

Hari ini kita mengalami kehilangan seorang anak. Hari ini jua seorang ibu di Palestin saja kehilangan beberapa orang anak. Bahkan suami, rumah tempat berteduh, kaum keluarga yang lebih ramai. Malunya kita nak membandingkan ujian kita dengan mereka.

Hari ini kita berasa terlalu sempit baik dari sudut masa, duit dan berbagai lagi. Tetapi jauh di sana ramai lagi orang yang mengalami kesempitan dalam serba-serbi kekurangan, kelemahan, kelaparan, halangan dari segenap penjuru. Apa yang mereka hadapi lebih dari diri kita.

Jika kita hanya berfikir setakat diri kita sahaja, kita takkan mampu untuk memahami keadaan orang lain yang jauh lebih diuji. Jika kita hanya berfikir dalam jangkauan apa yang kita alami sahaja tanpa mendalami keadaan dan isi hati orang lain, kita takkan berupaya untuk melihat sesuatu perkara secara mendalam dan lebih dari kotak kehidupan peribadi. Kesannya ialah kita menjadi orang yang terburu-buru dalam tindakan, percakapan atau apa jua. Kita hanya berfikir sekadar melepaskan kesusahan dan kesulitan peribadi/diri sendiri dan akan suka atau cepat menyalahkan orang lain. Termasuk menyalahkan orang lain yang tidak mampu memberikan bantuan atau melepaskan tanggungan.

Dalam sirah Rasulullah, Allah menguji baginda sejak kecil. Lahir tanpa bapa di sisi. Membesar tanpa ibu yang disayangi. Diajar hidup di pedalaman sedangkan titih keluarga baginda adalah kerabat atasan yang menjaga Baitullah. Datuk baginda bukan calang-calang orang, bapa saudara juga bukan orang-orang biasa. Ujian dari Allah tak pernah surut baik ketika bergelar al-Amin ataupun sesudah menjadi Muhammad Rasulullah.

Menjadi Rasul bukan menandakan baginda mendapat penghormatan manusia tetapi yang lebih ialah cercaan dan penyakitan baik secara fizikal, lisan ataupun fikiran. Bayangkanlah Rasulullah s.a.w sewaktu kita berhadapan dengan saat-saat sukar ataupun senang dalam hidup kita. InshaAllah ingatan itu akan menjadi kita berpijak di bumi nyata apabila berhadapan dengan rempuhan ataupun ribut, kecil ataupun besar, banyak ataupun sedikit mehnah dan ujian hidup. Ingatkah kepada peristiwa Rasulullah s.a.w berdoa kepada Allah setelah gagal memasuki Makkah, rumah baginda sendiri setelah pulang dari Taif? Rasulullah s.a.w menadah tangan: Ya Tuhanku, aku hanya mengadu kepadamu kelemahanku..

Jika kita seorang da’iy, apalah nak dibandingkan dengan tidak secubit pun sumbangan dan pengorbanan yang kita infakkan untuk perjuangan agama Allah ini. Jika ada sedikit ujian baik kesempitan harta, kesihatan, anak-anak ataupun ada halangan lain seperti hubungan ataupun perselisihan faham, mudah saja boleh membuatkan kita tumbang dek kelemahan anggota badan, kurang pengalaman dan ilmu dan menurunnya kekuatan rohani.

Akhirnya yang susutnya bukan fizikal kita tetapi keimanan dan rasa dorongan untuk bekerja untuk Islam dengan hati yang ikhlas. Lama kelamaan inilah yang melorong kepada perhentian ataupun platform untuk berlepas diri dari dakwah, bebas dari tanggungjawab dan gagal untuk konsisten dalam siri-siri latihan tarbiyah hatta usrah yang ringkas dengan alasan yang mudah. Semua ini ada diulas satu-persatu oleh Dr Muhammad Nuh dalam buku al-Afat fi al-Tariq (Halangan-halangan Jalan Dakwah)

Jika sebuah kereta, lori, bas ataupun kapal terbang memerlukan kepada bahan bakar untuk bergerak dari satu lorong ke satu lorong, dari satu stesen ke satu stesen, dari satu lapang terbang ke satu lapang terbang, manusia pun begitu juga. Mereka perlukan bahan bakar yang dipanggil siri-siri usrah, pertemuan tazkiyyah, tamrin dsb. Ajaibnya Allah ini tidak pernah sia-sia dalam setiap kejadiannya hatta dalam ujian sekalipun. Ujian Allah boleh jadi menjadi medan untuk menjadi ‘bahan bakar’ untuk memastikan para hamba-hamba-Nya benar-benar konsisten dan kotakan apa yang dilafazkan.

Allah akan sentiasa menguji para da’iy untuk mengetahui siapakah yang benar-benar terhasil dari rantaian celupan Allah. Allah akan menulen para da’iy untuk melihat siapakah yang akan berundur sebab manusia dan siapakah yang akan terus melangkah tanpa surut walau dihalangan oleh nafsu, manusia ataupun syaitan. Allah akan lihat siapakah kita, begitu juga Rasulullah s.a.w dan orang-orang yang beriman. Seperti dalam salah satu ayat dalam surah al-Tawbah, bekerjalah kamu maka Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman akan melihat kerja (perbuatan/tindakan) kamu’.

Suka chemek berkongsi satu doa yang diajar oleh seorang sahabat (orang Arab) yang selalu menyampaikan talk beliau di masjid berdekatan dengan rumah chemek. Doa yang beliau ajar ialah, Allahumma inni as aluka al-afwa, wa al-‘afiah, wa al-mu’afat. Maksudnya Ya Tuhan-ku, aku memohon keampunan daripada-Mu dengan menghapuskan dosa-dosa dari catitan amalanku, aku memohon afiat dari segala penyakit/musibah dan aku memohon diselamatkan dari orang ataupun perkara yang menyakitiku.

Doa ini akan menjadi senjata dan juga perisai di kala kita benar-benar memerlukan Allah dan juga sewaktu kita alpa dan lalai. Bayangkan doa yang sedikit, ringkas tetapi bersungguh boleh menjadi penawar apabila dikepung dengan seribu macam ujian. Berkat doa yang sentiasa dibaca di kala senang ataupun sukar akan ada kesannya dalam diri pada saat-saat keperluannya.  Walaupun kita  hamba-Nya yang pelupa untuk mengingati-Nya.

Setiap ujian, kejadian, atau apa sahaja adalah suatu yang tidak sia-sia daripada Allah. Hatta sebutir salji sekalipun. Cuma kita yang sering gagal mencari maknanya.

tinggalkan komen/pertanyaan/perbincangan.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s