Kepada Sdra/i tanpa nama, terima kasih kerana meninggalkan komen dalam salah satu posting terdahulu. Dalam kesempatan yang terhad dan ringkas ini, Chemek ingin kongsi pandangan mengenai komen yang ditinggalkan dengan kemukakan pandangan peribadi, yang boleh jadi salah dan boleh jadi benar, yang boleh jadi boleh diterima orang dan boleh jadi juga susah diterima.
Sejak 20 tahun mentadbir kelantan, saya fikir kita tidak jumpa tindakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menyebabkan saham Islam jatuh. Sebagai pemerhati di Kelantan dan luar kelantan, saya dapati yang banyak jatuhkan nama Islam ialah pihak lain. Mereka yang menempelkan Islam, bangsa dalam tindakan mereka. Akhirnya kita tertanya-tanya, itukah Islam?
Bergabung dengan parti politik bukan Islam bukanlah perkara baru. Jika kita telusuri sejarah di negara Islam dan bukan Islam, kita akan dapati bergabung dengan pihak yang tidak muslim / Islam bukanlah perkara baru. Contoh yang mudah untuk kita faham, ialah ketika berlakunya penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dan sewaktu dalam perjalanan ke Madinah bersama Abu Bakar al-Siddiq, Rasulullah s.a.w telah menerima kerjasama dengan seorang penunggang kuda bukan Islam bernama Suraqah. Beliau asalnya ingin menangkap Rasulullah kerana inginkan hadiah seratus elor unta yang ditawarkan oleh pembesar Quraisy. Suraqah seorang yang ada kepentingan lain dan asalnya memang memusuhi Islam dan Rasulullah. Namun beliau diselamatkan oleh Rasulullah sewaktu kuda yang ditungganginya tergelongsor dan berada dalam keadaan bahaya. Beliau tidak memeluk Islam tetapi demi membalas budi Nabi yang telah menyelamatkannya, telah menjadi penunjuk jalan sehingga Nabi dan Abu Bakar dapat tiba di Madinah tanpa dihidu oleh musuh-musuh yang lain.
Tiada ada perkara yang pelik jika pihak agama lain ingin membina kuil ataupun Chat yang terbesar ataupun tertinggi di Kelantan. Saya sebagai orang Islam tidak ada masalah dengan perkara ini dan pendirian saya ini tidak dipengaruhi oleh pandangan dan sokongan politik kepada Pas. Pembinaan tokong terbesar sudah ada di Kelantan sejak BN mentadbir negeri kelantan kalau nak disebut. Pernah dengar tentang ‘reclining buddha’ di tumpat? Ia antara tokong buddha yang telah wujud sebelum kerajaan Pas mengambil alih negeri Kelantan. Salah satu tokong buddha yang bukan sahaja terbesar di Malaysia tetapi di asia tenggara. Oleh itu hujah menyatakan saham Islam jatuh disebabkan oleh Pas bergabung dgn golongan bukan Islam dengan mengaitkan dengan pembinaan tokong/kuil tidak dapat diterima.
Kita harus lihat banyak isu dengan terbuka dan matang demi kesejahteraan rakyat. Masyarakat Cina di Kelantan terutamanya masyarakat peranakan cina amat berbeza dengan kaum cina di negeri lain. Mereka lebih mengerti budaya orang melayu dan sering berbahasa melayu dengan lancar. Apabila mengadakan kenduri, menu dan tukang masak mereka memasak masakan melayu. Kalau hadir ke majlis kenduri perkahwinan mereka di kampung-kampung kita disediakan dengan pelbagai masakan melayu seperti laksa kelantan, nasi gulai kawah dan kadang-kadang diiringi dengan alunan persembahan dikir barat yang ‘tok joro’ nya orang cina tetapi boleh berdikir melebihi kemampuan remaja melayu generasi y pada hari ini.
Apabila tokong ‘standing buddha’ dibina di Kelantan – saya rasa orang Islam di Kelantan tidak berasa apa-apa pun bahkan kita akur kepada konsep ‘untuk kamu agama/cara hidup kamu, untuk aku cara hidupku’ dan ‘tidak ada paksaan dalam beragama’. Bahkan ia suatu petanda bagaimana masyarakat bukan Islam yg amat minoriti di serambi Mekah ini dapat menikmati kebebasan dalam beragama.
sebelum saya terlupa, saya ingin mengajak sdra/i untuk menyelidiki / membaca kisah pembinaan Dome of the Rock yang menjadi mercu tanda masjid al-Aqsa iaitu masjid ketiga tersuci bagi orang Islam. Sejarah pembinaan Dome / Kubah kuning keemasan serta keunikan senibinanya merupakan gabungan senibina-arkitek seorang jurubina Kristian dan seorang arkitek Muslim. Sewaktu membinanya jurubina itu tidak Muslim/belum memeluk Islam. Namun setelah siap binaan tersebut dan beliau terpengaruh dengan konsep dan rekabentuk berasaskan wahyu hasil idea arkitek Islam pada zaman Umayyah itu, jurubina Kristian itu memeluk Islam.
banyak juga masjid-masjid di negara eropah menggunakan kepakaran golongan bukan Islam untuk membinanya…
Islam takkan jatuh sahamnya jika bergabung dengan golongan bukan Islam, tetapi kita mengambilnya sebagai peluang untuk menonjolkan kehebatan dan ketinggian Islam, mungkin lambat untuk difahami.. tapi kita mesti bersabar.
kepada tanpa nama – usahlah bersedih
Assalamu’alaikum…
setuju dengan artikel ni. tahaluf siyasi pernah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w sendiri