Wanita Kelantan Setelah Tahun 1990

Entries categorized as ‘Tafsir’

Surah Taha: Kisah Kepulangan Nabi Musa a.s

December 14, 2009 · Leave a Comment

Surah Taha mengemukakan episod risalah Nabi Musa a.s yang amat bermakna untuk kita hayatinya. Menariknya dalam surah ini, Allah saw taala kemukakan episod-episod kehidupan dan perjalanan dakwah Nabi Musa a.s secara imbasan kembali.

Apakah hikmah, apakah rahsia yang boleh digali dari surah ini? Barangkali Allah ingin tunjukkan kepada kita pembaca al-Quran bahawa surah ini bukan sahaja untuk menggambarkan kehidupan dan liku-liku dakwah Nabi Musa yang berduri dan penuh dengan tribulasi semata-mata tetapi sebenarnya setiap episod kisah-kisah para anbia dan aulia dalam al-Quran telah dirancang dengan teliti oleh Allah swt. Bayangkan setiap episod kehidupan mereka contohnya Nabi Musa a.s merupakan perjalanan proses marhalah-marhalah tarbiyah sehingga baginda diutuskan secara rasmi sebagai seorang Nabi dan rasul.

Dalam surah al-Kahfi yang pernah kita baca sebelum ini, kita pernah berjumpa dengan satu kisah perjalanan baginda bersama seorang hamba yang salih. Dalam perjalanan tersebut ada tiga episod ataupun marhalah tarbiyah yang disediakan oleh Allah untuk baginda. Begitulah seterusnya dalam beberapa kisah yang lain dalam kehidupan Nabi Musa a.s. Apabila kita membaca surah Taha, al-Qasas dan al-Syua’ara contohnya kita akan temui lagi kisah perjuangan hidup dan dakwah Nabi Musa a.s. Masihkah ingat kisah baginda yang dihanyutkan di sungai? Demi menyelamatkan seorang anak, si ibu telah berusaha untuk mencari jalan-jalan terbaik untuk anak yang dikasihi. Tanpa disangka, sungai yang difikirkan jalan yang paling selamat telah membawa Nabi Musa a.s (yang masih kecil) ke istana Firaun? Sebaik sahaja kecamuk si ibu reda melihat anaknya pergi dibawa arus, datang debaran baru tentang haluan peti anaknya menghala ke Firaun, raja segala raja kezaliman.

Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini. Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya: Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu. Ketika saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang-orang yang memungutmu: Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh memeliharanya? Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu supaya tenang hatinya dan supaya dia tidak berdukacita kerana bercerai denganmu dan semasa engkau membunuh seorang lelaki, lalu Kami selamatkan engkau dari kesusahan pembunuhan itu dan Kami telah melepaskan engkau berkali-kali dari berbagai-bagai cubaan; kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun dalam kalangan penduduk negeri Madyan; setelah itu engkau sekarang datang dari sana pada masa yang telah ditentukan, wahai Musa! (Taha 37 -40)

Nabi Musa a.s membesar di istana sebagai seorang putera raja. Ditatang bagaikan minyak yang penuh, dipakaikan dengan pakaian yang indah, dihidangkan dengan hidangan yang paling lazat, dilimpahi hidup dengan kemewahan. Disediakan sebaik-baik pendidikan baik untuk menajamkan pemikiran ataupun menguatkan jasad. Pelik bukan? Ibu Nabi Musa a.s menyangka anaknya bakal bertemu ajal sekelip mata, rupanya Allah menjadikan istana tersebut tempat yang paling selamat untuk baginda. Begitulah yang terjadi sebaliknya dalam tadbiran dan pengetahuan Allah s.w.t.

Al-Syahid Sayyid Qutb melahirkan pandangan yang amat menarik dalam penulisannya Fi Zilal al-Quran mengenai kepulangan Nabi Musa as. Inilah babak pertama Nabi Musa dalam surah ini yang berkisar tentang kepulangan. Setiap manusia dia akan terasa suatu ikatan yang amat kuat dengan tempat asalnya. Dari sekecil ‘kepulangan’ sehingga sebesar ‘kepulangan’ ke negeri akhirat. Itulah nature seorang da’iy yang mana dia akan memberikan prioriti untuk berdakwah dan mengubah dirinya sendiri, kaum keluarga, tanah air yang lebih hampir ikatan tersebut dengan dirinya biarpun jasadnya jauh merantau.

Ikatan inilah yang menarik-narik jiwa Nabi Musa untuk pulang walaupun sepuluh tahun berada di bawah bumbung tarbiyah seorang Nabi di Madyan dan berkeluarga di sana, belum menjamin dan tidak memberikan satu desakan yang kuat untuk dia terus berumahtangga dan menyumbang di Madyan. Di tambah pula, kezaliman Firaun di negeri sendiri yang sebut-sebut orang dan didengar-dengar dari jauh telah menyebabkan Nabi Musa merasa bertambah kuat perlu baginya untuk kembali. Inilah perasaan da’iy ataupun pendakwah yang mengetahui di manakah prioriti dan halatuju dakwah mereka.

Tetapi kembali Nabi Musa a.s yang bagaimana? Kembali untuk dihukum sebagai seorang penjenayah? Atau kembali untuk menamatkan hayat di tangan Firaun? Sedangkan dia tahu sebagai seorang lelaki berketurunan bani Israel, hidupnya tidak akan selesa, bahkan sudah ramai yang telah dibunuh baik sejak usia mereka kecil sehinggalah peringkat mereka yang sudah berusia.

Sepuluh tahun dahulu, Nabi Musa a.s terpaksa menyelamatkan dirinya setelah terlibat dengan konflik perbalahan di antara dua bangsa Qibti dan Israil. Konflik bangsa yang sia-sia dan tiada masa depan di bumi Mesir. Tetapi baginda menjadi mangsa keadaan. Seorang manusia yang tidak suka kezaliman dan kekejaman terpaksa masuk campur untuk menamatkan sengketa. Siapakah suka kepada konflik ? Apatah lagi jika hatinya ada jiwa penghambaan kepada Allah taala? Siapakah yang suka penindasan ? lebih-lebih lagi bagi seorang manusia yang menjunjung keadilan dan hak yang sama buat semua?

Baginda yang terperangkap dalam konflik tersebut secara tidak sengaja membunuh seorang yang berbangsa Qibti sewaktu menyelamatkan seorang lagi yang dizalimi kebetulannya dari keturunan bani Israil. Demi mengelak mudarat dan hukuman yang takkan berpihak kepadanya, Nabi Musa a.s terpaksa mencari jalan keluar dari Mesir. Dalam suasana semasa yang akan menyebabkan baginda tidak akan mendapat pembelaan yang adil bahkan boleh jadi hukumannya jika dia terus berada di Mesir, bukan hayatnya sahaja yang terancam tetapi seluruh keluarganya yang ditangkap dan dibunuh, lalu Nabi Musa dengan rasa pahitnya sehelai sepinggang membawa diri sehingga ke Madyan. Baginda merasakan awan akan terus menerus mendung dan membawa hujan rupanya ketentuan Allah lebih hebat. Rupanya ada sinar mentari yang bersinar di sebalik mendungnya awan. Siapa menyangka ada pelangi yang indah selepas turunnya hujan. Allah sediakan beberapa penawar di Madyan. Nabi Musa bukan sahaja mendapat jodoh tetapi berjodoh dengan seorang puteri seorang nabi dan mendapat tarbiyah di bawah bimbingan Nabi Syu’aib as sehingga genap sepuluh tahun.

Antara babak awalan dalam Surah Taha ini menceritakan detik-detik kepulangan Nabi Musa. Allah taala bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w apakah sampai kepadamu kisah Musa? Bayangkan jiwa Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda r.a membaca surah ini di kala mereka menghadapi tentangan hebat oleh golongan Quraisy di Makkah. Bayangkan hati-hati mereka yang terpaksa berhijrah meninggalkan rumah tempat mereka berteduh, isteri dan anak serta harta yang menjadi kesayangan mereka. Mereka terpaksa berhijrah ke Habsyah dan kemudian ke Madinah sehelai sepinggang, terancam nyawa dan tidak tahu apakah untung nasib mereka di tempat baru. Apakah mereka akan dapat pulang kembali nanti? Apakah mereka dapat bertemu lagi dengan anak isteri? Apakah nanti ada galang gantinya setiap yang ditinggalkan?

Dalam perjalanan pulang ke Mesir itulah bermulanya era risalah bagi baginda. Pulangnya baginda bukan sekadar tuntutan peribadi dan jiwanya tetapi ditambah dengan tanggungjawab risalah dan amanah baru sebagai seorang Nabi.

Ketika dia melihat api, lalu berkatalah dia kepada isterinya: Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya atau aku dapat di tempat api itu: Penunjuk jalan. Maka apabila dia sampai ke tempat api itu (kedengaran) dia diseru: Wahai Musa! Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci. Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan. Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta dia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa. (Taha 10-16)

Pada malam tersebut, baginda bukan lagi insan biasa. Tetapi diangkat sebagai seorang Nabi dan Rasul untuk Bani Israil. Baginda juga ditemukan dengan cahaya dan dianugerahkan dengan bukti-bukti mukjizat sebagai peneguh hujah dan risalah.

Bayangkan seorang pesalah yang di bawa ke mahkamah untuk dihukum. Itulah perasaan Nabi Musa as untuk menghadapi suasana di Mesir. Tetapi biarpun dikira bersalah menurut hukum Firaun, Nabi Musa as bukan seorang pesalah yang sebenarnya. Mukjizat yang diberikan kepada baginda akan menjadi hujah dan bukti kenabian dan risalah yang dibawakan oleh baginda adalah daripada Allah swt. Walaupun sudah ada kekuatan mukjizat baginda tidak putus berdoa agar diberikan kelapangan untuk menghadapi cabaran yang mendatang, diuraikan kesusutan dan kesulitan, dimudahkan urusannya, dilancarkan lidahnya untuk mengeluarkan hujah dan tidak biarkan dirinya berdakwah berseorangan tetapi baginda memohon agar ada di kalangan keluarganya yang akan membantu.

Nabi Musa berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku; Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, Supaya mereka faham perkataanku, Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. Iaitu Harun saudaraku; Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku, Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku, Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu, Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu; Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui hal ehwal kami. Allah berfirman: Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa! (Taha: 25-36)

Categories: Tafsir

Kisah Ashab al-Kahfi

November 3, 2009 · Leave a Comment

Mereka bangkit berdiri. Mereka telah nyatakan apakah yang hak dan apakah yang batil.Buat masa ini mereka perlu bertahan. Mungkin berundur sebelum mengambil langkah seterusnya.

Barangkali gua yang suram boleh membuka jalan ilham dari Allah yang lebih terang. Barangkali Allah ingin tunjukkan bahawa memadai dalam gua yang kecil ini mereka mampu mengatur semula langkah dakwah yang lebih besar dan lebih berkesan pada keesokan hari.

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayat lagi petunjuk. (al-Kahfi 13)

Pemuda-pemuda itu berhenti melepaskan lelah. Peluh menitis membasahi dada dan tengkuk. Terikan matahari menambah lagi rasa haus. Mereka sungguh letih, mereka juga lapar. Tetapi mereka tidak boleh berhenti lama. Musuh bila-bila masa sahaja akan dapat menghidu gerak langkah mereka. Mudarat terlalu besar jika mereka terus berada di kota atau bertahan lebih lama. Akhirnya langkah mereka sampai ke gua. Oh Tuhan, Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.

Gua yang gelap menjadi pilihan Allah untuk mereka. Boleh jadi ada kerahmatan dari sisi Allah untuk mereka di sini setelah seisi kota memusuhi mereka. Bukan!..bukan! Mereka bukan sahaja bermusuh tetapi ingin merejam dan membunuh mereka.

Bumi yang luas dirasakan sempit apabila desakan dan tentangan dakwah mereka diancam. Jika mereka terus tinggal, satu persatu nyawa mereka akan hilang sedangkan mereka masih muda. Mereka masih baru. Mereka perlu selamatkan diri. Dakwah ini lebih panjang. Desakan demi desakan yang membahayakan menjadikan mereka hampir lemas dan tewas.

Tidak! Iman tidak sesekali akan tewas pada kekufuran. Itulah nekad mereka. Mereka bangkit berdiri. Mereka telah nyatakan apakah yang hak dan apakah yang batil. Buat masa ini mereka perlu bertahan. Mungkin berundur sebelum mengambil langkah seterusnya. Barangkali gua yang suram boleh membuka jalan ilham dari Allah yang lebih terang. Barangkali Allah ingin tunjukkan bahawa memadai dalam gua yang kecil ini mereka mampu mengatur semula langkah dakwah yang lebih besar dan lebih berkesan pada keesokan hari.

Akhirnya mereka bersandar di dinding gua, menghela nafas yang panjang. Takut, waspada, redha dan syukur. Perasaan bercampur-baur. Tetapi hati mereka tetap cemas. Bimbang dan cemas untuk menutup mata. Bagaimanakah jika mereka tertidur musuh datang mengheret mereka? Bagaimana jika mereka terlelap keselamatan saudara-saudara seperjuangan akan terancam? Masing-masing memandang wajah-wajah saudara mereka yang sudah keletihan. Mereka juga letih seperti dirinya. Tetapi mereka masing-masing sanggup buat apa sahaja untuk menjaga keselamatan sahabat-sahabat seperjuangan. Mereka sanggup meminggirkan kantuk, membuang penat sendiri kerana mengenangkan saudara-saudara mereka ini yang bertungkus menghayun langkah dan dakwah.

‘Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi!’
‘Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya’
‘Jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.’

Peristiwa, tutur kata dan karekter berani sahabat-sahabat mereka di kota tadi bagaikan tayangan yang berulang. Peristiwa itulah pengalaman dakwah yang paling kemuncak mereka lakukan. Biarpun pedih dengan kata nista yang dilemparkan, biarpun teruk layanan yang mereka terima akan tetapi mereka tetap hadapi tekanan, bantahan dan celaan dengan sabar. Keadaan menjadi kian runcing, apabila mereka menjadi buruan, mereka diisytihar sebagai kumpulan yang salah dan diancam dengan hukuman, maka demi keselamatan mereka dan masa depan dakwah akhirnya membawa mereka ke gua.

‘Sepatutnya kaum kita yang menyembah tuhan-tuhan yang banyak nyatakan hujah’, kata salah seorang dari mereka.

‘Ya, sepatutnya mereka boleh datangkan hujah dan bukti tentang tuhan yang mereka sembah’, sahut seorang lagi.
‘Mereka zalim dan menzalimi diri sendiri’ ujar yang lain pula.

Andainya mereka berfikir untuk mencari-cari hujah. Bukan mengikut emosi, bukan hanya mengikut sahaja cara hidup tradisi. Sudah tentu mereka tidak menolak. Mereka bukan tidak cerdik. Ada yang memimpin masyarakat. Ada yang bijak mencari kekayaan. Ada yang memimpin kota dan berkuasa sebagai penguasa.

‘Tidak sepatutnya mereka menolak dan berdusta terhadap Allah Tuhan yang sebenarnya’.

Akhirnya Allah tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu. Hari berganti hari, minggu bertukar, musim berubah…Biarpun matahari terbit dan memacar cahaya menembusi gua di sebelah kanan dan tenggelam di sebelah kiri mereka. Mereka terus lena.

Sesekali posisi badan mereka berubah, anggota mereka bergerak-gerak dan mata mereka tidak rapat tertutup lantaran cemas dan waspada. Tetapi mereka tidur bertahun-tahun dalam jagaan Allah dengan seekor anjing serigala penjaga di pintu gua yang menimbulkan rasa gerun jika ada manusia yang mampir.

Kemudian Allah bangkitkan mereka dari tidurnya, dan membuatkan mereka tertanya-tanya sesama sendiri.

‘Berapa lama kita tidur?
‘Mungkin kita tertidur seharian atau separuh hari’
‘Allah jua yang lebih mengetahui’

Tetapi hal tidur ini bukan utama bagi mereka. Biarlah waktu dan tempoh tidur itu terus menjadi rahsia di antara rahsia-rahsia Allah. Itu kesimpulan akhir mereka. Bukankah dalam kerja-kerja dakwah ini penuh dengan rahsia-rahsia dari Allah. Termasuk bilakah akan tibanya hari keimanan dan kemenangan. Andainya manusia tahu semua perkara, maka apa perlunya lagi usaha, langkah, rancangan dan waspada.

‘Ayuh, seorang dari kita perlu keluar mencari makanan’ Ujar seorang pemuda. Lantas salah seorang dari mereka dipilih. Mereka perlu makan, jika tidak makin mudarat jadinya nanti. Jika ada seorang yang sakit seluruh langkah usaha mereka akan perlahan atau lumpuh dengan gangguan itu.

Tidak, mereka tidak ingin mati kelaparan di sini. Andainya itu berlaku, sia-sialah usaha mereka selama ini. Biarpun memang akan ada risiko yang bakal berlaku dalam setiap tindakan dan keputusan mereka, tetapi biarlah mereka mengambil risiko yang paling kecil. Itulah pendirian mereka.

‘Bawa wang perak kamu ke bandar dan pilihlah makanan yang baik dan halal’

‘Bawalah pulang ke sini makanan dari kota, tetapi ingat saudara perlu berhalus dan berhati-hati dalam semua segi dan perlakuan’. Pesan mereka lagi kepada saudara mereka itu agar jangan sampai mata-mata musuh kenal dan sedar kehadirannya di tengah khalayak.

‘Jika tidak, mereka akan merejam dan bunuh atau mereka akan paksa kamu meninggalkan akidah ini’

Dipendekkan cerita, Allah dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya manusia mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Mungkin bagi manusia, tidur hanya perkara yang kecil. Tetapi ia adalah suatu rahsia dari Allah yang amat besar.

Mungkin bagi Ashabul Kahfi, mengambil langkah kecil dan bertahan di gua adalah suatu mudarat kecil yang terpaksa mereka hadapi. Langkah bagi mereka untuk menyelamatkan mudarat besar yang tak terduga dan dakwah yang mereka harapkan terus berpanjangan.

Tetapi Allah jualah pemilik dan pengatur yang mutlak terhadap rahsia yang berlaku di gua yang kecil. Allah juga biarkan kita terus-menerus tertanya-tanya berapakah bilangan Ashab al-Kahfi seperti pemuda-pemuda bertanya-tanya sesama sendiri berapa lamakah mereka tertidur. Allah biarkan kita tertanya-tanya dan tidak terduga banyak perkara dan kejadian. Agar kita tidak berhenti untuk mencari-cari rahsia dan kemukjizatan-Nya. Agar jiwa kita hidup, tidak buntu dan sentiasa berfikir seperti pemuda Ashabul Kahfi.

Katakanlah (wahai Muhammad): Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran) dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya). Sesungguhnya kisah Ashab al-Kahfi hanyalah secebis dari rahsia keagungan Allah. Al-Kahfi: 22

Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dan sembilan lagi – Al-Kahfi 25

Katakanlah (wahai Muhammad): Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNyalah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Dia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya. – Al-Kahfi:26

Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan ‘Ar-Raqiim’ itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? – Al-Kahfi: 9

sumber:   http://cheadek.wordpress.com

Categories: DAKWAH · Tafsir

Wahai Umar, Allah Memilihmu

October 18, 2009 · 1 Comment

Hati Fatimah al-Khattab runtun menyaksikan suaminya Said Ibn Zaid ditendang-tendang dan dikerjakan oleh abangnya. Seorang lagi Sahabat bernama Khabbab Ibn Arath berselidung di satu sudut. Tiba-tiba Fatimah yang lemah itu bangun untuk menyelamatkan suaminya, menyebabkan tubuh badannya turut luka dek kemarahan saudara kandungnya. Umar seakan tersedar tiba-tiba apabila menyaksikan darah adiknya menitis. Umar berhenti.

‘Sudahkah puas hatimu’? Tiba-tiba Fatimah bersuara.

‘Sememangnya kami telah Islam dan beriman dengan kerasulan Muhammad.’ Fatimah menjadi semakin berani.

‘Tunjukkan padaku apa yang kamu berdua baca’.

Perintah itu membuatkan Fatimah hampir jatuh. Cukuplah mereka berdua diperlakukan sedemian rupa sebentar tadi. Tidak sesekali dia akan tunjukkan mashaf al-Quran untuk menjadi mangsa abangnya. Tetapi mereka telah terperangkap. Rahsia keislaman mereka telah terbongkar. Umar, yang tersohor sifatnya telah berada di rumahnya. Samada dengan rela ataupun paksa, dia akan mengambilnya juga.

Mahu tidak mahu mereka perlu mencari jalan keluar untuk menyelamatkan ayat al-Quran yang ditulis itu daripada dicarik-rabik oleh abangnya nanti. Jika tidak, mudarat lebih besar akan menimpa kitab suci al-Quran. Tidak sanggup jiwa mereka melihat lembaran-lembaran al-Quran yang baru diturunkan kepada Rasulullah s.a.w dikoyak-koyak nanti. Tentu ada jalan keluarnya. Tetapi apakah jalannya?

‘Kamu tidak boleh menyentuhnya, hanya orang yang bersuci sahaja boleh menyentuhnya’. Fatimah menerima ilham ini tiba-tiba. Fikirnya tidak salah jika disuruh abangnya membersihkan dirinya terlebih dahulu.

Umar lantas bersetuju. Dia ingin membaca sendiri ayat-ayat yang dikatakan menyihir ramai orang termasuk keluarganya sendiri. Selesai membersihkan dirinya, Umar membaca ayat-ayat itu dari pertama, kedua dan seterusnya.

taha

‘Bahasanya amat indah dan berhak mendapat penghormatan’.

Terpacul ayat pertama dari lidah Umar yang merupakan segolongan kecil dari orang Quraisy ketika itu yang menguasai kesusasteraan dan kebolehan membaca.

Mendengar kata-kata Umar itu, Khabbab yang sedang bersembunyi memberanikan diri untuk keluar. Ini kerana dia berasa Umar telah dipilih Allah. haya hidayah Allah tetap tembus biarpun sukar dan terpaksa melalui lubang-lubang yang sempit. Paling pasti, Allah jua lah pemberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki.

‘Hai, Umar, Rasulullah telah berdoa semalam supaya Islam dikuatkan dengan keislaman di antara Abi al-Hikam Ibn Hisyam ataupun Umar Ibn al-Khattab.

‘Bawakan aku bertemu Muhammad, sekarang’.

Mata Fatimah berkaca tak mampu lagi ditahan air matanya kerana berasakan cahaya Islam semakin bersinar. Doa Rasulullah barangkali sudah didengar oleh langit.

Abangnya, Umar al-Khattab orang yang dipilih oleh Allah bagi mengabulkan doa kekasih-Nya.

Categories: Tafsir

Tazkirah Ringkas. Provokasi Munafik

May 14, 2009 · Leave a Comment

Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya). Katakanlah: Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Surah al-Tawbah: 61

Alhamdulillah pada minggu lepas, sempat chemek mengikuti perbincangan tafsir dari ayat 61 sehingga ayat 68. (jika tak silap). Di dalam perbincangan tersebut boleh dikeluarkan beberapa contoh perbuatan dan tuduhan golongan munafik terhadap Rasulullah s.a.w.

Sungguh tidak sangka, betapa Allah swt merakamkan perbuatan-perbuatan tersebut secara terperinci dalam banyak ayat-ayat al-Quran. Sehinggakan dalam salah satu nama surah al-Quran dinamakan dengan surah al-Munafiqun. Jika kita fikirkan apakah untungnya memberi nama yang begitu buruk ini kepada satu surah, alangkah baiknya jika diberikan nama lain yang boleh menunjukkan sesuatu yang positif kepada gambaran sebuah masyarakat Islam, lebih-lebih lagi sebuah masyarakat Islam Madinah di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w.

Memikir kembali kepada ayat-ayat berkaitan golongan munafik dan nama surah di atas, benar membuatkan chemek berasa berserabut dan kecut perut. Berserabut kerana kita sering diberikan gambaran bahawa masyarakat Islam madinah adalah masyarakat terbaik dalam sejarah dan mereka dijadikan icon sebuah masyarakat contoh. Rasa kecut perut memikirkan bagaimana keadaan rasulullah s.a.w sebagai Nabi dan sseorang pemimpin negeri berhadapan dengan begitu banyak cabaran baik dari dalam dan dari luar.

Andainya kita berada di Madinah, dan berada dalam dampingan Rasulullah s.a.w, apakah yang kita dapat bayangkan? Tentu indah apabila kita bangun pagi-pagi dan bersembahyang berimamkan Nabi dan kemudian duduk mendampinginya sambil mendengar ayat-ayat al-Quran dan sabda-sabda baginda yang mulia. Wajah siapakah lagi yang ingin kita tatap, suara siapakah lagi yang kita ingin dengar dan lagak perilaku , akhlak siapa lagi yang kita ingin teladani, melainkan hanya Rasulullah s.a.w. Alangkah indahnya suasana itu. Alangkah indahnya perasaan itu. Alangkah nyaman dan tenangnya hati kita.

Tetapi mampukan kita juga membayangkan bahawa Madinah berhadapan dengan ancaman pagi dan petang. Diserang saban waktu bermula dari perang Badar sehingga perang-perang besar dan ekspedisi-ekspedisi kecil-kecilan. dari tahun-tahun pertama penghijrahan sehingalah hampir Makkah dibuka semula. Apakah Islam berkembang dan dakwahnya tersebar tanpa cabaran-cabaran besar?  Bagaimanakah perasaan kita berhadapan dengan ancaman dan peperangan? Bukankah Madinah sebuah kota Islam? Bukankah islam maknanya selamat? Bukankah Islam maknanya aman?

Ini baru satu cabang ancaman perang dari luar baik untuk menjatuhkan sebuah kerajaan, menghapuskan dakwah Nabi, merampas kuasa madinah dan menjadikan kuasa asobiyah terus berkuasa dan bermaharajalela.

Tetapi Madinah dan Rasulullah s.a.w serta umat Islam yang beriman juga berhadapan dengan ancaman lain dari dua penjuru. Penjuru pertama golongan Yahudi yang tidak senang dengan penguasaan orang Islam dan penjuru kedua ialah dari kalangan orang Islam tetapi munafik. Golongan ini sering mengugat ketahanan dan juga mengganggu usaha-usaha dan rancangan-rancangan yang diatur oleh Rasulullah s.a.w dan umat Islam yang beriman.

Tentu ramai masih ingat peristiwa-peristiwa yang berlaku baik sewaktu persediaan menghadapi musuh ataupun sewaktu bertempur dengan musuh ataupun setelah selesai bertempur dengan musuh, golongan munafik sering menjalankan provokasi mereka tanpa henti. Bahkan provokasi jahat mereka ini sentiasa ada. Baiklah chemek akan berikan contoh ringkas.

Tiga Contoh Provokasi Golongan Munafik

Masih ingat peristiwa perang Uhud? Yang mana, sewaktu hampir ke medan Uhud, golongan munafik telah berjaya memecahkan kumpulan tentera Islam? Pada asalnya jumlah tentera Islam adalah ramai, namun mereka telah berjaya menarik sekumpulan tentera Islam dari menyertai peperangan tersebut. Dalam suasana itu, tentera Islam yang masih ada cuba lagi bertahan. Tetapi apakan daya mereka berhadapan dengan tentera berjumlah hampir 3,000 orang dan mereka pula jumlah tidak lagi sampai seribu orang. Jika sentiasa disebut faktor kekalahan Uhud disebabkan kumpulan pemanah, sebenarnya ada lagi faktor-faktor lain yang menjadi sebab-sebab kekalahan tersebut. Provokasi jahat golongan munafik ini telah berjaya melemahkan kekuatan fizikal tentera Islam sejak dari awal. Mereka juga telah berjaya menumbuhkan keraguan kepada tentera-tentera yang termakan dengan racun provokasi tersebut untuk meninggalkan kumpulan yang benar. Pada masa yang sama, mereka menggugat keyakinan dan motivasi tentera Islam yang masih tinggal. Lihat betapa jahatnya permainan mereka.

Kedua, tentu masih ingat peristiwa perang Ahzab ataupun peperangan Khandak. Dalam peperangan tersebut, Madinah mengambil strategi menggali parit sebagai benteng pertahanan. Sewaktu dalam kepungan tersebut, umat Islam Madinah berada dalam keadaan yang tertekan. Mereka tidak tahu kekuatan fizikal musuh dan berapa lamakah mereka akan bertahan dan mengepung mereka.  Dalam keadaan golongan musyrikin mengepung dan menyerang dari luar, golongan Yahudi dan munafik pula menyerang kekuatan tentera Islam dari dalam.  Namun Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda berjaya mengambil strategi berkesan dengan menghantar utusan perisik yang telah memecahkan benteng kumpulan bersekutu. 

Contoh ketiga, ialah apa yang berlaku kepada Aisyah r.a yang telah difitnah oleh golongan munafik. Peristiwa ini betul-betul berlaku setelah perang selesai. Sebaran fitnah dilakukan oleh golongan munafik ini tujuan utamanya ialah untuk membunuh karekter dan karismatik baginda melalui penghinaan terhadap isteri baginda. Bayangkan sehingga ke tahap ini provokasi jahat dilakukan untuk menjatuhkan kenabian dan juga kepimpinan Islam rasulullah s.a.w. Ini adalah tiga contoh yang boleh diberikan.

Ayat 61, surah al-Tawbah, sekali lagi mencirikan perbuatan golongan munafik ini. Terang-terang Allah s.w.t. menunjukkan kepada kita tuduhan berat yang dilemparkan oleh golongan ini ke atas Rasulullah s.a.w dengan menyatakan Rasulullah s.a.w ialah ‘uzun’ iaitu suka mendengar maklumat ataupun kata-kata orang dan mempercayainya.

Tuduhan ini ialah tuduhan untuk menjatuhkan kepimpinan Rasulullah s.a.w. sebagai sebuah ketua negeri/a. Bahkan ada sekumpulan golongan munafik ini mereka-reka cerita dan menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w. Setelah mereka mendapati Rasulullah mendengar maklumat yang dibawa oleh mereka, golongan ini menyebarkan kepada umum bahawa Rasulullah s.a.w ini mendengar semua berita dan menyampaikannya. Sekali lagi mereka cuba menjatuhkan karekter Rasulullah s.a.w dan mengeruhkan suasana dalam masyarakat mengenai berita-berita benar dan bohong. Akan tetapi Allah swt membersihkan tuduhan tersebut, dengan firmannya, di hujung ayat tersebut :

…Katakanlah: Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. 

Ciri-ciri seorang pemimpin yang baik ialah seorang yang pendengar (good listener), beliau juga mudah didekati oleh sesiapa sahaja latar belakang mereka. Beliau akan mendengar semua maklumat dan menapis maklumat tersebut dengan pertimbangan-pertimbangan yang adil, berasaskan wahyu dan kemaslahatan awam. Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan mereka yang mengikut jejak langkah baginda!.

Manakala golongan munafik, mereka ini akan terus membuat tuduhan-tuduhan, menyampaikan mesej yang bercelaru, mengembar-gempur suasana dan membuat provokasi baik untuk menimbulkan persengketaan, pertikaian, fitnah, ataupun mengurangkan kekuatan dalam kesatuan umat Islam.

Memikirkan betapa buruk dan jahatnya tindakan dan tuduhan-tuduhan dibuat oleh golongan ini baik ke atas diri Rasulullah s.a.w., kesatuan umat Islam, kelangsungan dakwah dan kestabilan sebuah kerajaan, maka barulah chemek memahami mengapa Allah menyebut dan merakamkan provokasi mereka yang buruk ini satu persatu dan dinamakan salah satu dalam banyak-banyak surah al-Quran yang mulia itu dengan golongan yang amat hina ini.

Categories: Tafsir

Surah al-Kahfi – Siri 1

April 14, 2009 · Leave a Comment

ajardoa

Muqaddimah Surah al-Kahf

Surah al-Kahf mengandungi 110 ayat tergolong dalam surah-surah Makkiyyah.  Kandungan utama adalah kisah-kisah melalui teknik penceritaan umum dan detail. 71 ayat adalah berkaitan kisah (64.5 %). Baki 39 ayat (35.5 %) adalah komentar kepada kisah, gambaran kehidupan dan hari kiamat.

Al-Imam Al-Syahid Sayyid Qutb di dalam kitab tafsir beliau Fi Zilal al-Quran mengemukakan bahawa terdapat TIGA tema utama yang cuba dibentangkan oleh Allah swt kepada manusia melalui surah al-Kahf. Tema tersebut adalah:

(1) Tashih al-Aqidah (Memperbetulkan Aqidah/Kepercayaan) 

(2) Tashih Manhaj al-Fikr wa al-Nazar (Memperbetulkan Metodologi Berfikir dan Mencerap)

(3) Tashih al-Qiyam bi Mizan al-Aqidah (Memperbetulkan Nilai-nilai berlandaskan Neraca Aqidah yang benar)

Ketiga-tiga tema ini dikemukan oleh Allah swt secara tersusun dan teratur melalui ENAM peringkat penceritaan dalam surah al-Kahf. Sayyid Qutb mengklasifikasikan peringkat-peringkat tersebut sebagaimana berikut :

Peringkat 1: Permulaan surah dengan lafaz Alhamdulillah – penurunan Al-Quran – tujuan Inzar (Beri Peringatan/Amaran) dan Tabsyir (Khabar Gembira) Zinah al-Hayat (Perhiasan Dunia) adalah Ibtila’/Ikhtibar (Ujian) Kisah Ashab al-Kahf.

Peringkat 2: Panduan kepada Rasulullah saw supaya bersabar mengambil pedoman dari Kisah pemilik al-Jannatayn (Dua Kebun).

Peringkat 3: Gambaran Hari Kiamat Kisah Nabi Adam alayh al-Salam dan Iblis – Sunnah Allah dan Rahmat Allah.

Peringkat 4: Kisah Nabi Musa alayh al-Salam dan hamba yang salih (Nabi Khidr).

Peringkat 5: Kisah Dhu al-Qarnayn.

Peringkat 6: Tabsyir dan Inzar Bukti penurunan al-Wahy dan Suci Allah swt daripada segala sekutu.

Sayyid Qutb menyatakan permulaan surah ini ayat 1 membentangkan unsur istiqamah (betul/benar/tetap tidak berubah) dan unsur saramah (penegasan). Syukur kepada Allah yang menurunkan Al-Quran kepada hambaNya dengan wujudnya unsur istiqamah, tanpa penyelewengan dan penipuan.

Ayat 1 juga menyatakan petunjuk aqidah yang jelas iaitu Allah swt yang menurunkan al-Kitab/Al-Quran dan Nabi Muhammad adalah HAMBA bukan tuhan.

Manusia yang paling mulia ini (Rasulullah saw) adalah HAMBA. Justeru, itulah juga sifat manusia-manusia lain yang ada di atas muka bumi ini. Allah swt adalah TUHAN pemilik dunia, tiada bagiNya anak/zuriat, juga tiada bagiNya sekutu.

Ayat 2 bercerita tentang ciri-ciri Al-Quran dan objektif penurunannya. Allah swt menyifatkan Al-Quran sebagai La Iwaja dan Qayyim. Kedua-dua membawa maksud yang sama iaitu benar/jelas/betul/tiada penyelewengan. Berbeza dengan kitab-kitab samawi lain ” Taurat, Injil” yang telah mengalami proses Tahrif (ubahsuai) oleh penganut-penganut kitab-kitab tersebut. Inilah salah satu mukjizat al-Quran, kekal terpelihara sehingga hari Kiamat.

Objektif penurunan Al-Quran ” Inzar dan Tabsyir. Inzar kepada golongan yang tidak percaya kepada Allah swt, menjadikan bagi Allah swt sekutu, dan berkata bahawa Allah swt punyai anak. Inzar dengan adanya Ba Syadid (balasan/hukuman/penalti/denda) di akhirat.

Tabsyir pula kepada golongan mukminin yang menjana amal salih dengan syurga di mana mereka akan kekal berada di dalamnya abadan (selama-lamanya).

Kesimpulan empat ayat pertama :

Aqidah Yang Benar berpandukan Al-Quran Yang Benar

Pelaksanaan Inzar – ” Jauh Daripada Neraka

Pelaksanaan Tabsyir – ” Dekat Dengan Syurga

Categories: Tafsir

Al-Ahzab: 22-23

January 17, 2009 · Leave a Comment

 وَلَمَّا رَأَى ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلأَحْزَابَ قَالُواْ هَـٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ وَمَا زَادَهُمْ إِلاَّ إِيمَاناً وَتَسْلِيماً

[33:22]
Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.

 - mereka yang beriman, apabila melihat angkatan musuh yang hampir untuk menyerang mereka, tiada yang memberikan kesan dalam hati-hati mereka melainkan iman mereka semakin teguh, penyerahan diri mereka terhadap Allah juga semakin bulat. Jiwa mereka kini hanya di Tangan Allah, tuhan mereka dan tuhan yang boleh menghancur-leburkan musuh-musuh Allah.

 

 مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُواْ مَا عَاهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُواْ تَبْدِيلاً

[33:23]
Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

- Golongan beriman yang gugur, bukan golongan yang tewas. Tetapi mereka telah berjaya menempatkan diri mereka bergelar syahid. Golongan yang syahid ini bukan bermanfaat hanya untuk diri mereka sahaja malah mereka dapat menjadi pembela kaum keluarga mereka yang lain untuk mendapatkan syurga yang berlari-lari air sungai di bawah taman-tamannya.

- di dalam ayat ini juga menunjukkan bahawa golongan beriman yang masih bertahan sebenarnya tidak pernah putus harapan ataupun ingin melarikan diri. Bahkan mereka menjadi golongan yang menunggu-nunggu bilakah akan tiba giliran mereka untuk mendapatkan syahid. Samada mereka menang dalam jihad mempertahankan agama dan tanahair Muslim ataupun mereka mendapat syahid.

- Sedangkan golongan yang berasakan diri mereka berkuasa dan terus membunuh itu, mereka sangka merekalah golongan telah menang, sebenarnya mereka adalah golongan yang tewas dan lagi hina.

Seluruh dunia menyumpah kezaliman dan kekejaman yang mereka lakukan. Sesungguhnya mereka kumpulan yang terhina di dunia dan kelak di akhirat mereka mereka tidak mati dibakar dan dilemaskan dalam telaga-telaga jahanam yang air nanahnya meluruhkan daging-daging dan tulang-belulang mereka. Maka rasakan keadilan Allah kelak di atas kezaliman yang telah dilakukan.

Sekiranya kita membaca lagi surah-surah lain di dalam al-Quran terutama Surah al-Baqarah, kita akan dapati dan fahami, bagaimana peringatan Allah ditujukan kepada kaum yahudi yang telah menyeleweng dari pegangan agama mereka. Sifat-sifat mereka ini disebut satu persatu oleh Allah s.w.t. menggambarkan kepada kita latarbelakang golongan ini yang terus-menerus membuat kezaliman di atas bumi Allah. Kejahatan mereka tidak hanya dalam memungkiri semua perjanjian demi perjanjian tetapi mereka juga telah berkomplot dalam membunuh para nabi dan rasul.

Dalam suasana yang menimpa umat Islam terutama di Gaza, mari kita sama-sama kembali membacakan al-Quran dalam erti ‘iqra’ yang mendalam. Mari kita ‘tartil’ dalam erti kata memerhati patah demi patah dan memahami maksud-maksudnya. Moga-moga sedikit sebanyak kita dapat menyelami ‘asbab nuzul’ ayat-ayat yang lalu dan memahami isi kandungan al-Quran seperti para Sahabat r.a yang mengetahui hubungan ayat-ayat al-Quran dengan situasi zaman mereka. Ini amat penting kerana dari sini kita dapat mengaitkan dengan situasi mutakir serta dapat mengatur langkah dan juga bertindak berdasarkan panduan-panduan wahyu.

Nota : Fahami 3 fiqh – iaitu 1) Fiqh al-Nas 2) Fiqh al-Sirah 3) Fiqh Waqi’

 slide2

slide3

 

Categories: Tafsir