Wanita Kelantan Setelah Tahun 1990

Entries categorized as ‘Uncategorized’

Ingatan Buat Sumayyah

December 9, 2009 · 1 Comment

[Sabarlah, Keluarga Yasir..Sesungguhnya kalian telah dijanjikan dengan syurga] al-Hadith

Zayd bin Harithah membuka ikatan yang melingkari tangan dan leher Ammar bin Yasir. Ammar membuka matanya dan menutupnya kembali. Zayd membasahkan bajunya dengan sedikit air dan mengelap wajab sahabatnya.

‘Ammar!’ Zayd memanggil lagi Ammar.

Ammar masih belum sedar sepenuhnya. Azab seksaan yang ditanggung berhari-hari lamanya masih belum hilang.

‘Ammar!’ Ulang Zayd memanggilnya. Jaafar bin Abdul Muttalib dan Hamzah turut memegang Ammar, membantunya untuk duduk setelah dijemur dan diseksa berdiri dengan diikat ketat pada leher dan kedua tangannya pada sebatang tiang di tengah-tengah padang pasir yang panas. Garis-garis pukulan yang menimpa tubuh Ammar masih berbekas.

Ammar membuka matanya. Tiba-tiba dia teringat apa yang telah berlaku. Ayahnya diikat sepertinya dan ibunya Sumayyah ditarik-tarik tangan dan kakinya sebelum tombak menusuk ke tubuhnya yang sudah lemah. Mereka semua diancam bunuh sehingga mereka sanggup tinggalkan akidah mereka. Kalimah tawhid sahaja pengubat hati mereka. Kalimah itu jugalah menjadi ucapan terakhir Sumayyah dan Yasir tatkala bertalu-talu mereka dicemuh, dipukul, ditarik dan akhirnya nafas mereka berakhir.

‘Ammar, ibumu dan ayahmu ialah orang pertama yang syahid. Mereka telah mendapat syurga’, Zayd bin Harithah berkata sambil menggenggam tangan Ammar.

Ammar melihat dua tubuh orang yang paling dikasihinya sudah kaku. Huzayfah bin Umayyah, putera bongsu bangsawan Quraisy yang memeluk Islam bersama-samanya telah menutup jasad Sumayyah dengan baju luarnya. Yasir, ayah Ammar diikat tidak mampu menanggung seksaan dan dibiarkan mati kelaparan. Di dalam kurungan, masih ramai yang menangung penderitaan yang sama. Mereka dibiarkan tanpa pakaian yang boleh menahan kesejukan padang pasir di waktu malam dan ditinggalkan lapar dan dahaga berhari-hari. Mereka ialah kumpulan orang-orang Islam yang awal memeluk Islam. Mereka ditangkap satu persatu dan dikurung untuk menerima seksaan. Antara mereka ialah Keluarga Yasir. Bagaimanakah keluarga ini memeluk Islam?

**********

‘Ammar, dari manakah kau nak, sehingga fajar baru pulang?’ Yasir bertalu-talu bertanya sebaik sahaja Ammar muncul di pintu. Ammar menyangka ayah dan ibunya tidur dan tidak sedar waktu dia keluar dan pulang. Soalan ayahnya membuatkan Ammar menjadi kaku. Ingin sahaja dia larikan diri daripada menjawab.

‘Ammar, mengapakah buatkan kami bimbang begini?’ Tanya Yasir lagi. Kali ini ditariknya baju Ammar sehingga Ammar berpusing memandang wajah mereka. Ketika itulah patung berhala yang berada di sisi Ammar jatuh dan pecah berderai.

‘Oh Tuhan! Bukan Ammar yang memecahnya, tapi aku. Ampunkan aku. Jauhkan kami dari malapetaka’, doa Yasir sambil mengutip sisa-sisa patung yang pecah. Sumayyah yang tadi kebimbangan kerana menunggu Ammar, bertambah kebimbangan pada wajahnya melihat patung Tuhan yang telah pecah.

Ammar membongkok dan membantu ayahnya mengutip saki-baki patung di lantai.

‘Patung ini tak mampu selamatkan dirinya daripada malapetaka di atasnya. Masakan ia boleh menyelamatkan kita’, kata Ammar perlahan.

‘Ammar, apakah yang kau cakap ini nak? Ibu cukup bimbang denganmu. Kamu telah mendengar orang yang bercakap tidak elok kepada Tuhan-tuhan kita’, pintas Sumayyah.

‘Ammar, pandang sini. Cakap-cakap itu sungguh bahaya. Jangan ikut mereka dan jangan dengar mereka lagi’, Yasir cuba memujuk putera mereka.

‘Ayah, saya dengar bukan daripada orang lain. Saya dengar daripada Muhammad’, kata Ammar. Nabi Muhammad s.a.w diketahui oleh setiap lapisan masyarakat kerana kebaikan dan gelaran al-Amin.

‘Ya, Muhammad ialah seorang yang jujur. Dia tidak pernah berlalu di hadapan sesiapa jua baik orang miskin ataupun kaya, melainkan dengan wajah yang manis. Tapi apa yang dibawanya itu bahaya, anakku, bahaya’, tegas Yasir.

‘Apa yang bahayanya ayah?’ Soal Ammar. ‘Apa yang saya dengar daripada Muhammad, orang yang kaya tidak boleh menindas golongan yang lemah dan miskin. Saya dengar daripadanya, kaum wanita perlu dihormati dan dijaga maruah mereka. Anak-anak gadis tidak boleh dijual dan dipaksa berkahwin bahkan mereka ada hak yang sama untuk hidup dan membuat pilihan sendiri’. Ammar menjelaskan apa yang dia pernah dengar selama ini daripada Nabi Muhammad s.a.w.

‘Ayah, ibu, … malam ini saya dengar perintah Tuhan diturunkan agar hentikan pembunuhan anak perempuan hidup-hidup’, tambah Ammar lagi.

‘Oh! Benarkah?’, tanya Sumayyah memandang tepat anak mata anaknya. Kain gebar menyelimut badannya yang menggigil kesejukan di waktu fajar. Sumayyah memandang Yasir.

‘Ayahku menangis teresak sewaktu tangan kakakku menyentuh janggutnya menyapu pasir-pasir yang digali. Dua kali ayahku telah menanam anak perempuannya’, Sumayyah berkata menceritakan apa yang pernah dialami dalam keluarganya.

‘Sumayyah, itu tradisi yang diturut oleh keluarga’, ujar Yasir menggengam tangan isterinya. ‘Ayah bernasib baik kerana ibumu tidak menjadi mangsa tradisi ini’, kata Yasir lagi.

‘Suamiku, aku ini hampir-hampir turut menjadi mangsa. Tetapi ayahku tidak sanggup melakukannya lagi. Apabila ayahku mendapat tahu dia mendapat anak perempuan lagi, dia berlari keluar dari rumah dan berteriak, Aku takkan lakukan lagi! Aku tak sanggup menanam anakku lagi!’, Sumayyah bercerita dengan perasaan penuh hiba.

‘Sumayyah, semua ini tradisi’, ulang Yasir lagi.

‘Tapi ini tradisi yang salah. Tuhan sebenar takkan benarkan kejadian dan tradisi seumpama ini’, kata Sumayyah.

‘Benar ibuku. Benar kata-katamu’, Ammar yang terdiam dari tadi mula merasai kehadiran cahaya tawhid dalam keluarganya.

Yasir menggengam tangan Sumayyah. Genggaman suami isteri itu semakin kuat.

‘Ya, apa yang disebut oleh Muhammad adalah suatu yang benar’, kata Sumayyah secara rasional dan penuh yakin. Yasir mengangguk kepalanya mengiyakan isterinya.

‘Ya, apa yang dibawa oleh Muhammad itu suatu yang benar’, kata Yasir seumpama ikrar keimanan kepada kenabian Muhammad s.a.w.

‘Ayah, ibu…’ Ammar tak dapat meneruskan kata-katanya. Fajar Islam telah muncul dari rumah kecil mereka.

‘Ayah, ibu.. izinkan Ammar pergi bertemu Muhammad sekarang’, pinta Ammar.

‘Pergilah anakku, pergilah temui Muhammad. Sesungguhnya apa yang baginda bawa itu benar’, Yasir berkata dan tangannya masih memegang tangan Sumayyah.

Tanpa berlengah lagi, Ammar berlalu keluar. Ingin sahaja dia cepatkan langkah untuk bertemu Rasulullah s.a.w. Dia ingin membawa khabar gembira pengislaman ayah dan ibunya kepada Rasulullah s.a.w. Di sebalik pintu, Sumayyah memerhati Ammar mengatur langkahnya dengan berhati-hati.

‘Oh Tuhan! Yasir! Ada dua orang sedang mengekori Ammar!’, ucap Sumayyah dengan nada penuh cemas.

Dedikasi untuk anakanda Sumayyah binti Burhan. Salah satu kisah para sahabat r.a yang anakanda dengar berkali-kali sejak di alam rahim. Moga anakanda ibu dapat bertemu dengan Sumayyah, srikandi Islam yang ibu ceritakan. Moga Allah menghimpunkan kita semua kembali di sana.

Categories: Uncategorized

Berhalus

November 21, 2009 · 1 Comment

Berhalus ialah satu gambaran mengenai sikap seseorang apabila berhadapan dengan sesuatu. Dalam dialek kelantan, berhalus merujuk kepada orang yang berhati-hati baik dari segi membuat keputusan, mengambil tindakan dan juga bercakap.

Sikap berhalus ini akan membuat ‘pemakai’nya, akan menjaga tata susila dan tidak terburu-buru bertindak tanpa usul periksa dan hanya berpandukan pemikiran logik sendiri. Ini kerana sesuatu yang kita anggap benar dan betul, akan silap jika tersilap hitung dan pendek akal.

Chemek berikan satu contoh. Jika anda ingin menegur seseorang baik seseorang itu isteri ataupun suami kepada orang lain, apakah cara terbaik akan anda gunakan? Jika anda berada di tempat penegur, apakah anda akan berfikir sejenak perasaan orang yang berada di sebelah anda (mungkin suami/isteri) ataupun orang-orang di sekitar dan terus menegur orang yang dimaksudkan di hadapan khalayak termasuk pasangan orang yang kena tegur. Mungkin kita menyangka orang lain mungkin tidak tahu ataupun tidak mengerti dan yang mengerti teguran itu mungkin orang yang dituju sahaja.  Tetapi betulkah begitu? Apakah si suami, ataupun si isteri orang yang ditegur itu anda juga pandang wajah dan matanya setelah teguran anda kemukakan kepada pasangannya? Bagaimana perasaannya? Bagaimana wajahnya ketika itu? Bagaimana pula dengan orang lain juga yang turut mendengar apa yang anda ucapkan tadi?

Sekiranya anda seorang isteri orang, anda ingin menegur seorang lelaki dan di sebelah anda sedang duduk isteri kepada lelaki yang anda tegur, apakah anda akan teruskan sikap terburu-buru itu membuat teguran di hadapan pasangannya itu dan di khalayak ramai? Ataupun anda akan tunggu dan berfikir terlebih dahulu sekalipun anda berasa anda berada di pihak yang benar? Tetapi bagaimana jika anda sendiripun tidak tahu dan anda menegur dan tersalah teguran?

Ataupun anda melihat kerenah seorang anak perempuan orang lain, dan di sebelah anda ada ibubapanya, dan ada lagi orang ramai yang lain samada rakan-rakan ibubapa ataupun rakan-rakan anak perempuan itu, pada ketika itu anda berasa amat perlu menyatakan teguran tersebut, tetapi betulkah itulah waktunya untuk anda melakukannya ataupun menyatakannya?

Ataupun dalam situasi anda menerima beberapa email yang menyakitkan hati daripada seorang rakan anda yang membuat tuduhan dan juga sindiran yang tidak sepatutnya dengan bahasa yang membuatkan anda dukacita dan mengundang air mata, apakah anda sanggup untuk menegur rakan anda itu di hadapan khalayak ramai? sanggupkah anda membalasnya kembali dengan bahasa yang serupa? Ataupun sanggupkah anda memforwardkan email-email tersebut baik kepada ibubapanya? suaminya? kakak ataupun abang kepada pengirim tersebut? Dengan tujuan anda ingin supaya mereka yang lain tahu akan perbuatan yang telah menyakiti hati anda itu?

Satu perkara yang banyak hilang tentang peradaban kita hari ini ialah adab berhalus. Berhalus bukannya bermaksud perlu berlemah-lembut ataupun berbahasa-bahasa tetapi berhalus di sini maksudnya ialah berfikir dengan teliti, bertindak dengan wajar walaupun dalam keadaan beremosi. Berhalus ialah sikap berperisai dengan sabar. Ia berjalan seiring dengan berfikir secara mendalam. Ia juga berteraskan pengalaman dan perasaan untuk menjaga hubungan dengan orang lain.

Pernah seorang wanita yang sedang meratap di perkuburan telah dinasihati oleh Rasulullah s.a.w supaya bersabar tetapi dijawabnya wanita tersebut tanpa mengetahui lelaki yang menasihatinya itu adalah Rasulullah, ‘anda tidak mengetahui keadaanku’ (anda tidak merasai situasi yang sedang aku alami). Setelah kejadian tersebut, wanita itu berasa menyesal, lebih-lebih lagi dia baru mengetahui yang menasihatinya itu adalah Rasulullah s.a.w. Lalu dia pergi bertemu baginda untuk memohon ampun di atas ketidaksabarannya. Lalu jawab Rasulullah, Sabar itu adalah sewaktu menghadapinya. Yakni sekarang sabar sudah tidak perlu lagi.

Oleh kerana kita bersabar, berfikir, dan tidak terus ataupun cepat membuat persepsi, maka natijahnya ialah sikap berhalus. Orang bukannya sukar untuk menerima teguran jika salah. Tetapi salah cara dalam bertindak itulah yang biasanya membuatkan orang lain sukar untuk menerima teguran.

Berhalus juga maksudnya mengawal emosi dari buruk sangka. Ini akan menjadi penapis kepada hati dan tindakan kita dalam membuat apa jua tindakan dan keputusan yang melulu. Ia juga akan dapat mengawal hati kita ini daripada membuat tindakan lanjut yang akan mengeruhkan keadaan dan memutuskan hubungan silaturahim.Dalam Buku Afat ‘ala al-Tariq, karya Dr al-Sayyid Muhammad Nuh, diperincikan perkara ini dengan menarik.

Pernah ada seorang penceramah yang memberikan ceramah mengenai keutamaan Lailatul Qadr dan merebut pahala Lailatul Qadr telah dikritik dan dikomen mengenai ceramah yang disampaikan. Penceramah yang menyampaikan ceramah tersebut telah dituduh menyindir pendengarnya sehingga membuatkan seorang yang mendengar ceramah tersebut menangis. Sedangkan dalam sesi ceramah yang dihadiri lebih 80 orang itu hampir keseluruhan para pendengar yang lain menangis mendengar ceramah yang disampaikan termasuk penceramah itu sendiri. Setelah selesai sesi ceramah itu, seorang pendengar menceritakan secara ringkas isi kandungan ceramah tersebut kepada rakannya yang tidak hadir. Oleh kerana melihat rakan yang bercerita itu menangis, rakan yang mendengar itu telah salah faham dengan menyangka penceramah itu telah menyindir pendengar yang hadir. Lalu dihamburkan tuduhan kepada penceramah tanpa mendapat penjelasan yang saksama. Sedangkan penuduh ataupun pengkritik tersebut tidak hadir dan tidak mendengarpun isi ceramah yang disampaikan. Penilaian dan tuduhan tersebut hanya dibuat asasnya dari maklumat hanya seorang pendengar bukannya ramai pendengar yang lain dan tidak tahu menahu hujung pangkal cerita yang sebenarnya.  Ini adalah satu contoh kurangnya berhati-hati, cepat membuat persepsi dan tuduhan yang melulu.

Contoh lain yang ingin chemek kemukakan di sini, pernah  seorang tukang cuci yang ingin menyumbangkan sedikit pendapatannya hasil peluh membersihkan lantai dan carpet di sebuah bangunan, telah dikatakan kepadanya sumbangan anda tak diperlukan kerana sudah ada penyumbang terbesar yang lain. Jika disumbangkan juga membazir dan elok disalurkan ke tempat lain yang lebih memerlukan. Contoh kedua ini adalah satu teguran yang asalnya boleh difahami dengan baik objektifnya. Namun caranya amat tidak kena apabila kurangnya berhalus sewaktu menolak bantuan ataupun sumbangan yang ingin diberikan. Ini kerana orang yang menolak itu telah menyebabkan orang yang ingin menyumbang berasa jauh hati, mungkin kerana kerjaya hanyalah seorang tukang cuci dan sumbangan yang dapat diberikan itu sedikit ataupun kecilnya.  Apa yang lebih membuatkan orang yang ingin menyumbang itu bersedih apabila disebut dan dibanding-bandingkan adanya sumbangan lain yang terbesar. Lalu dikatakan kepada tukang cuci, beritahu isterimu, tak perlu bawa ataupun jangan sediakan apa yang kalian nak bawa.

Padahal orang yang berkata tidak sedari dan tidak tahu menahu pun hal sebenarnya. Bukan isteri tukang cuci yang mencari harta untuk disumbangkan, dan bukan isteri si tukang cuci  yang  ingin menyumbang tetapi si tukang cuci itu sendirilah yang menyampaikan hasratnya melalui isterinya, tetapi orang yang menolak itu menyangka si isteri tukang cuci yang beria-ia untuk menyediakannya.  Si tukang cuci bukannya tidak memahami erti pembaziran kerana itu kerjanya hari-hari membersihkan pembaziran dan kekotoran barang-barang yang dibuang dan sampah-sarap baik makanan ataupun minuman yang dibazirkan. Lagilah dia tahu membazir itu amalan para syaitan jika dia mengingati dan menghafal ayat-ayat al-Quran berkaitan sahabat iblis. Hasilnya berlaku apa yang dipanggil sangkaan di sini. Menyangka kepada orang lain secara tidak betul. Tidak berhenti di situ  ditambah pula sikap melulu dengan membuat perbandingan antara yang kecil dan yang terbesar.

Dengan rendah diri dan hiba hati, suami isteri ini menyediakan seperti yang disuruh dalam bentuk kecil-kecilan tanpa dilebih-lebihkan seperti yang telah ditegah. Bagaimana jika si Tukang cuci membawa juga apa yang dia inginkan? Tidakkah nanti akan wujudkan lebih pergeseran. Bagaimana kalau tukang cuci bertindak tidak berhalus dengan tidak hadir walaupun dia rasa amat kecewa? Bagaimana sekiranya si tukang cuci tidak berlapang dada dengan tegahan yang diterima? Malah lain-lain suruhan tambahan yang diminta agar si tukang cuci bawa bersama-sama ke majlis jamuan itu dipatuh satu persatu tanpa soal ataupun tidak dibuat endah. ’Tolong bawakan sejadah sama, tolong bawa pelapik, tolong bawa bekas air dan beberapa lagi arahan-arahan lain yang diterima’. Semua itu tukang cuci akur satu persatu. Harapnya hanya satu iaitu usaha-usaha itu tetap diterima, sekalipun hati mereka sekeluarga amat hiba dengan sikap seorang dua orang yang tidak berhalus berurusan dengan mereka sebelum ini. Hati mereka semakin hiba membaca ayat-ayat al-Quran mengenai pahala yang mencurah-curah kerana bersedekah.

Membuat sesuatu kerja sehingga berjaya bukan menuntut kerja itu selesai dengan jaya semata-mata. Sesuatu kerja yang berjaya diselesaikan dengan baik menuntut kita mengurusnya baik dari aspek fzikal, kewangan dan juga hubungan keinsanan dan ketuhanan. Dalam memastikan kejayaan dalam hubungan keinsanan ini, sikap berhalus memainkan peranan penting. Dalam bahasa moden, inilah dipanggil sebagai soft skill ataupun interpersonal skill. Dalam hubungan kerja kita dengan Allah, keredhaan Allah adalah perkara yang paling asas dan kita cari-cari. Jika nak memberi, menerima ataupun menolakpun, tunggu sekejap, tanya semula, apakah kerana Allah keputusan yang dibuat. Ikatan dengan Allah dan hari akhirat mesti bertaut dalam setiap tindakan hatta kita menulis, berkata, mengkritik, membetulkan salah orang, menegur kesalahan orang. Itulah yang kita inginkan dalam setiap proses membuat keputusan, menguruskan tugas dan menguruskan hati manusia. Usahlah kita bertindak tanpa berhalus dengan membandingkan-bandingkan apa yang ingin disumbangkan hatta cuma sedikit ataupun seteguk air kosong ataupun sepotong kuih dengan beratus-ratus botol air dan nasi yang beratus-ratus bungkus. Berhati-hatilah dengan menapis hati kita sebaik-baiknya ketika beremosi, elak dari pendek fikiran, ataupun hanya fikir ingin siap sahaja kerja tanpa dihitung kesan-kesan lain dan buatlah tindakan serta keputusan yang matang.

Sebaik-baiknya kita amat perlu fikirkanlah kembali apa yang berlaku dan telah kita lakukan. Itulah dipanggil sebagai muhasabah. Ketuklah hati sendiri dan perhatikan semula bahasa-bahasa yang kita pernah gunakan dalam komunikasi kita yang lalu. Buat semakan semula. Benarkah aku telah menulisnya begitu? Benarkah aku telah menuturkannya begitu? Benarkah tindakanku yang melulu itu? Benarkah teguran yang telah dibuat, benarkah tuduhan yang pernah dilemparkan, pernahkah tanya perkara yang sebenarnya, pernahkah mendengar penjelasan? Apakah kita sahaja yang berhak membuat penjelasan, demi penjelasan kepada hujah dan pendirian kita? apakah kita memberi peluang kepada orang lain untuk mengatakannya? Pernahkah kita ucapkan/tulis, cukuplah di sini, saya tak ingin dengar apa-apa lagi penjelasan dari kamu? Soalan yang paling penting untuk kita hadapkan kepada kita sebelum kita dihadapkan ke mahkamah Allah ialah, apakah setiap yang aku lakukan ini dilakukan semata-mata kerana Allah dan benar-benar mengharapkan keredhaan Allah?

Jika benar setiap tindakan selama ini dibuat dengan penuh ‘berhalus’ dan penuh ihsan, maka ucapkan alhamdulillah. Jika tidak, beristigfarlah dan bertaubatlah dengan memahami erti nasuha yang sentiasa disebut-sebut.

Sebagai akhirnya, seperti sabda Nabi kepada wanita yang malang itu, sabar itu adalah sewaktu kita mengalaminya, bukan sesudahnya. Maka ingatlah sebelum bertindak, berfikirlah dengan semasak-masaknya dan secara panjang lebar. Sikap berhalus itu, perlu diaplikasikan sewaktu kita menghadapi situasi tersebut, bukannya sesudah nasi menjadi bubur.

Categories: Uncategorized

TGNA

November 18, 2009 · 1 Comment

Bagaimana agaknya Tuan Guru Nik Aziz Nik Mata menguruskan kehidupannya sebagai seorang ketua kerajaan negeri?

sumber gambar – pelbagai = sheih, husam musa, Ir Nizar blogs etc.

Categories: Uncategorized

Tok Ma, Majlis ilmu dan 40 sen

October 8, 2009 · Leave a Comment

Walaupun sudah 30 tahun kenangan ini, chemek masih lagi mengingatinya. Ia bermula seawal usia 5-6 tahun iaitu sewaktu chemek masih lagi bersekolah Tadika (Tadika Raja Dewa, Jalan Telipot). Ini kerana setiap hari Jumaat, pagi-pagi chemek kena bersiap-siap untuk mengikut tok Ma ke kuliah jumaat di sebuah surau yang terletak di batu 2, Jalan Kuala Krai, atau dengan lebih specifik Kampung Puteh. Kuliah pagi jumaat ini menjadi rutin mingguan. Pagi-pagi kami bersiap-siap dan selepas sarapan, kami berjalan beramai-ramai. Dari rumah kami, kami ambil jalan pintas melalui sekolah Rendah Ismail 1 sehingga ke Jalan besar, Jalan Kuala Krai. Perjalanan kaki kami hanyalah mengambil masa 20-30 minit sahaja.

Sebenarnya, chemek tak pernah faham apa isi ceramah yang disampaikan. Tetapi oleh kerana ia menjadi budaya kegemaran Tok Ma, maka chemek terikut-ikut. Kalau orang tanya apa yang chemek ingat, yang boleh chemek katakan ialah apa yang yang chemek lihat. Ramainya orang datang berpusu-pusu naik ke surau dan mengambil tempat masing-masing. Ada orang tua, ada orang muda dan ada kanak-kanak macam chemek.

Lagi yang mengingatkan chemek ialah kebasnya kaki setiap kali apabila chemek duduk. Nak alihkan kedudukan, kebasnya makin menjadi-jadi. Apa yang dibuat maka chemek bermain-main dengan ibu jari kaki dengan memicit-micitnya untuk mengurangkan kebas. Inilah majlis ilmu yang chemek hadiri dan faham isinya.

Jika orang tanya lagi apa yang membuatkan chemek suka untuk mengikut tok Ma saban minggu. Jawabnya kerana tok Ma berikan duit kocek sebanyak 40 sen. Apabila sudah dewasa, barulah chemek faham latihan yang tok Ma sediakan ini. Duit 40 sen ini tok Ma suruh bahagikan kepada dua. 20 sen untuk chemek beli kuih kegemaran chemek di sebuah gerai kuih di sebelah surau itu dan 20 sen lagi chemek kena masukkan dalam tabung surau. Ia menjadi sedekah chemek kepada surau setiap minggu lebih-lebih lagi pada hari jumaat. Ini salah satu latihan praktikal tok Ma yang kesannya amat panjang sebenarnya.

Oh Ya, kuih kegemaran chemek ialah ‘Cha Kue’. Harganya cuma 10 sen satu. Itulah kuih Cha Kue paling sedap yang pernah chemek rasa sepanjang hayat ini. Walaupun mungkin sudah beratus-ratus gerai Cha Kue sudah dilawati, Cha Kue sebelah surau itu jugak yang tersedap. Tok Ma telah mempergunakan skilnya menarik cucu ke majlis ilmu melalui makanan kegemaran chemek.

Mengingatkan kembali teknik-teknik didikan tok Ma dalam menarik hati ke majlis ilmu dan juga bersedekah ini, membuatkan chemek terfikir untuk anak-anak sendiri. Alhamdulillah pada bulan Ramadan yang lepas dapat dimulakan latihan ini dengan anak-anak dan syukur kerana hampir setiap hari mereka mula bertanya, hari ini kita pergi masjid? duit dalam tabung ini untuk kita sedekah?

Sebenarnya yang membuatkan chemek terfikir kembali tentang dua latihan praktikal tok Ma ini bermula apabila chemek hadiri program di sekolah anak sulung chemek tahun lepas. Untuk program hari itu, setiap murid mesti membawa apa saja makanan yang belum dibuka tin/kotak/plastiknya. Makanan-makanan ini akan dikumpulkan dan diletakkan di hadapan dewan. Maka anak chemek membawa satu makanan pada hari itu untuk didermakan.

Program hari itu dikendalikan oleh seorang paderi. (Sekolah anak chemek ini sekolah agama/religious school, malangnya di sini memang tak ada Islamic School) Menariknya paderi ini bercerita kisahnya melawat negara India dan diceritakan mengenai kesusahan dan kelaparan orang-orang yang ditemuinya. Maka pada hari itu, mereka akan kumpul sebanyak-banyaknya makanan untuk membantu orang yang lapar dan susah. Paderi ini mengambil masa kurang dari satu jam berinteraksi dengan murid-murid. Dia tanya soalan-soalan dan mereka berlumba-lumba mengangkat tangan menjawabnya.

Pandai sungguh teknik dakwah kepada kanak-kanak yang diberikan. Dia semakin berjaya menarik perhatian mereka dengan bertanya apa yang mereka bawa untuk membantu orang yang susah. Semua angkat barang di tangan tinggi-tinggi. Kemudian paderi ini meminta satu demi satu kelas ke hadapan membawa barang dan mengumpulkannya di hadapan dewan. Maka bertimbun-timbunlah kotak-kotak biskut, cereal, sardin, minuman dan macam-macam lagi. Setelah melihat timbunan barang yang diletakkan, paderi ini memuji-muji apa yang dibuat. (sama jugak dengan tok Ma, yang puji apa yang chemek buat lepas masukkan duit dalam tabung) Begitulah cara praktikal membuat ‘charity’ diajar oleh pihak sekolah di sini (negara orang) dengan bantuan pihak gereja.

Latihan praktikal ini lebih berkesan, berbanding kita memberikan latihan secara lisan ataupun teori. Mungkin ada kesannya tentang mengajak orang bersedekah, datang menuntut ilmu dengan cara nasihat dan ajaran. Tetapi yang lebih berkesan pada pandangan chemek berdasarkan pengalaman sendiri ialah ia perlu diajar secara praktikal dan mengikut kegemaran seseorang.

Categories: Uncategorized

Kisah Teladan 2: Sebuah Perkahwinan.

October 5, 2009 · Leave a Comment

Ini pula kisah kedua. Jika larat dan berminat boleh baca seterusnya.

Nora, 15 tahun mengetahui ayahnya berkahwin kali ke2 pada hari raya puasa. Kakak sulung (anak angkat ayah dan ibunya) pulang ke rumah setelah berhari raya di rumah jiran-jiran dengan teresak-esak terus masuk ke bilik. Nora yang terkejut dengan apa yang berlaku mengekori kakaknya, 17 tahun. ‘Makcik M cakap, ayah kita kahwin lagi’, jelas kakak mengesat air matanya. Serta-merta Nora berasa darahnya berderap. Kemarahan meluap-luap tetapi dia tiba-tiba terduduk. ‘Mungkin ni cuma cakap-cakap saja’, luah Nora yang mula remaja.

Petang itu, Nora mengagahkan dirinya. Setelah tetamu pulang. Nora datang rapat mendekati ayah. Belum sempat Ayah menegurnya, Nora terus bertanya, ‘Ayah, betulkah ayah telah kahwin lain?’

Wajah si ayah berubah. Ini kerana perkahwinan kedua itu seharusnya terus menjadi rahsia. Kerana perkahwinan ini bukan saja tidak mendapat persetujuan ibu Nora tetapi sebenarnya tidak pernah diutarakan kepada ibu Nora. Jika pecah, bagaimana harus dia hadapinya. Bahkan dia sendiri telah letakkan syarat awal-awal kepada isteri kedua, perkahwinan kedua ini tidak boleh diimpikan akan menerima layanan yang sama. Kerana juga isteri 1nya adalah segala-galanya dalam hidupnya sebelum ini. Dia tak mahu membuatkan isterinya sedih dan kesedihan ibu Nora nanti akan turut menyeksa batinnya. Dalam situasi isterinya sekarang, itulah berita terakhir yang dia seharusnya terima. Mereka baru kehilangan salah seorang zuriat mereka. Antara syarat lain yang ditetapkan sebelum melangsungkan perkahwinan itu juga isteri ke2 tidak boleh sesekali bertemu dan berurusan dengan isteri 1 sehingga akhir hayat. Kalau boleh biarlah payung emas diterima oleh isteri 1 di akhirat kelak, diperolehi secara bonus dari Allah. Lagipun isteri 1 mengidap penyakit sejak kelahiran terakhir adik Nora. Dia tak mahu isteri 1 memikirkan perkahwinan kedua itu kerana dia sakit. Bahkan perkahwinan kedua berlangsung sebelum mereka suami isteri tahu tentang penyakit itu. Takut nanti tambah derita jiwa isterinya setelah penderitaan fizikal yang dialaminya.

Tambah lagi, tiada cacat cela pada isteri 1. Dia adalah wanita yang paling baik yang pernah ditemui dalam hidupnya. Dia adalah wanita yang paling banyak berkorban untuknya. Dia juga wanita yang paling berakhlak yang pernah ditemui. Orangnya ada pengajian agama yang mantap. Al-Quran sentiasa dibibirnya. Masuk sahaja ke dapur, nyanyiannya hanyalah zikir, doa dan al-Quran. Jiwa murabbiyahnya tidak berhenti di sekolah tetapi di rumah semua anak-anaknya terasuh dan terdidik.Tak pernah keluar dari mulut isterinya yang pertama kata-kata yang menyakiti hatinya. Bahkan dia adalah orang terakhir yang akan tahu tentang keburukan orang. Apabila ada saja bual-bual gossip, isterinya orang pertama akan mengangkat punggung meninggalkan kelompok itu. Pendek kata, tiada aib dan tiada sebab pada diri isteri 1 yang boleh membuatkan dia mencari perempuan lain. Itulah isterinya yang pertama, ibu kepada Nora dan anak-anaknya yang lain.

‘Kalaulah mereka yang bawa cerita ayah ini berfikir, dan mereka ingin jaga keharmonian seluruh keluarga kita, mereka tak sepatutnya cakap semua ini’, jawab ayah. Ayah tak memberi jawapan lanjut. Dalam hati Nora, dia tahu, ayahnya memang sah telah kahwin dua. Nora tinggalkan ayah dengan perasaan berkecamuk. Jiwa remaja turun naik. Tetapi yang pasti dia geram dan berdendam. Berdendam dengan ayah sendiri. Dendamnya memuncak mengenangkan ibunya yang sakit dan dia pernah melihat ibunya menyerahkan barang kemas yang dipakai dan disimpan untuk digadai oleh ayahnya.

Masuk ke bilik, Nora masih melihat kakaknya masih murung. Kakaknya ini cuma kakak angkat sahaja, tetapi kesedihannya seumpama ayah kandung sendiri yang berkahwin. Tiba-tiba Nora berasa bimbang. Bagaimana kalau ibunya tahu? Apakah ibunya akan murung dan lebih sedih lagi? ‘Nora dah tanya ayah tadi, ayah cakap tak, semua tu cakap-cakap orang yang jahat’, kata Nora berbohong. ‘Betul Nora?’pinta kepastian kakak. ‘Betul, mana ada, cuba lihat, ayah tiap-tiap hari ada kat rumah, kalu tak de pun dia pergi KL, kerja dia dekat KL sana sibuk. Kita pun tahu sebab kita selalu ikut ayah. Mana dia ada masa untuk semua ni’, bohong Nora lagi. ‘kalau ada lagi orang cakap benda ni, cakap saja yang buat jahat dekat keluarga kita dan nak buatkan kita sedih’, kata Nora, kali ini dia macam jadi kakak. Kakak mengesat air mata. Itulah kali pertama dan terakhir mereka bercakap mengenainya.

Seperti yang diungkapkan oleh Nora, jiwa remajanya bertarung. Bertarung untuk menjadi anak yang soleh dan anak yang memberontak. Akhirnya Nora buat pilihan. Dia akan jadi anak yang soleh untuk ibunya, dan dia akan jadi seorang pemberontak untuk ayahnya. Di depan ayah, perangainya menjadi kasar dan bengis tetapi depan ibunya dia mengawal dirinya. Kadang-kala dia terfikir menyalahkan ibunya, kenapalah ibunya terlalu baik dan terlalu sangat percaya pada ayah. Kesan psikologi perkahwinan ini bukan hanya menimpa ataupun dirasai oleh suami isteri tetapi bagi anak yang tak dapat menerima takdir tersebut mereka akan menjadi pemberontak sekiranya tidak dikawal. Sebab itu pasangan suami isteri perlu sentiasa membaca surah al-Tahrim. Dalam surah ini ada kisah pakatan jahat para isteri Rasulullah s.a.w untuk menyakiti hati baginda. Bayangkan Allah swt membongkar kisah perkahwinan Rasulullah dan perjalanan hidup baginda dan isteri-isteri sehingga ia membuka pekung di dada. ‘Siapa yang memberitahu ini, wahai Rasulullah’, tanya salah seorang isteri baginda, maka dijawab oleh Rasulullah, Allah. Ini satu peringatan dari Allah tentang tanggungjawab mereka yang ingin mendirikan rumahtangga.

Beratnya urusan sebuah Baitul Muslim ini ditekankan lagi dalam ayat berikutnya. Apa yang difirmankan oleh Allah? Lihat dalam ayat yang enam setelah amati dua ayat sebelumnya. Dalam ayat ke-6, Allah berpesan kepada si suami dan isteri agar memelihara diri mereka sendiri dan memelihara keluarga mereka daripada terkena bahan bakar api neraka yang terdiri dari batu dan batang tubuh manusia yang derhaka. Allah juga peringatkan mengenai adanya malaikat yang bengis yang akan bertindak kasar dan bengis terhadap mereka, mereka ini kasar dan bengis tetapi mereka taat dengan apa yang Allah perintahkan dan mereka ini selalu melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah.

Chemek berasa perlunya ayat ini diperhalusi secara mendalam. Amat besar tanggungjawab yang dipikul oleh suami isteri (ibu/bapa) dalam sebuah keluarga. Mereka bukan sahaja perlu memelihara diri dan pasangan masing-masing daripada membuat dosa, maksiat dan keingkaran, mereka perlu juga menjaga pasangan masing-masing dengan saling membuat amalan yang soleh, yang menambah pahala dan ketaatan. Tanggungjawab ini bukan dipikul oleh hanya seorang tetapi dua individu suami isteri yang telah berjanji untuk membina sebuah keluarga. Pincang seorang, maksudnya akan pincang pasangannya.

Tanggungjawab menjaga ahli keluarga dalam ayat seterusnya bukan hanya terhad dalam maksud menjaga anak-anak semata-mata. Apabila kita membina keluarga, kita menghubungkan pertalian dua buah keluarga. Jika perkahwinan itu lebih dari satu pasangan, maka lebih besar lagilah tanggungjawab pemiliharaan anggota keluarga yang dipikul tambah lagi tanggungjawab untuk melahirkan zuriat, mentarbiyah dan membesarkan mereka. Kepincangan dalam memelihara pertalian, hubungan ataupun apa sahaja yang berkaitan dengan anggota keluarga yang bertambah ramai harus digeruni oleh suami isteri. Mereka bukan sahaja akan menerima azab dan balasan/fitnah sewaktu di dunia yang sementara tetapi ada balasan dan azab yang terlampau berat dan kekal di akhirat kelak.

Chemek percaya pembaca boleh fikirkan sendiri contoh-contoh azab dan balasan yang diterima oleh pasangan suami isteri yang mengambil ringan tanggungjawab ini. Berapa ramai anak derhaka terhadap ibubapanya? Berapa ramai menantu dan anak bermasalah dengan ibubapa dan adik-beradik pasangan masing-masing? Bagaimana agaknya keadaan apabila bapa mentua hilang kepercayaan terhadap pasangan anak perempuannya? Dan banyak lagi masalah lain jika tak diambilberat dan dijaga yang kadang-kala menyebabkan ia menjadi terlalu kompleks, saling menfitnah dan hilang kepercayaan.

Sejak hari raya itu, Nora tidak pernah senyum kepada ayahnya. Nora menjadi ujian, penyakit dan azab yang begitu berat kepada ayahnya sendiri. Ada apa sahaja di depannya akan dihempas dan dibaling. Jika ayahnya bertanya, jawabnya tidak ada yang sesuai ataupun jawapan itu dari seorang anak yang tiada hormat pada orang tua. Dia memilih untuk senyap jika ayahnya ingin bercakap ataupun bertanya apa sahaja. Raya tahun itu merupakan hari terakhir Nora mencium tangan ayahnya.

Perubahan Nora disedari boleh ayah dan ibunya. Ayahnya tahu mengapa Nora berubah seratus peratus sikap dan perangainya. Apa daya yang dia ada? Tangannya takkan hinggap untuk menghukum Nora. Ini kerana sebelum inipun caranya membetulkan kesalahan Nora tidak dengan hukuman fizikal apatah lagi setelah dia berkahwin lagi. Semarah-marah dia sebagai ayah hanya melalui lidah sahaja. Sekarang dia sendiri rasa kelu. Nora seumpama nampak ia satu peluang untuk lebih menyakiti ayahnya. Jika ayahnya marah padanya, terbuktilah ayah sudah tidak sayang lagi. Tetapi ibunya menyangka Nora menghadapi situasi baru alam remaja. Sebab dia biasa menghadapi kerenah pelajar-pelajarnya yang sedang meningkat remaja. Ibu Nora tidak terfikir perubahan sikap Nora itu berpunca dari rumah. Disangkanya ia dari pengaruh luar rumahdan rakan-rakan sebaya.

Sebagai ibu yang ada kefahaman Islam yang mendalam, dia mula mengambil satu langkah baru untuk merawat jiwa Nora yang sedang memberontak. Dia tahu Nora akan mengikut katanya. Setelah Nora tamat peperiksaan PMR, ibunya mengatur jadual harian sebagai kursus spiritual untuk Nora. Diajak Nora bangun malam bertahajud dan sekali sekala mereka mendirikan solat hajat bersama sebelum tidur. Perhatian kepada Nora dilebihkan. Dia percaya rawatan spiritual akan dapat menyelamatkan Nora walau apa jua penyakit yang dihadapinya. Itu yang dirasai oleh dirinya sendiri setelah dia ditimpa sakit, kemudian diuji dengan kematian anaknya bertimpa-timpa. Sewaktu menjaga bayinya, dia mendapat khabar baru tentang penyakit yang dihidapi. Setelah pulih seketika, anak lelaki bongsunya yang ada down syndrome iaitu abang kepada yang paling bongsu tiba-tiba demam panas dan meninggal dunia.

Pendek kata pelbagai cara kerohanian diusahakan oleh ibu Nora. ‘Malam ini boleh Nora solat tahajaud?’, Hari ini boleh Nora istigfar 100 kali?, Apakata hari ini kita selawat sama-sama 100 kali, hari ini ibu nak ajar Nora satu doa, Nora tahu apa makna ayat ini?  Esok, Nora teman ibu pergi shopping, tapi kita pergi dengar ceramah dulu sebelum tu’, ‘Ibu sangat suka hadith 40, kalau Nora dapat hafal hadith-hadith ini, bagus tu’. Ini antara silibus tarbiyah ibu Nora untuk anak gadisnya yang sedang meningkat usia 16 tahun.

Nora melalui pertarungan emosi yang serius. Bertarung di antara memilih jalan untuk insaf dan berdamai saja dengan ayahnya ataupun terus menyakiti hati ayahnya yang telah berkahwin lain. Jika dalam surah al-Tahrim yang chemek kemukakan tadi dikisahkan mengenai usaha isteri-isteri untuk menyakiti hati suami, kini perbuatan Nora juga seumpama itu, cumanya penyakitan itu dibuat oleh seorang anak. Selain dari Nora, ada lagi beberapa orang lain yang cuba menyakiti hati ayah dan ibu Nora. Ini termasuklah bapa-bapa saudara dan juga ibu-ibu saudara Nora sendiri, yang merupakan adik-beradik kandung ayah Nora. Peliknya mereka menyerang ayah Nora, tetapi ibu Nora masih lagi Allah jaga dari fitnah dan bentuk-bentuk penyakitan seperti yang ayah Nora terima. Ini bukan dari orang lain yang tiada hubungan kekeluargaan.

Di samping itu, Nora sendiri melihat beberapa kali peristiwa orang perempuan yang datang bertandang ke rumah yang membuka cerita-cerita poligami orang lain di depan ibunya. Nora dapat mengagak kawan-kawan ataupun sedara mara yang datang itu cuba memberitahu ibunya secara tidak langsung tetapi mereka tak sampai hati ataupun takut untuk berterus-terang. Mungkin mereka juga masih ada lagi perasaan hormat pada ayah Nora. Tetapi pada masa yang sama, mereka seperti mahu tahu apakah ibu Nora tahu dan sedar tentang wujudnya perkahwinan lain dalam hidup ayah Nora. Sikap orang seumpama ini menambah lagi rasa sakit hati dalam diri Nora.

Bayangkan lima tahun berlalu kemudiannya. Nora masih mengekalkan hubungan tidak hormat dan mesra terhadap ayahnya. Setelah berjaya dalam SPM, Nora melanjutkan pengajian ke Universiti di Kuala Lumpur. Jarak Kota Bharu dan KL mengurangkan krisis dan sedikit sebanyak ada kesan positif. Nora pula banyak libatkan diri dengan aktiviti di universiti dan ini mengalih perasaannya sedikit sebanyak. Tetapi ayah Nora masih tidak putus asa untuk menjernihkan hubungannya dengan anak kesayangannya. Dia mahu Nora kembali menjadi anaknya seperti sebelum Nora tahu tentang poligaminya. Setiap keperluan Nora akan dipenuhi dengan sempurna. Susah sekalipun dia hadapi baik urusan kerjanya di luar rumah, dia akan penuhi juga. Jika ibu Nora menefon Nora seminggu sekali bertanya khabar Nora di universiti, ayah akan telefon Nora selang sehari ataupun selang dua hari. Jika Nora hadapi peperiksaan, dia akan telefon setiap hari dan tanya macam mana dia hadapai peperiksaan setiap kursus yang diambilnya. Tidak cukup dengan itu, dia akan berkunjung melawat Nora dan sediakan tiket untuk Nora pulang. Pernah sekali, Nora pulang dari kuliah dan demam panas. Melihat keadaan Nora yang amat teruk, roomatenya menghubungi keluarga Nora. Tidak sampai tiga jam, ayah Nora menunggu Nora di luar asramanya untuk membawa Nora ke hospital dan kemudian pulang ke rumah. Pernah seorang rakan Nora menyatakan kekaguman dia terhadap perhatian ayah Nora kepada anak. Tetapi Nora tidak menerima pujian rakan karibnya itu sebagai suatu yang membanggakan.

Kesan tarbiyah ibu, masa dan suasana yang berubah  sedikit sebanyak telah membuat Nora berfikir kembali tentang apa yang berlaku. Sepanjang lima tahun yang telah berlalu, ayahnya tidak ada langsung perubahan yang negatif. Bahkan ibunya sendiri sentiasa diutamakan. Suatu hari Nora bertemu dengan salah seorang pensyarahnya yang juga merupakan sahabat baik ibubapanya sejak Nora masih kecil lagi. Pensyarah ini mengenali ayah dan ibu Nora bahkan seluruh adik-beradik Nora. Setelah berbincang mengenai projek kursus, pensyarah ini minta Nora tunggu sebab dia ingin tanya Nora tentang keluarga, lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir itu, ayah Nora tidak sihat.

Setelah bertemu dengan pensyarah hari itu, Nora menjadi serba-salah. Lebih-lebih lagi beberapa minggu lepas saja, dia diminta pulang oleh ibunya setiap hujung minggu kerana ayahnya tidak sihat. Minggu ini dia akan pulang lagi. Sudah tiga minggu berturut-turut Nora pulang pada petang jumaat dan tiba semula di kuala Lumpur pada hari Isnin dengan penerbangan terawal.

Bukan tidak ada rakan-rakan yang cuba menasihatinya. Tetapi sering sahaja Nora mengambil sikap, teguran dan nasihat rakan-rakan karibnya belum cukup berkesan untuk dia. Lagipun mereka tidak mengalami emosi dan pengalaman seumpamanya. Pada hujung minggu itu, buat kali pertama Nora menyapa dan meminta ayahnya untuk membawanya ke rumah isteri ke-2. Nasihat dari pensyarah yang seusia dengan ayah telah membuatkan Nora berasa perlu berbuat sesuatu. Lagipun dia tak mahu keluarga dan hubungan dengan ayahnya terus retak. Bagaimana jika sesuatu berlaku pada ayahnya? Kesihatan ayahnya belum pulih sepenuhnya. Tetapi kerana permintaan Nora itu yang memang sudah lama ditunggu-tunggu, akhirnya mereka berdua bertolak. Ayah Nora berkali-kali meminta kepastian, benarkah Nora benar-benar bersedia? Dengan cermat Nora memandu kereta dan akhirnya mereka tiba di sebuah kampung.

Akhirnya Nora tiba di rumah isteri ke2 ayahnya. Sebuah rumah kampung lagi usang yang nyata jauh kecil dari rumah banglo yang didiami oleh ibunya. Akhirnya dia bertemu dengan wanita yang membuatkan dia membenci ayahnya lebih dari lima tahun. Bukan sahaja bertemu dengan isteri kedua tetapi juga adik-adik Nora dalam peringkat usia sekolah rendah. Tinggal bersama dalam rumah itu kedua-dua orang tua yang bekerja kampung sebagai petani. Isteri ayahnya ada beberapa orang adik-beradik. Ada yang bekerja mengambil upah menjahit kerana menyara anak kerana bercerai dengan suami yang ketagihan ubat batuk. Ada dua orang lagi adik lelaki yang seusia dengan Nora dan mereka masih belajar. Seorang belajar dalam negeri dan seorang lagi belajar di timur tengah.

Sewaktu dalam perjalanan pulang, Nora bercerita ayahnya bertanya beberapa soalan kepadanya. ‘Nora telah lihat siapa isteri kedua ayah. Ayah kahwin lagi bukan seperti orang lain yang kahwin lagi. Ayah bukan kahwin untuk bangga-bangga ataupun untuk tunjuk di depan rakan-rakan ayah.’ Apakah ayah berkahwin dengan seorang perempuan yang muda? ‘Apakah ayah berkahwin dengan seorang permpuan yang cantik?’, ‘Apakah ayah berkahwin dengan seorang perempuan yang kaya?’ Apakah dia lebih berpelajaran dari ibu Nora?’. ‘Nora sudah lihat siapa keluarga dia’, Soalan-soalan itu Nora jawab di dalam hatinya.

Benar, perempuan yang ayahnya kahwin bukan wanita yang muda tetapi seorang perempuan yang sudah berumur. Usianya mungkin muda sedikit beberapa tahun dari ibu Nora. Jika nak dibandingkan dengan ibu Nora, ibunya memang lebih cantik. Penampilan lebih terjaga baik dari sudut pakaian dan penjagaan aurat. Ibunya ada pendapatan sendiri sedangkan wanita yang ayah kahwini sememangnya bergantung hidup sepenuhnya dengan saraan dari ayah. Malah ayah Nora juga turut membiaya kedua-dua adik isteri keduanya yang sedang belajar. Tiba-tiba Nora berasa betapa beratnya tanggungan dan besarnya tanggungjawab yang sedang dipikul oleh ayahnya. Hanya orang yang bersedia dan berfikir semasak-masaknya sahaja yang sanggup untuk melaluinya.

‘Ayah akan beritahu ibu Nora satu hari nanti. Tetapi bukan sekarang.’ Ketika Nora bertemu dengan isteri ke2 ayahnya, hampir kesemua adik-beradiknya telah tahu dan sudah bertemu dengan keluarga kedua. Nora menjadi orang kedua terakhir bertemu keluarga itu di kalangan adik-beradiknya. Semua tidak pernah menyebut dan berbincang tentang perkahwinan tersebut di dalam rumah kerana ingin menjaga perasaan ibu mereka dan juga kerana amat menghormati keinginan si ayah. Sehinggalah beberapa tahun berikutnya, kira-kira kurang dari sebulan dari hari terakhir hayat ayah mereka, barulah ibu mereka tahu dari mulut ayah mereka sendiri. Bagaimana perasaan ibu Nora, tidak dapat chemek khabarkan kerana tidak mengetahuinya dengan lanjut. Bagaimanapun menurut Nora, ibunya pernah kata, ayah Nora dan anak-anaknya yang lain memang terlalu menjaga kerana takut dia sedih ataupun bimbang hatta anak perempuan yang paling bongsu (iaitu orang terakhir yang dibawa bertemu keluarga kedua Ayah setelah Nora) pernah dia tanya ke mana si bongsu pergi (walaupun dia sudah tahu ketika itu anaknya dibawa oleh abang-abangnya untuk ziarah keluarga kedua), anak bongsunya itu pun berhelah tidak menceritakan ke mana dia telah pergi.

Terlalu panjang kisah ini. Cukup di sini sebagai teladan untuk semua. Keluarga ini terselamat dari fitnah seperti perbalahan antara suami isteri disebabkan oleh perkahwinan lain. Mereka juga terselamat kerana setiap mereka menjadi orang yang bertanggungjawab untuk mengurangkan masalah. Nora pada awalnya terpengaruh dengan pemikiran dari luar telah terhalang dan sedikit lambat untuk melihat apa sebenarnya yang  telah dilakukan dan dilalui oleh ayahnya melalui perkahwinan keduanya. Paling penting dalam kisah ini ialah bagaimana usaha dibuat oleh semua pihak untuk menjaga perasaan isteri1 dan menghormati beliau lebih-lebih lagi ia bermula dengan serius dan bersungguh-sungguh dari suaminya sendiri. Siapa yang paling baik di kalangan mereka dan mendapat ganjaran dari Allah baik di dunia dan di akhirat hanya Allah jua yang maha adil dalam menilai hamba-hamba-Nya. Kiranya perlu juga dinyatakan di sini peranan orang lain amat perlu untuk mengurangkan masalah dan tidak menjadi agen menyampaikan berita yang mungkin pahit, menyakitkan hati dan menyedihkan orang lain sekalipun berita itu suatu kebenaran kita rasakan. Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Salah satu kriteria sempurnanya Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang bukan keperluan/tidak penting bagi dirinya’

Tambahan: Latarbelakang keluarga Nora. Sederhana, adik beradik 10 orang termasuk 2 anak angkat yang dipelihara oleh ibubapanya. Ini tidak termasuk lagi adik-adik Nora berlainan ibu. Selain itu, ayah Nora membiaya keluarga abang iparnya (abang ibu Nora) kerana kesihatan fizikal abang ibu Nora yang sudah berumur dan tidak mampu bekerja. Ayah Nora juga membiaya dua buah keluarganya yang lain iaitu anak-anak dua abang yang sudah kematian bapa mereka. Kedua-dua kakak ipar ayah Nora tidak berkahwin lain setelah kematian suami mereka, setiap keluarga ini mempunyai anak lebih dari 5 orang. Ketiga-tiga buah keluarga ini dibantu sehingga anak-anak mereka boleh berdikari/dewasa.

Categories: Uncategorized

Kisah Teladan 1: Sebuah Perkahwinan.

October 1, 2009 · 2 Comments

Lanjutan dari pembacaan saya di blog Ummu Abbas[ link ], saya ingin bawa 2 kisah poligami yang diketahui. Untuk kali ini 1 kisah dahulu akan dipaparkan.

Hari ini, bagaikan menelan ubat yang pahit dan tak disukai, memang terlalu banyak perkara negatif yang ditimbulkan kerana pengamal poligami yang telah menukar wajah keindahan yang boleh dicari di dalamnya sehingga menyebabkan ia menjadi terlalu negatif dalam masyarakat kita hari ini.

Pelbagai alasan yang diberikan mengenai poligami ini. Isteri yang menolak suami berpoligami dikatakan sebagai perempuan yang cemburu, beremosi dan tidak dapat menerima hakikat hidup bahawa suaminya bukan miliknya. Manakala pihak si lelaki pula memberikan alasan perkahwinan kedua bukan (ataupun bukan semata-mata) kerana memenuhi naluri dan nafsu lelaki secara halal, tetapi ada banyak sebab lain yang mendorong mereka berkahwin lagi. Seperti lelaki yang mengemukakan pelbagai sebab yang mendorong mereka kepada pengalaman poligami, begitu juga wanita mengemukakan pelbagai sebab mengapa suaminya/ lelaki tidak seharusnya berkahwin lagi.

 Semoga kisah yang dipaparkan ini memberikan kepada kita beberapa pandangan lain yang mungkin kita sukai dan juga mungkin tidak disukai.

Kisah 1: (kejadian berlaku lebih dari 50 tahun yang lalu)

Keriuhan di dalam rumah kayu bertangga batu merah itu semakin rancak. Para tetamu memenuhi tempat. Pengantin perempuan sudah siap diandam. Jurunikah dan wali si ayah beserta dua saksi sudah sedia. Tetamu yang hadir pada malam itu dijamu teh panas dan kuih tradisi. Esok kenduri besar, mereka akan datang lagi.

Tetapi, tetamu paling utama masih belum muncul. Debar pengantin perempuan sejak berhari-hari semakin bertambah. Debar untuk menempuh kehidupan bergelar seorang isteri. Debar menempuh suasana baru kelak. Dia akan keluar dari rumahnya yang telah dihabiskan semua hayatnya sejak dari kecil. Dia akan ke tempat baru, keluarga baru dan semua serba baru yang akan dikenalinya. Suasana baru, keluarga baru, saudara-mara baru dan juga teman dan kenalan yang baru. Selang sehari selepas majlis kendurinya nanti dia akan menjadi orang baru dalam suasana-suasana dan hubungan kekeluargaan itu.

Waktu isyak sudah lama berakhir. Si ayah mundar-mandir. Rimas menunggu. Benarlah penantian suatu penyeksaan. Entah apa yang sedang berlaku. Sepatutnya rombongan keluarga dan pengantin lelaki sudah sampai untuk menunaikan upacara akad nikah. Tetamu di kalangan keluarga dan teman rapat sudah semakin ramai. Saudara yang jauh sudah berhari-hari tiba. Esok lusa mereka ingin pulang. Datang semata meraikan perkahwinan ini.

Jika mampu ditahan masa dari bergerak. Ingin sahaja disuruh berhenti. Walaupun kita tetap duduk ataupun tidak bergerak, masa tetap bergerak dan berlalu. Penungguan sedetik beralih dan berlalu. Merimaskan hati ayah. Mendera jiwa si pengantin. Para tetamu sudah habiskan tegukan dan suapan mereka. Kini mereka juga mula tertanya-tanya apakah yang berlaku. Musibah apakah yang sedang menimpa si pengantin lelaki. Apakah ada kemalangan buruk terjadi telah terjadi. Apakah itu, apakah ini, banyak sudah diborak, dibisik dan ditanya-tanya. (chemek percaya, jika ada kemudahan perhubungan seperti hari ini, apa saja berita akan cepat tersebar dan dapat terus berhubung)

Setelah sebegitu lama menanti, sampailah sebuah motosikal (ataupun basikal). Si ayah pengantin perempuan berlari menerpa turun. Dalam keadaan yang meributkan itu, si penunggang itu, mewakili keluarga pengantin lelaki memaklumkan pengantin lelaki tidak akan datang dan tiada perkahwinan akan berlangsung. Si ayah bagaikan ingin rebah untuk menanggung berita buruk itu. Apalah salahnya anak perempuannya sehingga dihukum dengan keputusan itu? Riuh di luar rumah sudah sampai ke dalam. Berita itu sudah sampai ke pengetahuan si bakal pengantin. Bisik-bisik menjadi-jadi. Pembatalan perkahwinan itu menjadi tanda-tanya. Apakah erti semua ini? Semua mencari-cari sebab. Apakah sebabnya berpunca dari pengantin lelaki? atau apakah sebabnya berpunca dari pengantin perempuan?

Malu dan kehormatan sebuah keluarga sudah terhina pada malam itu. Bagi lelaki, mereka masih lagi ada peluang untuk meneruskan hidup mereka seperti biasa. Jika malu pun hanya seketika. Tetapi bagi perempuan lebih-lebih anak gadis, sekali imejnya tercalar dan dihina, keluarga lelaki manakah lagi yang sudi datang melamarnya biarpun aibnya bukan punca dari perempuan. Jika adapun, si perempuan perlu menunggu sekian lama sehingga kisah-kisahnya ini tenggelam dan tak berungkit lagi. Sewaktu itu, usianya pasti sudah bertambah. Dirinya pasti semakin tua, keayuannya juga akan luntur.

Berbalik kepada kisah ini, episodnya tidak berhenti di situ. Ia tak berhenti pada pembatalan pernikahan. Teringat chemek pada tulisan tazkirah ringkas Ummu Abbas semalam, ‘bahawa antara tanda-tanda kasih sayang Allah ialah Dia menyelamatkan hamba-hamba-Nya dari fitnah’.

Di kalangan tetamu yang hadir, ada seorang wanita yang dipanggil sebagai Mak Engku. Orangnya masih muda, dalam lingkungan 30 an. Mak Engku bangkit mencari-cari suaminya. Terus dipegang suaminya dan berbincang dengannya. Episod seterusnya, Mak Engku bertemu si ayah pengantin, mewakili suaminya, meminang anak perempuannya untuk suaminya.

Chemek ingin tinggalkan noktah di sini. Pencarian hikmah di atas apa yang dibuat oleh Mak Engku, chemek percaya dapat difikirkan dengan mendalam oleh rakan-rakan semua.

Apabila timbul isu poligami dan ditimbulkan tuduhan umum wanita cepat beremosi. Hati chemek bagaikan ditarik-tarik mengenangkan kisah ini. Kisah seorang wanita yang sanggup berkorban untuk wanita lain sekalipun saudaranya itu tiada pertalian keluarga dengannya.

Tambahan * Sehingga hari ini Mak Engku ini masih ada biarpun sesekali-sekala terpaksa ditolak dengan kerusi roda untuk ke hulur dan ke hilir baik untuk ke pondok pengajiannya (waktunya dihabiskan di sini setelah Pak Engku meninggal lebih 20 tahun yang lalu) ataupun untuk menziarahi anak-anak tirinya serta isteri ke2 suaminya. Mak Engku pernah mengalami stroke sehingga melumpuhkan kedua kakinya. Kejadian ini berlaku selepas kematian Pak Engku. Tetapi beliau sentiasa berjaya bangkit dan berjalan semula. Apabila chemek tanya, apa rahsianya, petua Mak Engku ialah baca selawat tafrijiyyah seribu kali setiap hari. Sudah hampir dua tahun, chemek tak jumpa Mak Engku, paling akhir jumpa beliau sewaktu pulang mengundi di Kelantan pada bulan Mac 2008 yang lalu.

 

Categories: Uncategorized

Statistik Perceraian, Perkahwinan dan Poligami di Kelantan

September 29, 2009 · Leave a Comment

Chemek membaca blog rakan (http://keranacinta.wordpress.com) berkaitan dengan isu poligami dan sebagai lanjutannya mencari sedikit maklumat tambahan berkaitan isu ini yang perlu ditangani secara serius oleh Kerajaan Negeri di bawah Kepimpinan Ulama’.

Mungkin yang berkhidmat (seperti imam, penghulu, YB-YB, exco-exco dan pegawai-pegawai baik dalam pentadbiran negeri dan majlis Agama Islam) kepada masyarakat di Kelantan perlu mengambil inisiatif lebih serius. Bilangan yang melangsungkan perkahwinan sentiasa meningkat di negeri kita ini. Bagaimanapun tiada perincian diketahui apakah yang meningkat ini perkahwinan kali pertama ataupun perkahwinan tambahan. Selain itu jika dilihat kepada angka poligami juga meningkat. Terdapat juga peningkatan yang negatif iaitu peningkatan bilangan perceraian. Statistik ini mungkin dapat memberikan kita idea yang lebih menyeluruh sekiranya ada tambahan maklumat perceraian hidup ataupun perceraian disebabkan oleh kematian.

 

Statistik Perceraian Seluruh Malaysia (I) 1995-2000

NEGERI

1995

1996

1997

1998

1999

2000

PERLIS

234

216

209

288

  221

 188

KEDAH

2,099

1,765

1,729

1,914

1,660

1,168

P.PINANG

626

243

601

613

656

647

PERAK

719

849

601

1,024

1,134

1,234

SELANGOR

1,103

1,333

1,102

1,454

1,568

2,075

 K.LUMPUR

237

553

897

894

711

499

N.9

425

446

416

572

528

625

MELAKA

143

514

528

521

343

463

JOHOR

1,315

1,199

1,442

1,083

1,551

1,942

PAHANG

689

763

1,069 

1,221

1,118

1,016

T’GANU

759

637

632

903

958

1,005

KELANTAN

1,711

1,577

1,814

1,905

1,918

1,784

SARAWAK

201

358

358

514

 342

486

SABAH

1,187

546

339

357

  420

 433

LABUAN

26

54

40 

54

27

 40

MALAYSIA

11,474

11,053

11,777 

13,317

13,155

13,605

 

Statistik Perceraian Seluruh Malaysia (2) 2001-2007

NEGERI

2001

2002

2003

2004

2005

2006

2007

PERLIS

186

226

253

164

228

326

247

KEDAH

1,549

1,133

1,085

1,474

1,737

2,006

2,188

P.PINANG

717

911

925

916

913

813

917

PERAK

1,103

1,975

1,363

1,508

1,475

1,577

1,551

SELANGOR

1,878

1,977

3,158

3,136

3,030

3,295

3,722

K.LUMPUR

721

798

885

1,296

1,250

1,423

1,141

N.9

564

629

684

638

807

867

907

MELAKA

475

530

589

553

612

726

758

JOHOR

963

1,627

1,612

1,690

1,521

1,647

1,931

PAHANG

1,042

894

917

616

1,505

1,541

1,502

T’GANU

1,046

813

897

1,172

1,285

1232

1,537

KELANTAN

2,042

1,472

1,926

1,952

1,900

2,014

2,257

SARAWAK

602

634

652

826

820

974

910

SABAH

311

161

570

514

582

923

924

LABUAN

79

61

28

50

84

99

37

MALAYSIA

13,278

13,841

15,544

16,505

17,749

19,463

20,529

 

Statistik Perkahwinan Seluruh Malaysia (2001-2007)

NEGERI

2001

2002

2003

 2004

2005

2006

2007

PERLIS

1,275

1,390

1,351

2,153

1615

1,304

2,484

KEDAH

14,886

15,198

16,735

16,751

17,147

17,142

20,899

P.PINANG

3,764

4,034

3,226

3,368

3,914

3,568

4,458

PERAK

9,063

8,524

8,249

9,507

10,522

10,464

11,446

S’GOR

10,990

11,428

12,314

16,426

13,312

12,854

14,817

KL

3,122

4,172

4,531

3,616

4,230

4,455

3,538

N.9

3,491

3,540

3,706

4,301

4,496

4,449

5,151

MELAKA

2,680

2,923

3,067

3,182

3,210

3,334

3,559

JOHOR

6,289

9,687

10,510

13,751

14,747

11,943

13,241

PAHANG

6,323

 7,009

 7,521

5,116

7,342

9097

9,519

T’GGANU

6,641

6,877

5,965

7,746

7,731

8,232

8,953

KELANTAN

12,389

12,365

13,205

13,334

13,943

13,902

17,201

SARAWAK

4,804

4,556

4,333

4,648

5,015

5,396

5,393

SABAH

5,528

3,261

7,112

8,083

5,514

8,281

9941

LABUAN

244

218

237

280

394

  391

486

MALAYSIA

91,489

95,182

102,062

112,262

113,132

114,812

131,086

 

Statistik Poligami Seluruh Malaysia (1995-2002)

 NEGERI

1995

1996

1997

1998

1999

2000

2001

2002

PERLIS

26

59

48

 47

18

27

  18

5

KEDAH

247

273

302

268

210

138

195

  200

P.PINANG

79

26

5

 69

61

32

89

167

PERAK

120 

168

149

 105

167

138

 131

146

S’GOR

82

137

86

 77

39

478

*

  194

 K.LUMPUR

4

11

10

28

37

 48

*

  17 

N.9

98

94

   110

  111

85

 21

72

  63

MELAKA

64

68

71

64

36

 44

*

*

JOHOR

169

78

 446

109

136

173

  89

208

PAHANG

74

69

110

130

106

 73

 91

   98

T’GANU

227

221

212

*

204

229

 176

136

KELANTAN

342

359

191

84

254

356

268

1,331

SARAWAK

4

*

4

7

6

 17

  22

29

SABAH

86 

76

44

52

27

19

  48

   6

LABUAN

9

4

*

3

7

 6

 5

  4

MALAYSIA

1,631

1,643

 1,788

1,154

1,393

1,799

1,204

2,604

 Sumber: link

Ini ialah statistik di atas dunia. Ia adalah statistik yang didaftarkan. Belum masuk lagi kes-kes yang tidak direkodkan seperti kes isteri/pasangan yang digantung tak bertali, tidak dipedulikan baik dalam hal pemberian nafkah kepada pasangan dan anak-anak.  Belum lagi dimasukkan lain-lain statistik yang akan terus menjadi rekod yang tidak padam di akhirat kelak. Ini baru statistik isu kekeluargaan, belum dimasukkan lagi statistik kesalahan jenayah, keruntuhan akhlak, kesalahan dan jenayah ekonomi dan banyak lagi.

Pendek kata, setiap individu yang menyumbang kepada statistik ini akan diganjarkan dengan pahala dan juga dosa berlandaskan panduan syariat. Begitulah juga ia akan kekal menjadi bahan soalan yang bertubi-tubi disoal oleh Allah taala ke atas pemimpin-pemimpin negeri ini selama mana mereka menggalas amanah sebagai khalifah Allah.

Menjadi khalifah dalam sebuah keluarga bukan suatu yang ringan dan boleh main-main, lebih-lebih lagi mereka yang menjadi khalifah bagi sebuah masyarakat dan juga negeri.

Categories: Uncategorized

Nasi Kerabu (Simple)

September 28, 2009 · 1 Comment

Berada jauh dari Serambi Mekah ini membuatkan kita perlu belajar banyak perkara terutamanya memasak sendiri menu yang jarang benar dapat dirasa. Ini ada sedikit perkongsian resepi nasi kerabu yang chemek dapat (secara bersanadnya melalui telefon daripada Mak sepupu yang dia dapat ilmu ini daripada nenda chemek sendiri)

nasik kerabu 2

Kuah Tumis Nasi Kerabu

1) Bawang besar 10 biji

2) Bawang merah (kecil ataupun sederhana -10 biji

3) Lada kering/Lada hidup (blend dan tumis dengan minyak)

4) Serai 7-10 batang

5) Halia dan Asam keping (1 saja)

6) Santan pekat (1 tin / 3 gelas)

7) Gula (sebanyak rasa) dan garam (secukup rasa)

8.) Minyak 3-4 senduk untuk menumis

Cara memasak: Panaskan minyak, tumis lada (jangan sampai hangus), kemudian masukkan bawang besar dan merah (yang telah diblend) – masak dan tutup periuk. Sekali sekala kacau. Pastikan bawang ini masak (nak tahu ia masak ataupun tidak, caranya dgn mengecam hilang bau bawang ataupun pecah minyak) Kemudian masukkan serai, halia dan Asam keping. Masukkan santan dan seterusnya garam dan gula. Kuah tumis nasi kerabu biasanya sedap dimakan ketika ia pekat. Sekiranya ingin makan pada hari Jumaat, pastikan masak kuah ini pada hari Khamis ataupun pada malam jumaat. Semakin lama ia semakin sedap dan pekat. Jika terlalu pekat, boleh tambah air sedikit-sedikit. Tarra..siap sudah masak kuah. Jangkaan memasak kuah tumis antara sejam hingga 2 jam sahaja.

Kemudian untuk ulam-ulam – boleh pilih aneka ulam-ulam tradisi – paling tidak dapatkan timun dan taugeh. Paling bagus sekiranya ada pelbagai lagi ulam-ulam tambahan termasuk jeruk lada dan jeruk bawang putih.

ulam nasik kerabu

Antara lauk tambahan yang boleh dimasukkan dalam menu ini ialah telur masin ataupun telur dadar. Ayam bakar ataupun daging bakar serta solok lada.

Untuk menyediakan solok lada antara yang perlu disediakan:

1) Lada hidup – rendam sekejap dalam air garam potong memanjang di bahagian tengah untuk memasukkan ikan solok nanti.

2) Sediakan solok iaitu – kelapa parut yang digoreng bercampur dengan ikan yang telah direbus, masukkan sedikit gula, garam dan serbuk lada hitam (jika mahu pedas) gaulkan kemudian masukkan ke dalam lada yang siap dipotong. Ada juga yang masukkan telur dalam campuran tersebut.  

3) Solok ini perlu dikukus. Sebelum dikukus, titikkkan santan di atas campuran ataupun titiskan sedikit kuah tumis yang kita telah sediakan. Kemudian kukus.  

Jika ingin makan nasi kerabu dengan percik ikan ataupun ayam, sediakan kuah percik.

Caranya ringkas sahaja iaitu sediakan santan pekat, serai 1 batang, lada kering dan asam gelugur. Tumis lada seperti masak kuah tumis nasi kerabu, kemudian masukkan bahan-bahan tadi dan akhir sekali garam dan gula. Setelah ikan dan ayam siap dibakar, bolehlah dibakar sekejap lagi dengan percik yang disediakan. Pastikan ayam dan ikan tadi bersalut dengan percik dan bakar dalam oven ataupun disalai.

Untuk sediakan Sambal kerabu ikan/Sambal Kelapa caranya juga amat ringkas.

1) Goreng kelapa parut sehingga kekuningan/keperangan

2) Di dalam periuk lain , masakkan ikan (boleh guna ikan tuna dalam tin) jika sukar cari ikan segar – samalah juga untuk sediakan solok lada tadi.

3) Masukkan hirisan bawang merah, halia, serai dalam periuk yang memasak ikan di atas. Masukkan garam dan gula serta lada hitam.

4) Setelah kedua-dua masak Kelapa dan ikan – campurkan kedua-duanya. Sila tambah garam, gula dan lada hitam jika perlu.

Oh ya, jangan lupa masak nasi.  Menu kuah tumis di atas sesuai untuk 7-10 orang makan. Boleh ditambah lagi dengan budu. Oleh kerana untuk masak nasi kerabu ini agak memakan masa, dicadangkan masak banyak dan di-freeze-kan kuah tumis ini untuk dimakan lagi selang beberapa hari ataupun beberapa minggu.

Categories: Uncategorized

Ramadan Terakhir, Makan Selerak dan Kenduri 04 Syawal

September 23, 2009 · 3 Comments

Banyak perkara yang ingin disampaikan dalam tajuk di atas. Sekurang-kurangnya ada dua tiga benda. Mood Ramadan masih belum berakhir walaupun syawal sudah bermula beberapa hari yang lepas. Seperti kata Imam al-Ghazali, kenangan adalah perkara yang paling sukar dilupakan. Ia menjadi jambatan yang menghubungkan kehidupan dengan kehidupan. Orang yang telah pergi, masa yang telah berlalu dihubungkan melalui ingatan ataupun kenangan.

Sewaktu menyelesaikan persiapan akhir untuk perkahwinan chemek, arwah abah ditanya oleh kawan baiknya tentang berapa ekor lembu yang akan disembelih buat kenduri. Abah jawab, ‘tiga ekor lembu’.

‘Banyaknya, mung tok sir bekwoh doh ko lepas-lepas ni?’. Tanya kawan itu lagi.

Abah jawab, ‘bakpo tok sirnyo, tapi ni mungkin yang terakhir’. Ini kenduri kahwin kedua dalam keluarga kami.

Chemek kahwin selepas hari raya puasa. Pada 04 syawal, kira-kira hari ini juga 04 syawal. Tak habis penat menguruskan iftar-iftar di masjid, waktu itu jugaklah persiapan kahwin chemek diuruskan oleh Abah. Pada pertengahan Ramadan Abah dimasukkan semula ke Hospital Perdana selama 10 hari. Fizikal abah lemah tetapi suara dan jiwanya tak lemah. Dari atas katil itu dia masih buat kerja. Cukup 10 hari di hospital, abah beritahu doktor, ‘saya nak minta cuti dari duduk di hospital sebab saya masih ada banyak kerja yang nak dibuat, anak puan saya nak kahwin pula lepas raya ni. Selesai kerja-kerja tu, saya datang balik’.

Doktor bagi abah balik dengan ubat-ubat. Setelah berakhir, Ramadan dan Iftar di masjid-masjid maka bermula pula kenduri kahwin.

Bagi orang Kelantan, kenduri kahwin yang biasanya di kampung-kampung ada dua cara. Satu caranya kenduri makan berhidang dan satu cara lagi dipanggil sebagai makan selerak. Sewaktu kakak chemek kawin, kami buat dua-dua cara. Yang makan di atas rumah, makan secara berhidang (untuk orang perempuan) manakala di bahagian jamuan lelaki (di perkarangan rumah), makan secara selerak.

bekwoh.

sumber gambar: Raykinzoku fotopages – Makan Selerak

Tetapi kenduri kahwin chemek cara makannya cara selerak. Cara ini sudah zaman berzaman menjadi budaya di negeri Kelantan ini bahkan ada banyak kelebihannya. Dalam bahasa bandar, makan selerak ini ialah cara jamuan buffet.

Untuk acara makan selerak, pihak tuan rumah perlu bersedia dengan lauk yang banyak kerana tetamu biasanya tidak akan makan sekali ataupun sepinggan. Tetamu sendiri yang akan isi setakat mana nasi dan lauk yang dia inginkan, bukannya tuan rumah.

Makan selerak ini juga akan mempengaruhi banyak atau sedikit juadah yang disediakan diambil oleh tetamu. Jika lauknya-pauknya sentiasa ditambah-tambah dan tidak putus-putus, maka para tetamu akan jadi terpengaruh untuk menambah sepinggan dua lagi.

Cara makan selerak juga tidak mengenal darjat. Baik mereka kerabat raja, orang biasa, baik mereka orang kaya ataupun kurang berada, orang berpangkat ataupun bos, baik mereka kerani biasa ataupun kuli, baik muda ataupun tua, semuanya dijamu dengan satu hidangan berbumbungkan khemah dan duduk di kerusi yang sama. Tidak ada hidangan tertentu untuk satu golongan ataupun tambahan lauk yang lebih untuk segolongan yang lain. Semua menikmati hidangan makanan dan minuman yang sama. Semua menggunakan pinggan dan gelas yang serupa.

Seingat chemek antara lauk pauk yang disediakan untuk makan selerak tersebut ialah ayam percik, gulai darat (gulai daging masak lengkuas), daging masak kicap, singgang tulang, ikan kering, taucu, sambal dan acar-acar. Kemudian ada beberapa jenis kuih muih seperti akok dan ada buah-buahan.

Majlis perkahwinan chemek ialah majlis kesyukuran. Apabila sebut majlis kesyukuran, orang Kelantan faham ia adalah majlis yang tiada ‘mengele’ dan tidak melibatkan duit/apa-apa dari tetamu. Ia juga majlis yang amat sederhana kerana tiada acara khusus dibuat untuk pengantin baik pengantin berarak ataupun disediakan pelamin. Kedua keluarga bersetuju untuk hanya membawa mahar terendah yang ditetapkan oleh majlis agama Islam Kelantan pada tahun itu dan tiada tambahan hantaran lain ataupun hadiah atas par disediakan. Tujuannya supaya urusan perkahwinan menjadi suatu yang mudah baik kepada kedua-dua belah pihak. Pengantin lelaki hanya perlu bawa mahar sahaja dan kami berhimpun di masjid yang terdekat dengan rumah kami. Dato’ Mufti Kelantan menjadi juru nikah, dan 4 saksinya ialah dari adik-beradik kami sendiri. Untuk saksi bagi pihak chemek umi pilih dua orang anak lelakinya iaitu adik chemek yang no.5 dan adik chemek yang no.6.

Sewaktu kenduri berlangsung, abah hanya dapat melayan tetamu sambil duduk. Nasib baik ramai orang-orang muda datang menolong yang kebanyakkan mereka ini bertugas bersama-sama menguruskan iftar dalam bulan Ramadan yang lepas.

Tak sampai 3 jam selepas akad nikah, kuah singgang tulang habis. Tukang masak orang kampung abah dari kg seberang pasir mas mengeleng kepala sebab dia sudah masak keseluruhan tulang-tulang lembu tiga ekor dan kuah singgang yang habis dulu pada waktu tengahari. Chemek teringat, seorang kawan baik chemek dari Kuala Terengganu katanya, aku belum pernah pergi majlis kahwin yang hidang kuah singgang. Aku hirup sampai habis… Chemek pun sebenarnya tak pernah terfikir pasal menu singgang dalam majlis perkahwinan tetapi Abah mahu supaya ada kuah ini kerana katanya ramai orang suka. Sewaktu makan beradab/berhadap pengantin, tak ada gulai singgang disediakan untuk pengantin sebab sudah habis!

Walaupun jarak Kota Bharu dan Pasir Mas sekarang ini sudah dekat sebab ada jambatan baru, keluarga chemek ambil keputusan tak bagi tukang masak balik ke Pasir Mas untuk masak lagi. Sebagai gantinya umi tempah sebagai tambahan seratus ekor lagi ayam percik, sebagai tambah lauk dan juga ayam percik yang sedia ada. Lagipun ada Kak Yah (arwah) yang jual ayam percik tak jauh dari rumah chemek. (lain kali ada kelapangan chemek cerita tentang arwah Kak Yah yang jual nasi belauk di kampung chemek, berkat jualan dan masakannya anaknya menjadi seorang hafiz al-Quran dalam usia yang amat muda)

Antara mereka yang datang membantu kami sekeluarga ialah saudara-mara chemek sendiri iaitu keluarga sebelah abah. Ada yang menolong memasak nasi, ada yang menolong membelah buah tembikai, ada yang menolong membuat sambal pendek kata, majlis kesyukuran tersebut adalah dari usaha dan penat lelah ramai orang.

Selesai Solat Zuhur, tetamu datang makin ramai. Pengantin lelaki (husband chemek) yang pergi solat zuhur di masjid terkandas di bawah dan tak dapat naik. Ramai orang tanya mana pergi pengantin lelaki sebab nak kenal. Chemek pun tercari-cari mana pergi pengantin chemek ni. Kali terakhir jumpa apabila suami chemek naik ke bilik salin kain pelikat sebab dia nak pergi sembahyang di masjid. Tak lama kemudian chemek nampak dia dengan berkain pelikat sedang buat kerja di bawah khewah melayan tetamu dan menambah lauk dan nasi untuk para tetamu bersama-sama adik-beradik yang lain. Melihat gaya suami chemek itu, nampaknya beliau sudah boleh seregu dengan adik-beradik lelaki chemek. Rasa-rasa chemek lepas-lepas ini tidak sukar untuk beliau terlibat sama dalam aktiviti Ramadan dalam keluarga kami. Sama jugak dengan suami kakak chemek yang banyak ajar adik-adik lelaki chemek cara-cara nak serving makanan (sebab itu kerja dia hari-hari).

Majlis kesyukuran yang bermula dari jam 12 tengahari tidak berhenti sehingga ke jam 12 malam. Tetamu di kalangan keluarga yang rapat ramainya datang pada malam hari. Lauk-pauk hampir habis ke semuanya. Tinggal sedikit untuk diberikan kepada mereka yang ringan tulang datang membantu.  Rumah kami penuh dengan stok gula beratus-ratus bungkus, susu pekat bertingkat-tingkat kerana ada tetamu yang bawa gula dan susu sebagai buah tangan. Sebulan lebih umi peruntukkan masa untuk sedekahkan semula stok-stok yang terlalu banyak.

Keesokan harinya, belum habis penat majlis di rumah chemek, majlis menyambut menantu pula dilangsungkan. Tak disangka, rupanya jarak rumah keluarga chemek dan rumah keluarga suami chemek amat dekat. Dari Kota Bharu ke Meranti hanyalah mengambil masa kurang 30 minit. Itulah kunjungan pertama chemek yang menjadi rite of passage dalam kehidupan chemek kemudiannya. Kehidupan yang menghubungan antara nilai moden dan tradisi, kehidupan yang mengajar chemek perkara-perkara baru termasuk beberapa loghat kelate yang tidak pernah chemek dengar,  termasuk juga resepi-resepi masakan baru yang tak pernah chemek rasa sebelum melangsungkan perkahwinan. Yang penting chemek berasa serasi dengan keluarga suami dan sedikit demi sedikit chemek merasai keberkatan hasil pendirian abah dan umi tentang ‘murahnya mahar’ yang ditetapkan.

Semoga Allah menambah pahala, berkat dan mawwadah di antara kami berdua dari hari pertama kami berkahwin sehinggalah ke akhir hayat. Memberikan pahala mencurah-curah kepada orang tua kami sejak dari hari pertama dan tidak berhenti pahala itu untuk mereka semua, dan juga mereka yang sama-sama membantu menjayakan majlis kami. Begitu juga semua yang  hadir sebagai tetamu meraikan kegembiraan kami pada hari tersebut.

Abah meninggal 6 bulan kemudiannya. Ia memang menjadi majlis terakhir yang besar yang pernah abah usahakan selepas Ramadan yang terakhir. Pun demikian, terdapat empat lagi perkahwinan berlangsung selepas itu yang masih mengikut ’sunnah’ yang diajar oleh orang tua kami.

Categories: Uncategorized

Diamlah wahai Nafsu

September 22, 2009 · Leave a Comment

Hari ini hari ke 27 Ramadan, dan malam ini malam ke 28. Baru sekejap tadi balik dari surau menunaikan solat zuhur bersama seorang kakak. Orangnya paling lembut hati dan paling menjaga hati semua orang. Beliau ini adalah seorang yang suka menolong orang sekalipun dirinya mengalami kesusahan dek menghadapi perangai manusia yang berbagai ragam.

Mungkin kerana asam garamnya yang telah lama merantau hidup, setiap yang dilaluinya dihadapi dengan tabah. Tetapi setabah dirinya pun chemek pernah merasa air matanya di bahu chemek. Dia menangis teresak lama di bahu chemek pada suatu petang sebelum kami pergi berbuka puasa beramai-ramai. Hatinya memang amat tersentuh dan dia mudah mengerti perasaan orang lain. Kesedihannya hari itu bermula apabila chemek sebak dan diam dengan agak lama sewaktu menyampaikan tazkirah sempena merebut pahala sepuluh Ramadan yang terakhir. Lebih-lebih lagi dia tahu benar situasi yang chemek hadapi. Bahkan setiap kali bertemu dengannya jika ada perkara yang boleh menyedihkan ataupun mengingatkan beliau tentang sesuatu ataupun seseorang air matanya mudah tumpah.  Dia adalah orang yang amat cepat meminta maaf sedangkan pintaan kemaafan itu bukan sepatutnya beliau tuturkan. Dia juga seorang yang banyak berfikir tentang menjaga perasaan orang daripada orang lain menjaga hatinya. Kadang-kala chemek yang terasa penat kerana beliau terpaksa melayan dan menyelesaikan perkara yang sepatutnya bukan tanggungjawabnya tetapi selalu dilepaskan kepadanya untuk diselesaikan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Alhamdulillah sepanjang Ramadan kali ini dapat bertadarus dengan beliau, mencuri masa kosong yang singkat demi mencuri keberkatan masa. Moga-moga ada barakah dalam setiap pertemuan kami. Setiap hari ada sahaja cerita yang dikongsi baik cerita peribadi, masalah, perasaan hati dan juga hal-hal keluarga. Hari ini cerita lain, semalam pun cerita lain. Cerita-cerita ini dan juga pertemuan saban hari membuatkan kami rapat. Sekiranya ada apa sahaja, kakak ini akan tahu dan chemek juga tidak segan silu untuk beritahu. Seperti biasa dia akan berpesan agar sabar. Lama-lama nanti orang akan faham jua walaupun terpaksa ambil masa yang lama sungguhpun bertahun-tahun. Inilah biasa yang diluahkannya.

Sewaktu chemek muda remaja, chemek memang tidak mudah bersabar. Chemek akan cepat melatah dan suka menjawab apabila berlaku perselisihan baik dengan rakan-rakan ataupun adik-beradik. Sikap ini terbawa-bawa sehinggalah chemek masuk universiti. Sehingga satu ketika, abah kata pada chemek, kita ni kalau nak bergaduhpun ada caranya. Cara bergaduh yang betul bukan bertikam lidah ataupun nak jawab untuk menyatakan kita di pihak yang benar i.e memberikan pelbagai alasan dan sebab kerana manusia biasanya boleh fikir sendiri alasan-alasannya. Sebenarnya orang yang berhenti dahulu dan diam itu yang lebih bagus. Kalau kita rasa tindakan seseorang itu bodoh, dan kita terus menerus nak buktikan tindakan itu bodoh, akhirnya kita yang jadi bodoh kerana terikut-ikut dengan tindakan bodoh itu, bukanlah kita sudi biarkan tindakan bodoh itu berterusan, tetapi ada manusia dia akan pantang jika ditegur ataupun disekat. Makin ditegur ataupun disekat maka dia akan jadi makin melawan dan bermusuh. Akhirnya akan menjadi musuh dan tidak ada lagi rasa keperacayaan.

Ada orang bergaduh ataupun berselisih  sehingga menggunakan tenaga. Ada orang bergaduh menggunakan suara. Ada juga orang bergaduh menggunakan tulisan. Teringat satu ketika dahulu, seorang teman chemek berhadapan dengan masalah dengan seorang rakan yang juga rakan chemek. Teman ini tidak dapat menanggung kesedihan dan rasa susah hati apabila terus-menerus beliau dan rakannya ini bertikam lidah melalui email. Oleh kerana tidak tahan, dia luahkan perasaannya itu pada chemek dengan harapan chemek boleh tolong dia ringankan beban yang sedang ditanggungnya. Tambah lagi kerana masalah kesihatan yang sedang dihadapi oleh beliau. Chemek rasa jika rakannya yang sedang bergaduh dengannya tahu keadaan rakan chemek ini sudah tentu dia akan berhenti dari mengikut nafsu marah. Dipanjangkan kisah, rakan chemek ini telah menelan pil-pil untuk kurangnya depression yang dialami baik tekanan oleh masalah ukhuwwah tersebut, masalah pengajiannya dan juga kesihatannya. Oleh kerana chemek pada mulanya berasa sangsi di atas perbalahan kedua-dua rakan ini, chemek mengambil sikap untuk tidak mempercayainya. Akhirnya rakan ini meng-forward email-email yang beliau telah terima yang telah membuatkan dirinya stress sebegitu teruk. Mengucap panjang lah chemek apabila membaca satu baris demi satu baris kerana orang yang menghantar email ini chemek kenali amat baik. Satu email ke satu email yang dihantar kepada chemek. Sebagai jalan selesai untuknya, chemek cadangkan dia tidak buka lagi email-email yang dihantar. Walaupun hatinya terasa untuk membuka ataupun membacanya, usah lagi dibuka kerana dari email-email yang chemek baca setiap kali dihantar ataupun dibalas email tersebut, teman yang seorang lagi akan menulis dengan bahasa yang lebih teruk yang boleh terus menerus meremukkan perasaan. Yakni, ia ditulis dan dibalas bukan bertujuan untuk meringankan ataupun mengurangkan pergeseran tetapi bertujuan untuk membalas dengan lebih menyakiti hati dan membuatkan penghantarnya berasa puas hati.

Sabar itu indah. Dalam surah Yusuf dinukilkan tentang betapa positifnya sabar apabila kita berhadapan dengan pelbagai keadaan. Sabar sewaktu mengandung akan berikan positif terhadap kandungan. Sabar sewaktu belajar juga akan membuatkan kita menjadi gigih dan bermotivasi. Sabar menghadapi kerenah manusia juga akan membuatkan kita dapat mengetahui cara-cara menangani fiil dan sikap rakan-rakan yang pelbagai. Sabar ketika ditimpa kesusahan dan kesempitan dapat menghidupkan hati untuk sentiasa memberi apabila ada sedikit kelebihan dan kelapangan. Sabar menghadapi kesenangan hidup juga akan menjadikan kita tidak mudah kalah dengan nafsu mahupun kehendak. Pendek kata Sabar itu ‘Jamil’, ketetapan dari Allah dan jaminan dari Allah kesannya pasti akan positif juga, baik cepat mahupun lambat.

Diam juga adalah jalan penyelesai yang paling baik. Abah chemek dan suami chemek biasanya lebih senang dengan cara ini. Diam bukan bermakna redha, menurut sahaja ataupun bersetuju, akan tetapi diam untuk menyelamatkan hati kita dan juga hati orang lain. Ia juga boleh menamatkan serta-merta pergeseran andainya rakan kita bersikap tidak mahu mengalah ataupun lambat mengerti. Maka diam akan menamatkan perbuatan yang akan menjadi sia-sia dan memalukan baik di dunia mahupun di akhirat. Perbuatan yang membuatkan kita sesal tidak sudah apabila akal kita kembali dan apabila rasa iman itu kembali bersebati. Bahkan Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan kita tentang identiti seorang Muslim iaitu, seorang muslim ialah seorang yang menyelamatkan orang lain dari (bencana hasil perbuatan) tangannya dan lidahnya. Baginda juga pernah mengungkapkan, sesiapa yang hatinya ada keimanan dengan hari akhirat, maka ucapkan (katakan/tulis) perkara yang baik ataupun diam.

 

 

Categories: Uncategorized