Wanita Kelantan Setelah Tahun 1990

Entries categorized as ‘wanita Kelantan’

Gerakan Pembebasan Wanita dan Wanita Kelantan [II]

October 22, 2009 · 1 Comment

Baiklah, kini chemek ingin sambung kembali apa yang dibawa sebelum ini mengenai gerakan pembebasan kaum wanita. Penting untuk gambaran awal, apabila kita membaca buku-buku yang berkisar dengan gerakan politik feminism, gambaran terhadap kebebasan dan layanan yang diterima oleh golongan wanita amatlah buruk.

Di Barat, ‘Women’s rights‘ diketepikan oleh tangan-tangan manusia yang telah menggunakan kuasa dan juga atas nama agama. Contohnya, dalam menghukum kaum wanita atas salahlaku seks, wanita akan dihukum dengan hukuman yang berat baik fizikal dan mental. Si lelaki jika dia seorang yang berkedudukan, hanya didenda dengan membayar sejumlah wang untuk menebus kesalahannya. Agama telah diputar-belitkan dan disalahkan dalam mengendalikan keadilan dan hukuman. Di sini berlaku porak-peranda dalam institusi gereja yang mengakibatkan muncul idea sekularisme, pengasingan antara urusan gereja (agama) daripada urusan dunia. Inilah antara punca yang menelurkan benih-benih feminisme, liberalisasi dan lain-lain isme barat suatu ketika dahulu.

Idea bahawa agama menyempit dan menghalang keadilan, kemajuan, modernisasi, kebebasan terutamanya terhadap kaum wanita di benua eropah semakin bercambah. Masalahnya, idea ini yang asalnya dalam kelompok masyarakat barat ini mula dibanding-bandingkan dengan masyarakat timur.

Pada masa yang sama, di timur tengah, berlaku seperti yang dialami oleh wanita barat. Cuma yang berbezanya, budaya (culture) itu yang lebih menguasai bukannya agama. Malangnya, ramai yang terkeliru dengan memahami bahawa culture itu agama.

Sebab itu dalam akhir kurun 19, Muhammad Abduh, tokoh Islami dan modernisasi dari Mesir mengesyorkan pembersihan institusi agama dari anasir-anasir bendasing yang telah dianggap sebagai agama. Isu-isu yang melibatkan kaum wanita diketengahkan seperti menggesa kerajaan supaya menggubal undang-undang kekeluargaan dan kehakiman dan kembalikan hak wanita seperti yang ditetapkan dalam nas al-Quran dan nas al-Hadith.

Amalan yang biasa, contohnya kahwin secara paksa ke atas wanita, mas kahwin yang ‘dimakan’ oleh ibubapa, dikahwinkan di usia yang terlalu muda, dan banyak lagi isu wanita telah diketengahkan oleh beliau. Perkara yang tiada ataupun direka-reka (bidaah) sebagai amalan agama perlu dibuang dalam kamus hidup Islam dan Muslim.

Bagaimanakah seorang anak gadis dipaksa berkahwin oleh ibubapanya tanpa persetujuan dan kerelaannya (forced marriage)? Bagaimana mas kahwin yang sepatutnya menjadi penghormatan ke atas kaum wanita, diambil oleh orang tuanya? Bagaimana ibubapa boleh menempah tiket kebahagiaan dengan mengkahwinkan anak perempuannya yang di bawah umur dengan dengan lelaki kaya, yang telah lanjut usia dan umurnya cucunya yang sebaya dengan wanita itu?

Satu anasir pemikiran salah timbul dikaitkan pula dengan hijab yang menjadi syariat. Segolongan feminis mendakwa ayat-ayat al-Quran dan sabda Rasulullah mengenai syariat menutup aurat telah diterjemahkan  mengikut selera dan kepentingan kaum lelaki. Akhirnya mereka menyangka syariat dan huraian kepada syariat yang dihasilkan oleh para ulama Islam yang muktabar adalah semata-mata huraian manusia bukan suatu syariat yang ditetapkan oleh Allah. Apabila perbincangan tentang hijab diutarakan mereka menolaknya dengan hujah penyelewengan menafsir al-Quran. Ataupun menggunakan hujah, tiada paksaan dalam beragama. Kadang-kala hujah golongan ini terpengaruh dengan hujah barat bahawa agama mengongkong kaum wanita. Ini antara bentuk-bentuk penjajahan yang telah mengongkong minda segolongan yang tidak mendalami nas-nas al-Quran dengan baik.

Seterusnya, ini merupakan sambungan perbincangan chemek suatu masa dulu (Gerakan Pembebasan Wanita dan Wanita Kelantan). Sebelum chemek nak membawa kepada isu wanita Kelantan. Chemek ingin tunjuk satu gambar yang chemek cukup suka. Gambar ini dari sumber Raykinzoku (boleh klik list sebelah utk tatap banyak lagi gambar2 menarik yang dipaparkan oleh beliau)

jual blea duduk. 1920

Sumber Gambar – dari website – Raykinzoku – jual bele duduk tahun 1920 (satu budaya sampai hari ini di kalangan wanita Kelantan, baca catitan Raykinzoku)

Tahukah pembaca semua bahawa women liberation movement baru bermula menampakkan gelombang mereka di barat. Hanya pada tahun 1923, kaum wanita barat diberikan hak sebagai rakyat seperti mereka boleh mengundi ataupun mereka mendapat taraf penduduk yang sempurna. Sesetengah negara barat tidak membuka pintu kepada kaum wanita untuk memasuki sektor pekerjaan, pendidikan dan pentadbiran. Pada tahun 1950an masih ada lagi universiti di Amerika Syarikat yang menolak kemasukan pelajar-pelajar perempuan sebagai pelajar universiti. Mary Daly, seorang feminis yang radikal pernah ditolak permohonan beliau untuk memulakan pengajiannya. Layanan yang beliau dan mereka yang senasib membuatkan mereka membentuk pergerakan feminisme yang radikal di Amerika Syarikat. Satu contoh ketara, ialah beliau menolak pelajar lelaki yang mendaftar untuk mengikuti kursus yang beliau seliakan dan beliau hanya menerima pelajar perempuan sahaja. Ini satu contoh jenis gerakan feminisme yang muncul di barat. Segolongan lain, memperjuangkan kesamarataan dalam pendapatan, hak-hak sebagai warganegara, persamaan dalam mendapat peluang pekerjaan dsb.

Apa yang membuatkan chemek gembira apabila mendapat gambar ini, ialah kerana dua sebab. Pertama latar belakang masyarakat Kelantan yang memang dikenali sebagai masyarakat serambi mekah, iaitu masyarakat yang beragama. Dalam sebuah masyarakat yang cukup kuat pegangan agama ini, kaum wanitanya bebas untuk menjalani kehidupan harian malah mereka mempunyai kuasa dalam ekonomi negeri. Gambar beserta catitan ethnografi Graham menjadi satu bukti yang kukuh di sini.

Keduanya, ia menggambarkan konsep piety dalam masyarakat Islam tidak serupa dengan konsep piety masyarakat barat yang telah sekular. Pemakaian tudung dan nilainya dilihat dari sudut maruah dan kehormatan kaum wanita. Bagi orang barat, semakin labuh pakaian seseorang semakin menyekat seorang wanita untuk bergerak dengan bebas. Semakin tertutup tubuh wanita, bagi orang barat yang sekular, seseorang itu menolak keduniaan dan modernisasi. Lihat gambar di atas sekali lagi (diambil tahun 1920) yang menjual ada tudung ataupun kelubung di kepala, begitu juga yang membeli. Sejak dahulu lagi, budaya bertudung ini bukan perkara yang asing di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Nilai barat tidak serupa sama sekali dengan neraca pandangan Islam. Seperti jauhnya barat dan timur, nilainya tidak akan sama. Semakin ke barat ataupun ke timur, cara dan jaraknya sudah bertentangan. Tetapi pertentangan ini boleh bersatu jika kedua-dua masyarakat barat dan timur menerima neraca Islam. Bagi Islam, semakin terpelihara aurat wanita, semakin tinggi darjatnya di sisi Allah. Semakin sopan pakaiannya, semakin intelek dan waras pemikiran seorang wanita. Malah penilaian kecantikan seorang wanita adalah dinilai pada kesolehan bukan kepada jasad ataupun rupa paras.

Pemakaian pakaian yang mendedahkan aurat badan, disingkatkan mula berlaku di barat sebagai respon ataupun protes kepada kongkongan yang mereka sedang hadapi ketika itu. Semakin dibuang pakaian yang labuh, ataupun semakin singkat pakaian dipakai, semakin tinggi protes yang mereka ingin kemukakan kepada masyarakat mereka.

Tindakan protes ini pernah berlaku dalam masyarakat Islam di timur tengah pada awal 1900 dahulu. Budaya menutup badan keseluruhan dibuka sebagai protes kepada budaya amalan masyarakat timur tengah ketika itu yang menghalang wanita dalam banyak bidang termasuk tidak dibenarkan melanjutkan pengajian ke peringkat yang tinggi, dipaksa kahwin, dikahwin sebagai isteri ke3 ataupun ke4 dan sebagainya lagi. Dimuatkan oleh Laila Ahmed dalam buku beliau detik-detik sejarah sekumpulan wanita Mesir yang baru pulang ke negara Mesir telah membuka tudung yang menutup wajah dan kepala mereka sewaktu kapal mereka mula memasuki perairan Mesir. Malangnya, protes tersebut dibaca dan ditulis oleh penulis-penulis barat sebagai protes terhadap kongkongan agama.

graham book - excerpt

graham book.jpg 1

Catitan W.A Graham, seorang ethnographer British pada awal tahun 1900 mengenai Kelantan mengambarkan apa yang berlaku dalam masyarakat Islam Kelantan pada abad tersebut amat berbeza dengan lokasi lain seperti contoh di atas. Malah kaum wanita Kelantan baik yang bertudung, bekelubung, dan sebagainya lagi yang menutup kepala dan badan mereka semua menikmati kebebasan mereka. Mereka boleh beraktiviti dan melakukan semua yang mereka ingini tanpa kongkongan daripada kaum lelaki.

Di kala wanita di barat dan timur tengah sedang menangis, meminta-minta dan melaungkan kebebasan untuk kaum wanita. Jauh di timur, di sebuah negeri bernama Kelantan, kaum wanitanya sedang menikmati kebebasan yang mereka tuntut.

Apabila difikir kembali tentang amalan mahar wanita Kelantan, bertudung, aktiviti ilmu dan agama yang pelbagai, kegiatan ekonomi dsb, rupanya wanita Kelantan sejak dahulu lagi cukup bertuah. Pernah chemek baca satu kajian barat yang lain tentang wanita Kelantan satu masa dahulu, antara ulasan penulis tersebut menggambarkan autority dan kehebatan wanita kelantan ialah peranan utama mereka sebagai ‘bankers untuk keluarga hatta kadang-kadang suami terpaksa minta kembali duit ataupun pendapatan yang mereka sama-sama usahakan/dibawa pulang oleh suami kerana perbelanjaan keluarga sentiasa berada dalam tangan-tangan isteri.

Rujukan tambahan : William Armstrong Graham’s ” Kelantan : A State of The Malay Peninsular ” First Published in 1908 by James MacLehose & Sons, Glasgow, Scotland, UK. (maklumat mengenai buku ini diperolehi dari blog Raykinzoku)

____________________________________________________________________________

TERIMA KASIH KEPADA: PEMBACA YANG TELAH MEMBETULKAN RUJUKAN DAN JUGA FAKTA YANG SILAP. CHEMEK MENGUCAPKAN BERBANYAK TERIMA KASIH.


Categories: wanita Kelantan

Ulangan: Ucapan TGNA Mengenai Wanita

October 21, 2009 · Leave a Comment

Petikan daripada ucapan YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, yang menyentuh tentang wanita bekerja, ketika beliau merasmikan majlis Wacana Islam dan Kemakmuran Ekonomi, pada 16 Mac lalu (tahun) di Dewan Teratai, Kota Darulnaim, Kota Bharu.

Ucapan ini merupakan satu hasrat Kerajaan PAS Kelantan agar kajian dibuat bagi meringankan beban tugas dan tanggungjawab bagi wanita bekerja. Tetapi akhbar harian dan juga ulasan-ulasan melalui alat sebaran am yang memusuhi Kerajaan PAS Kelantan telah memutarbelikan ucapan ini dengan mengatakan ‘PAS kaji larang wanita bekerja’, ‘Nik Aziz Larang Wanita Cantik Bekerja’ dan banyak lagi kenyataan beliau disalahtafsir dan diputarbelit oleh pihak media yang tidak bertanggungjawab.

Semoga petikan ucapan yang disiarkan ini dapat memperbetulkan segala kekeliruan yang dilakukan oleh alat-alat sebaran am itu. Penting untuk chemek, tekankan berdasarkan pengamatan dan juga bacaan, banyak perubahan yang berlaku di Kelantan sehingga kini membuktikan kerajaan Negeri di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bertanggungjawab memperkotakan apa yang dikata, memberikan prioriti kepada kaum hawa contohnya ribuan wanita telah menerima Skim Armalah dan Anak Yatim, Skim Kifaalah, Bantuan bencana, Cuti bersalin 2 Bulan (60 Hari), Cuti Mingguan 2 Hari, Program pembangunan dan pendidikan berterusan melalui Unit Halaqat, Enakmen Kekeluargaan Islam dan banyak lagi untuk disebut.

Ucapan Tuan Guru ini, dikeluarkan sebelum perkara-perkara yang disebut di atas dilaksanakan. . . chemek

Ucapan Penuh Tuan Guru MB

 

tok-guru-nik-aziz-1

Gambar – Sheih

DI DUNIA ini ada lelaki dan ada perempuan. Dan saya sebagai ketua kerajaan negeri ini, di bawah saya ada pegawai lelaki, ada pegawai perempuan. Sepatutnya perempuan tidak bekerja – sepatutnya – kerana segala makan minum isteri, kain pakai isteri, rumah tangga isteri adalah tanggungjawab wajib di atas suami.

Almat’am walmalbas walmaskan dalam pengajian fekah disebut tiga perkara asas ini tanggungjawab suami. Maka sepatutnya si isteri tidak lagi bekerja tetapi mereka terpaksa bekerja dan kadang-kadang terpaksa – suami tak ada, suami mati, suami tak balik-balik, duduk rumah bini muda.

Macam-macam kerenah yang timbul atas manusia maka mahu tak mahu pegawai perempuan terpaksa diterima dan diberi gaji. Sedangkan, kalau kita buat kajian sikit sahaja, tanggungjawab laki-laki tidak banyak: cari duit,terima gaji, bawa balik beri kepada isteri; masalah rumah berselerak atau tak berselerak, itu kerja kamu hei isteri, anak cucu berhinguskah, tak berhinguskah, kacau mangkuk pinggan di dapurkah, itu kerja kamu, wahai isteri. Rumah tangga tanggungjawab isteri, jaga anak-anak tanggungjawab isteri,kerja di pejabat juga tanggungjawab isteri kalau dia pegawai bekerja. Sudahlah hamba Allah ini letih: dengan mengandungnya, dengan darah bulanannya, dengan urat sarafnya yang tidak begitu sekali kental sebagaimana laki-laki, kita beban pada dia pula bermacam-macam masalah. Kita (lelaki) pegang satu sahaja, cari duit sahaja, rumahtangga kamu urus, anak cucu kamu urus, aku yang cari duit. Tetapi perempuan sendiri cari duit pun dia – pasal dia bekerja , anak-anak di rumah pun tanggungjawab dia, rumah tangga sendiri – muka tangganya, belakang rumahnya, dapurnya, bilik airnya – tetap semua tanggungjawab perempuan.

Adakah kita sebagai orang Islam dan saya sebagai ketua kepada kerajaan yang hendak jalankan Islam, kita hendak biar begini terus menerus? Satu penganiayaan kepada golongan wanita kalau dibiarkan benda begini. Dan apabila kita baca buku-buku kajian kita dapati orang perempuan dari Barat sendiri – dari Jerman, dari Amerika – mula meraung sekarang ini, minta nak balik semula ke rumah, teruk sangat menjadi pegawai sama ada pegawai kerajaan atau pegawai korporat. Nak tumpu kepada pejabat, rumah tertinggal. Bila rumah tertinggal, anak tak balik ke rumah, suami pula pergi ke disko. Nak tumpu ke rumah kena potong gaji, kena itu, kena ini. Timbul satu masalah di dalam kepala pekerja-pekerja wanita kerana mereka pandai-pandai – sesetengah itu tidaklah pandai-pandai kerana terpaksa bekerja – kerana masalah-masalah tadi, dan sesetengah itu anak orang kaya dah nak kerja juga kerana apa? Kerana nak bangun pagi, pakai cantik-cantik, pergi ke bilik air-cond. siapa tak nak, boleh mengurat lagi. Macam-macam masalah.

Jadi, kepada pengkaji khasnya saya tuju, cuba tolong kaji masalah ini. Apa yang saya rangka dalam kerangka fikiran saya setelah saya banyak baca buku ini sejak semasa di Al-Azhar dulu. Di al-Azhar dulu, kebetulan ketika (saya di sana), didatangi oleh seorang perempuan dari Jerman memberi tahniah khusus kepada Sheikul Azhar – berlaku dalam akhir tahun 50an awal tahun 60an – begitulah, ucap tahniah kepada orang Islam, melalui Sheikul Azhar, bahawa cara Islam beri peluang kepada suami kahwin cara poligami, itu cara yang paling baik, kerana ‘kami di Jerman setelah kami berperang, melalui Hitler melawan Pasukan Bersekutu, maka tiap-tiap satu laki-laki kami ada lapan perempuan, kerana laki-laki dah mati di medan perang’, ada mati di medan perang, ada mati accident dan sebagainya. Perempuan tidak mati di medan perang kerana mereka duduk di dalam kubu begitu sahaja. Jadi, macam mana hendak selesai masalah lapan perempuan sedangkan laki-laki hanya seorang. Manusia bukan nak makan nasi sahaja, seks pun nak makan juga, berseronok, nak bermanja, nak bercumbu, nak apa, ini memang kerja manusia. Islam pun, dalam kitab fekah saya selalu sebut, dalam Fatul Qarib yang kecil sahaja, bagi suami isteri. . . . belum lagi melakukan persetubuhan kena ada institaam, kena ada cumbu, kena ada itu, kena ada gurau senda, barulah ada asam garam itu cukup lengkap molek. Jadi, hak (yang) ada suami tak apalah. Hak (yang) tak ada suami hendak macam mana? (Daripada) ini timbullah masalah lepak, masalah zina, masalah apa (sahaja). Jadi, satu daripada cara penyelesaian Islam sejak awal azali lagi, diberi peluang kepada lelaki kahwin hingga empat, seorang laki-laki boleh kahwin empat. Insya’Allah, segala kekurangan laki-laki di tempat perempuan lebih, dapat disempurnakan melalui kahwin poligami.

Itu cerita mulanya poligami, tetapi jika disalahguna atau apa lagi, itu masalah yang kedua.

Jadi, sekarang ini, masalahnya pegawai wanita datang ke pejabat, tetapi di kepala dia bukan duduk di pejabat; duduk di rumah: ‘anak aku lagu (macam) mana, balik karang menanakkah tidak, suami aku balik karang marahkah tidak? Ini di kepala dia, di pejabat pun di kepala dia, di rumah pun di kepala dia, di dapur pun di kepala dia, di bilik tidur pun di kepala dia. Masuk-masuk tidur, tengok suami dia kata: mengapa bilik bersepah? Kena marah, menangis. Itu sahajalah cara, senjata perempuan itu: air mata. Inilah bendanya di dalam kepala saya sejak dari dulu lagi. Ditakdir Allah sampai saya pegang kerajaan ini, kerana kepala saya berkisar perkara ini, menyebabkan di fikiran saya tercetusnya fikiran nak beri cuti bersalin sampai 60 hari. Nak beri lagi boleh sampai enam bulan, tapi dah berputik dalam perut cuti pula, tak selesai masalah.

Jadi, tuan-tuan sebagai pengkaji tolong, buat kajian, beri kepada saya, mudah-mudahan, insya’Allah, negeri Kelantan, negeri yang pertama kemuka satu teori baru bagaimana cara pekerja perempuan ini duit pun dapat, kerja pun boleh dan masalah rumah tangga, layanan kepada suami tidak terjejas. Macam mana nak buat? Rumah tangga pun terjaga, suami pun dapat dihiburkan dan anak-anak pun terjaga, wang pun dapat. Lebih kurang bendanya begini, sama ada kita kurangkan masa bekerja bagi pekerja wanita, yang isterinya, gaji dia pun jadi kecil, kita kurangkan masa dia (bekerja). Kalau orang lain start kerja pukul lapan balik pukul empat, kita mula beri kepada dia start pukul sembilan atau pukul sepuluh, dia balik pukul tiga, misalnya. Maka masalah rumahtangga dapat selesai dengan baik, masalah anak-anak juga dapat selesai dengan baik. Tetapi gaji kena kurang. Duit pun boleh, anak pun terjaga dan insya’Allah, kesihatan pun tidak jadi teruk. Masalah kesihatan, saya tak belum sebut (belum sentuh). Masalah kesihatan wanita itu tak sebut (belum sentuh). Kajian memang ada sebut iaitu masalah kesakitan urat saraf dia, mental dia banyak terganggu, pada perempuan yang bekerja. Ataupun kita bayar elaun bulanan pada semua wanita yang mempunyai anak. ‘ Mak cik tak usah kerja, setiap kali mak cik lahirkan anak, kerajaan akan beri duit, macam welfare state, macam London buat. Kita bagi duit. Ertinya, masalah duit, dia dapat.

Duit ini kena beri dalam akaun perempuan, jangan beri kepada suami dia. Beri suami dia habis lesap. Beri kepada perempuan terus. Sama ada hendak beri elaun anak dia sekian banyak, yang beranak satu sekian, yang anak kedua sekian, semakin banyak anak makin banyak kita bagi elaun, tambah.

Harta kita banyak. Rakyat Malaysia ini sikit. Bahan mentahnya banyak. KDNKnya terlalu banyak. Padan kalau kita buat begini kalau kita tidak buat membazir dan memboroskan duit ini kepada perkara-perkara membazir, projek itu, projek ini.

Akhir tahun (baru-baru) ini, saya nak beritahu punya karutnya cara perbelanjaan kita (apabila) akhirnya saya terpaksa keluar duit poket , beberapa ribu (ringgit), untuk tolong bayar duit buku sekolah rakyat. Dari Gua Musang, dia mari, minta duit sekolah kerana apa? Kerana tak bayar, tak boleh sekolah(kan) anak. Banyak mana duit nak? Enam puluh rial, seratus rial. Duit begitu banyak, beratus ribu, berbilion ke mana pergi? Sedangkan sekolah rakyat, duit sekolah 60 rial pun tak boleh duit kepada rakyat. Bukan kerana tak ada duit. Malaysia negeri kaya, dengan petrol, balak lagi, dengan logam bermacam-macam logam, dengan bermacam-macam perkara, tapi kerana karut (di) pihak pemimpin, membazir (di) pihak pemimpin. Yang kita semak – bertanggungjawab memperbetulkan(nya) kerana kita ini orang politik – lima tahun sekali mengundi. Dan mana-mana makhluk yang membazir ini kita buang, naik(kan) makhluk yang reti, dan tidak ada orang yang reti di kalangan pemimpin negeri, selain daripada fuqaha, daripada orang yang mengaji feqah. Kalau orang yang mengaji feqah, dia mengaji semua masalah ini: masalah dia dengan Tuhan dan masalah dia dengan manusia. Itu cara mudah. Orang fakih, orang fuqahalah orang paling pandai membetulkan manusia di muka dunia.

Ataupun kita menentukan kerja-kerja tertentu sahaja kepada wanita: ‘ macam lapangan perguruan, ah! mak cik boleh,’ saudari boleh bekerja jadi guru, jadi pegawai dalam lapangan perguruan; lapangan kedoktoran, lapangan elektronik, hak (yang) baiki radio, baiki tv kita bagi kepada orang perempuan kerana kerja ini kerja tidak berpeluh; urat saraf dia tidak banyak berfungsi.

Jadi, ini kerangka-kerangka yang saya buat yang kalau berjaya pada masa depan ini, insya’Allah, Kelantan orang yang pertama akan memberi kehormatan kepada wanita.

An-nisa syakaul al rijal, orang perempuan ini ibarat buah pinang belah dua. Sebelah ini lelaki, sebelah ini perempuan. Kalau lelaki sakit orang perempuan juga sakit.

As-syakaul al rijal, yang memerlukan orang lelaki ini memikir bagaimana hendak menyelamatkan orang perempuan daripada tekanan kerja yang dibawa dariapda Eropah dan sebagainya.

Para hadirin semua, itulah ucapan saya, itulah kerangka dalam fikiran saya kepada golongan pengkaji. Insya’ Allah kalau boleh dibuat kajian mengenai ini bagaimana caranya hendak memartabatkan wanita kita supaya dia tidak kerja sebagaimana orang lelaki.

 Orang lelaki bekerja, dia (wanita) juga bekerja dan tanggungjawab dia lebih daripada orang laki-laki. Jangan benda ini berlaku begitu. . . . Siti Aishah berpantun: perempuan ini kuntum-kuntum bunga, kuntum-kuntum mekar, yang sengaja Tuhan buat untuk laki-laki. Dan semua orang hendak kepada bunga dan hendak kepada perempuan.

Bacaan lanjut:

kulitbuku

Categories: wanita Kelantan

Gerakan Pembebasan Wanita dan Wanita Kelantan

April 2, 2009 · Leave a Comment

muslimat - mendengar kuliah Tn Guru MB

Chemek ada membaca dua tulisan. Satu tulisan berjudul Women and Gender in Islam ditulis oleh Leila Ahmed dan kedua satu artikel dalam sebuah journal akademik mengenai wanita di benua afrika tulisan Deniz Kandiyoti, bertajuk Bargaining with Patriarchy. Dalam tulisan Laila Ahmed ini, beliau nyatakan Islam terpengaruh dengan budaya setempat sehingga Islam seolah-olah meredhai kebudayaan masyarakat yang meletakkan kedudukan wanita di tahap yang rendah. Dalam tulisan tersebut beliau mendakwa Islam dan juga budaya bertanggungjawab dalam meletakkan tahap wanita sebagai subordinate ataupun second-class, third-class etc. Manakala dalam tulisan Kandiyoti pula, agak menarik apabila beliau tunjukkan bukti-bukti beberapa masyarakat sub-saharan yang dianggap primitif tetapi kaum wanitanya boleh ‘negotiate’ dengan pelbagai strategi dengan kaum lelaki. Salah satu kaum tersebut masyarakat Hausa, dan kaum wanitanya beragama Islam, bertudung serta pantas bekerja.

Laila Ahmed, seperti mendakwa, dalam bab ketiga bukunya mengenai gerakan pembebasan kaum wanita yang dipelopori oleh kaum wanita Islam Mesir, sebagai satu ‘political movement’ yang terawal mewakili seluruh wanita Islam seluruh dunia. Gerakan ini dikatakn bermula pada akhir kurun ke 19 dan awal kurun ke-20 yang juga hasil tempias gerakan feminisn dari benua eropah.

Apa kaitannya dengan wanita Kelantan? Sewaktu berbicara mengenainya dalam satu perbincangan baru-baru ini, chemek membawa beberapa pandangan lain. Pandangan yang chemek kesan dari nota kecil Kandiyoti yang menjelaskan gambaran wanita dalam tulisannya bukan mewakili semua bahkan beliau tidak membicarakan tentang wanita yang tinggal di southeast asia. Apa lagi, sudah tentu chemek yang berfikrah timur dan Islam ini ingin tampilkan yang sebenarnya – dan taraf wanita Kelantan baik di akhir abad 19, 20 dan seterusnya – adalah cukup unik, cukup unik yang membuatkan bertubi-tubi soalan dikeluarkan. Pandangan ini berdasarkan catitan ethnografi W. Graham, seorang diplomat British yang menulis tentang negeri Serambi Mekah ini. Salah satu catitannya mengenai keunikan ‘Mohamadan Women in Kelantan’ - Mohamadan ialah term yang biasa ditemui dalam tulisan barat merujuk kepada ‘Muslim’. (Mereka ini bayangkan kita sembah Nabi Muhammad dan jadi penganut Muhammad, sedangkan kita sembah Allah dan identiti kita ialah Muslim, orang yang berserah diri kepada Allah)

Sebelum chemek teruskan dengan wanita Kelantan dalam tulisan Graham ini, chemek ingin berikan beberapa gambaran kaum wanita dan serba sedikit sejarah gerakan pembebasan wanita yang bermula di barat.

Pada akhir kurun ke 18 dan awal kurun ke 19, muncul gerakan feminist ataupun kumpulan yang memperjuangkan hak dan kebebasan kaum wanita di negara Eropah dan juga di timur tengah. Ada beberapa punca yang menyebabkan kumpulan ini muncul. Pertamanya disebabkan kaum wanita memang mendapat tempat yang rendah di dalam masyarakat tersebut. Terdapat beberapa mitos ataupun myths yang menjadi faktor wanita tidak diletakkan pada kedudukan yang sepatutnya.

Contohnya, wanita disalahkan sebagai punca yang menyebabkan kejatuhan dan kelemahan kaum lelaki. Oleh itu dalam kepercayaan orang barat yang kurang beragama, ‘Eve’ menjadi penyebab tersingkirnya Nabi Adam dari syurga. Lama kelamaan, kepercayaan ini menjadi suatu bentuk pemikiran yang meletakkan kaum wanita sebagai second class dan tidak layak untuk mendapat kedudukan baik dalam institusi keluarga, dalam sebuah masyarakat ataupun dalam sebuah negara.

Sekiranya anda pernah membaca buku Jane Austen ataupun menonton film Pride and Prejudice, kisah yang berlaku dalam keluarga Elizerberth Bonnet merupakan satu contoh yang terpencil bagaimana dalam sebuah keluarga, kaum wanita tidak ada jaminan dalam menerima pusaka. Dalam novel tersebut, Mr. Collins yang bakal menerima pusaka keluarga Mr. Bonnet walaupun Mr. Bonnet mempunyai isteri dan 5 anak perempuan. Tetapi mereka semua tidak layak menerima pusaka sekiranya Mr. Bonnet meninggal dan pusaka tersebut akan beralih kepada sepupunya, Mr. Collins. Begitu juga dalam novel Jane Austen seperti Sense and Sensibility. Betapa kaya sekalipun seorang lelaki, harta-hartanya tidak akan diwarisi oleh anak-anak perempuannya ataupun isterinya.

Tahukah anda, walaupun Eropah sudah dikatakan melalui proses modernisasi pada kurun ke 18 dan ke 19, dengan terbinanya jalan keretapi, pembuatan kereta, dan lain-lain lagi contoh-contoh modernisasi dan industri ketika itu, kedudukan kaum wanita tidak berubah. Mereka kekal dalam kedudukan sebagai second class citizen. Sumbangan mereka tidak diiktiraf hatta, kerja-kerja dan tenaga yang mereka perah dalam kerja-kerja domestik memang banyak, memenatkan dan tidak dibayar. Kerja-kerja mereka dianggap memberikan keuntungan kepada kaum lelaki bahkan diambil sebagai kesempatan. Tambahan lagi ditekan dengan institusi agama yang menyucuk pemikiran yang salah tentang warisan, ketidaksucian wanita dan banyak lagi.

Bayangkan hanya sehingga tahun 1923, baru kaum wanita mendapat kebebasan dan bersuara. Dalam abad ini muncul gerakan feminis liberal yang memperjuangkan kebebasan wanita dalam menentukan politik negara. Jika sebelum ini, mereka tidak mengundi ataupun berhak untuk mengeluarkan pendapat dalam institusi negara, masyarakat dan politik. Universiti-universiti barat tidak membenarkan kaum wanita belajar. Ramai pelajar pintar di kalangan wanita yang tidak diterima untuk menjadi pelajar universiti. Banyak contoh boleh diberikan di sini.

Tempias gerakan feminist ini terkena di negara timur tengah. Dalam buku tulisan Laila Ahmed, Women and Gender in Islam, beliau memuatkan dalam bahagian ketiga buku tersebut kemunculan gerakan feminist di Mesir. Terdapat beberapa peringkat gerakan kaum wanita Mesir antaranya dipelopori oleh Huda Shaarawi. Pergerakan ini boleh dikelaskan kepada 2 kumpulan. Satu kumpulan yang menyalahi agama dengan menyatakan bahawa agama menjadi punca wanita ditindas oleh kaum lelaki dan untuk mendapat kebebasan seperti wanita barat, kaum wanita Mesir perlu bebaskan diri mereka dan mengambil modernisasi dan pemikiran barat. Kumpulan kedua pula menafikan argumen ini dan mereka berpandangan bukan agama yang menyebabkan wanita tertindas tetapi manusia ataupun kaum lelaki yang telah menyalahgunakan agama atas nama kuasa mereka.

Perlu dinyatakan juga, gambaran wanita dalam masyarakat Mesir seperti yang dipaparkan oleh banyak tulisan. Selain dari wanita yang terhalang dari mendapatkan pendidikan, ada yang cemerlang tetapi tidak diterima untuk ke pusat pengajian dengan alasan, ‘belajar tinggi pun ke dapur jua tempatnya’ , mereka juga menjadi bahan ataupun harta yang dijual oleh ibubapa mereka apabila berkahwin. Apabila mereka berkahwin secara paksa, keluarga mereka menikmati hasil dari mas kahwin yang sepatutnya sampai ke tangan kaum wanita. Kerana itu jika membaca karangan-karangan novel ataupun tulisan antropologi berkisar wanita Arab, kita akan dapati gambaran yang diberikan amat buruk terhadap kaum wanita ini. Sebab itu, banyak kali kita lihat hujah-hujah golongan feminis menyerang kuat institusi agama, dan terbawa-bawa dengan hujah bahawa kebudayaan dan keagamaan adalah punca malapetaka kepada kaum wanita. Tambah-tambah lagi, begitu banyak teori mengenai agama yang dikaitkan dan disinonimkan dengan ‘culture’.

(bersambung)

Categories: wanita Kelantan