Kuih Kelantan: Akok dan Kuih Bakar


Ini adalah antara posting yang banyak mendapat kunjungan terutama bagi yang ingin mendapatkan resepi yang disertakan di bawah. Jika pembaca mendapat manfaat dari resepi yang disediakan ini chemek berasa amat gembira. Silalah memanjangkan resepi ini kepada rakan dan taulan yang lain. Jika yang dipaparkan di bawah kurang berhasil, chemek berharap para pembaca boleh adjust kekurangan (ataupun terlebih di mana-mana ukuran pada bahan-bahan yang digunakan) serta tidak serik untuk mencuba lagi sehingga menjadi. Usaha (yang banyak) itu, tangga kejayaan.

Tak ada rotan, akar pun berguna.

Tak dapat akok, dapat merasa kuih bakar pun tak mengapa.

Antara kuih kegemaran chemek ialah akok Salor. Kuih yang tersohor di Kelantan. Andainya chemek jadi ketua negeri (khayalan) ataupun paling tidakpun exco (bermimpi) yang bertanggungjawab dalam perlancongan negeri, chemek akan popularkan kuih akok ini dalam setiap penerbangan yang menuju ke Kelantan. Akan ada nanti papan tanda kuih tradisi Kelantan ini sebagai satu produk perlancongan dan sumber pendapatan rakyat.

‘Kelantan Akok Trail’  hilir bunyinya?… Di airport, akan ada pamplet untuk menjelaskan kepada pelancong di mana mereka boleh dapat kuih akok ini. Begitu juga  iklan-iklan yang tertampal di bas-bas baik bas tempatan ataupun bas ekspres  syarikat bas Kelantan. Cuma satu sahaja concern chemek iaitu kesihatan kerana kandungan gula dalam kuih-muih Kelantan ini tinggi. Bagaimana nak buat kuih, yang manis seperti akok, buah tanjung, tepung pelita, tetapi berkhasiat dan baik untuk kesihatan.

Sewaktu chemek bersekolah maahad dulu hampir setiap hari chemek akan bawa pulang kuih akok yang dibeli di Jalan Telipot. Suatu masa dulu, ada satu warung bergerak  akok di situ. Betul-betul di hadapan (istana) rumah hinggap Sultan yang berhampiran dengan Masjid Telipot. Jika bulan puasa, makin bertambah gerai di situ. Ada warung soya, air kelapa, cendul, kuih-muih yang manis dan beraneka jenis. Tidak berapa lama selepas itu, warung-warung ini  bertukar lokasi. Peniaga-peniaga ini berpindah dan beroperasi di hadapan blok rumah-kedai-opis yang terletak di sebelah Masjid. Seingat chemek ada satu lagi warung jualan yang sering chemek kunjung. Warung pisang goreng yang ranggup ‘pelik’. Sedap sungguh!

Perniagaan kecil bergerak ini satu budaya yang amat menarik di Kelantan. Sejak remaja lagi, chemek amat teruja menyaksikan peniaga-peniaga ini menolak warung bergerak mereka pada setiap petang menuju ke Padang Bas (yang terletak di sebelah Pasar Besar Siti Khadijah dan Perhentian Bas SKMK) Riuh rendah mereka menolak dan menarik warung yang sarat dengan pelbagai jenis makanan dan minuman yang akan dijual. Di Padang Bas ini adanya pasar malam yang hanya menjual makanan. Kadang-kala terjadi traffic jam warung-warung ini di hadapan bazaar Buluh kubu kerana menunggu giliran untuk masuk ke Padang Bas. Menarik sungguh suasana ketika itu menyaksikan keriuhan para peniaga ini berkomunikasi sesama mereka dengan pelbagai ekspresi wajah dan gaya pertuturan.

Inilah kehidupan rakyat dalam mencari rezeki tanpa mengenal rehat. Sesetengah peniaga ini bekerja ataupun mencari rezeki di tempat lain pada waktu siang. Ada yang membuat perniagaan malam ini sebagai sampingan pendapatan keluarga dan ada yang menjadikannya sebagai punca pendapatan utama. Seorang penjual burger kira-kiranya boleh mendapat untung bersih 2000-3000 sebulan dengan kerja sambilan tidak kurang dari 5 jam setiap hari di sini. Bolehlah diconggak berapa banyakkah yang diperolehi oleh penjual murtabak, rojak, apam balik, nasi kerabu, nasi minyak kuning ayam masak merah, nasi dan gulai serati, gulai kerutuk dan lain-lain lauk pauk.

Peniaga wanita Kelantan adalah satu imej Kelantan. Hasil-hasil jualan juga diusahakan oleh wanita Kelantan baik dari rumah masing-masing ataupun di warung-warung tersebut. Hasil-hasil tangan ini juga suatu produk negeri yang unik. Keunikan mereka ini bertambah dengan budaya gigih yang ditunjukkan. Kegigihan yang tidak nampak kesan surutnya walaupun selangkah. Ini yang sentiasa membuatkan chemek merindui negeri ini dan segala mengenainya.

Sebelum menutup posting ringkas kali ini, chemek ingin berkongsi resepi kuih di atas. Semoga ia menjadi ilmu yang bermanfaat untuk penggemar kuih-muih ini. Masak tu, hantar kepada ibubapa, adik-berdik, jiran tetangga. Biar masakan kita menjadi sedekah yang diterima oleh Allah taala.

Bahan-bahan yang diperlukan:

(1) Satu cawan tepung biasa (2) dua gelas/tin santan (saiz  tin sebesar tin susu pekat saiz besar) ataupun satu tin santan pekat ditambah dengan segelas air. (3) empat-lima biji telur (ataupun dua biji telur itik dan dua biji telur ayam saiz besar) (4) kurang dari secawan gula (5) garam secubit (6) pewarna hijau ataupun air pandan (7) sesudu teh esen vanila (tak perlu masuk esen vanilla jika guna perahan daun pandan) (8) sesudu mentega ataupun boleh diganti dengan sesudu minyak masak (5) bijan

Cara: 1) blend telur sehingga kembang, masukkan gula, kemudian blend lagi. (2) masukkan santan, garam dan tepung (3) masukkan pewarna dan minyak masak/mentega/ esen vanilla. sesudah blend pastikan kelikatannya. (tidak seperti adunan lempeng ataupun roti jala atau dengan kata lain ia mesti lebih pekat). Kemudian masukkan dalam acuan pembakar dan tabur bijan.  Kemudian boleh bakar dalam oven selama 45 minit-sejam. Sila rujuk manual cooker/oven masing-masing untuk kategori kek.

About these ads

One thought on “Kuih Kelantan: Akok dan Kuih Bakar

  1. Ni bukan kuih akok yg ori,kuih akok moden.klu yg ori di bakar atas bawah sabut api.hehehe.
    baru puas makan.tapi,orang zaman sekarang guna api gas je.

tinggalkan komen/pertanyaan/perbincangan.

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s